Lelaki
tua itu sungguh unik dan tersendiri. Berjubah hijau, berkopiah putih, dia sama
sekali tidak peduli anggapan serong orang lain terhadapnya sebaliknya terus
menyampaikan kata-katanya dengan penuh semangat. Tepi jalan kecil menuju ke
masjid itu mula dipenuhi orang ramai yang ingin mendengar ucapannya. Di dadanya
tersemat poster bertulis "Saya jurucakap kerajaan Malaysia". Dengan menggunakan
hailer dan papan putih binaan sendiri, dia membuka kelasnya sendiri di jalanan.
Orang ramai ada yang berminat, ada juga yang hanya berlalu tanpa
menghiraukannya kerana lebih berminat dengan urusan sendiri. Tetapi si lelaki
tua tetap dengan "kuliahnya" tanpa peduli dengan sambutan orang ramai. Dia punya
cara sendiri mengajar Matematik, berbeza dengan cara konvensional di sekolah,
dan saya akur caranya agak lebih mudah difahami. Dia mengakui agak kurang
senang dengan cara pengajaran klasik yang membosankan yang digunakan kepada
anak-anak di sekolah dan mahu agar caranya diikuti. Dia mementingkan penggunaan
otak kanan dalam berfikir dan menyeru agar kita think out of the box. Untuk lebih
ekstrim, lelaki tua itu mencabar profesor-profesor yang ada di negara ini untuk
berdialog dengannya dan mengkritik ideanya itu. Rupa-rupanya ada satu lagi
poster di dadanya yang tertera "Saya ketua saintis dunia".
Saya
meninggalkan lelaki tua dan khalayaknya untuk ke masjid. Beberapa minit lagi,
azan akan dilaungkan menandakan masuk waktu solat fardhu Jumaat. Selepas Jumaat,
saya dapati lelaki tadi telah menyambung "kelasnya" di luar masjid. Sempat saya
belajar cara darab pantas nombor ratus dengan nombor puluh dengannya. Tertarik,
saya membeli bukunya yang berupa jilidan salinan fotostat keratan-keratan
akhbar tentangnya, gambarnya dengan Tun Dr. Mahathir dan beberapa tokoh, dan
yang lebih penting idea-idea matematiknya yang sangat segar dan bermakna. Dari
jilidan yang berharga RM 5 itu baru saya mengetahui nama lelaki tua itu adalah
Abdul Halim bin Bistamam, berasal dari Perak. Saya pulang ke pejabat, menceritakan kisah Pakcik Halim dan menunjukkan cara darab pantas yang diajarkannya sebentar tadi.
Pertemuan
dengan Pakcik Halim adalah sesuatu yang sangat istimewa bagi saya. Beliau punya idea besar dan
berani menyampaikannya kepada orang lain. Penampilannya yang tersendiri
menunjukkan bahawa beliau tidak takut dengan kebiasaan malah melawannya. Hanya orang
berani dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi yang mampu keluar ke jalanan sebegitu membentang idea sendiri yang tidak sama dengan orang banyak. Dia mungkin bakal
dianggap gila oleh sebahagian, tetapi sebenarnya anggapan itu dibina hanya
kerana banyaknya perbezaan antara dia dengan majoriti orang lain. Walhal,
perbezaan tidak semestinya menjadikan seseorang itu salah atau gila. Ramai orang
berjaya juga dianggap gila sebelum mereka berjaya, malah kaum musyrikin Quraisy
turut menuduh Rasulullah sebagai "majnun".
Banyak
yang boleh kita pelajari dari Pakcik Halim selain daripada ilmu matematiknya
yang tinggi. Semoga beliau terus dapat mencurahkan ilmunya itu agar dapat
dimanfaatkan untuk ummah seluruhnya.

No comments:
Post a Comment