Tuesday, December 31, 2013

Hari terakhir 2013: Satu retrospeksi yang boleh dikongsi

Kredit gambar: kenora curling club

Pagi-pagi lagi isteri saya sudah menghidupkan komputer riba dan memasang talian internet. Dia membuka laman web SPA. Hari ini keputusan temuduga PTD yang saya hadiri lebih enam bulan lalu akan diumumkan. Bermakna penantian dan debar selama tempoh itu juga akan berakhir hari ini. Setelah beberapa kali butang "refresh" ditekan, keputusan akhirnya terpapar. Saya gagal. Gagal saya dalam percubaan kedua untuk mendapatkan jawatan yang diidamkan ramai itu. Tapi, tidak apalah. Kita percaya rezeki tertakluk bukan dalam tangan kita dan sebenarnya ketetapan Allah untuk kita itu adalah yang paling baik walaupun kita sering tidak menyedarinya.

Esok adalah tahun baru mengikut perkiraan tahun Masihi. Masjid kami, Masjid Ahmadi Kampung Rantau Panjang akan menyambutnya dengan majlis Rantau Panjang Berselawat. Rasanya Kerajaan Negeri Selangor juga akan mengadakan sambutan Ambang Tahun Baru seperti tahun-tahun sudah. Di ibu kota khabarnya akan ada Himpunan Turun. Di mana-mana, kedatangan 2014 disambut dengan pelbagai cara. Kita menggantung kalendar baru dengan debar dada. GST, TPPA, kadar tol baru, tarif elektrik baru, harga barang baru dan lain-lain kelihatan seperti lembar-lembar baru di kalendar yang menanti-nanti untuk diselak.

Jauh di United Kingdom, Arsenal sedang mendahului pasukan lain dalam Liga Perdana Inggeris. Kemasukan Ozil dapat dirasai di Emirates. Dia tidak mengubah gaya permainan Arsenal sebaliknya mengukuhkannya dengan mutu permainannya sendiri. Kemajuan Ramsey dan Giroud juga dapat dilihat musim ini. Setahun yang lalu, Arsenal masih berhempas-pulas mendaki tangga liga setelah merasai kehilangan Robin Van Persie, tetapi tahun ini nasib mereka agak baik. Ditambah dengan faktor tuah, Arsenal sekira-kira mampu menjuarai sekurang-kurangnya satu piala selepas lapan musim berputih mata.

Bilangan buku yang saya baca tahun ini agaknya bertambah, terima kasih kepada Goodreads yang berjaya memotivasi. Saya berusaha menulis ulasan bagi buku yang selesai dibaca agar dapat dirujuk pada masa depan. Disebabkan itu, bilangan entri blog menjadi sedikit bertambah daripada tahun lepas kerana diisi dengan ulasan buku (dan filem). Sejak Facebook mula mendominasi dunia maya, laman blog semakin dilupakan dan ia merupakan satu perkembangan yang tidaklah begitu sihat bagi saya. Selainnya, saya juga mendapati saya agak berminat dengan bidang sejarah, harapnya minat ini dapat disuburkan lagi pada tahun yang baru.

Cuma dunia kreatif saya pada 2013 sudah merosot jauh. Rasanya tiada sebarang puisi terhasil pada tahun ini. Ada satu yang berjaya dihasilkan dan cuba dihantar ke Dewan Sastera tetapi ditolak editor kerana "terlalu prosaik" katanya. Cerpen pun mungkin ada satu atau dua, itu pun demi memenuhi tuntutan projek penerbitan dengan kawan-kawan yang akhirnya tidak pun berhasil. Entahlah, kalam sastera saya sudah patah agaknya.

Melihat ke hadapan, sebenarnya terlalu luas dunia ini untuk diterokai tetapi barangkali jiwa dan cita-cita saya tidak cukup besar untuk mendapatkannya. Pertambahan usia merebut sedikit demi sedikit upaya jasmani maka jika ada sebarang perancangan, mulakanlah usahanya sekarang agar tidak terlepas apa yang dihajati. Bermula tahun baru, saya harap saya cukup teguh untuk memperbaiki diri menjadi manusia yang lebih baik dan melaksanakan tanggungjawab sesempurna mungkin kepada mereka yang bakal menuntut pertanggungjawaban saya. Semoga diberkati Allah hendaknya harapan ini. Amin.

No comments: