Wednesday, February 12, 2014

Kuliah Tafsir Maudhu'iy Siri Ke-68: Menangani Konflik Sesama Mukmin

Sabtu lalu saya dan isteri berkesempatan menghadiri program pengajian Kuliah Tafsir Maudhu’iy di Kolej Darul Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Kajang. Program pengajian yang disampaikan Dato’ Dr. Siddiq Fadzil itu sudah memasuki siri ke-68. Malam itu, Ustaz Siddiq membicarakan dua potong ayat dari surah Al-Hujurat iaitu ayat 9 dan 10.



 9. Dan apabila ada dua golongan orang Mukmin yang berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sungguh, Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.


10. Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.

Tajuk kuliah pada malam tersebut ialah “Menangani Konflik Sesama Mukmin”. Latar penurunan ayat 9 adalah apabila Abdullah bin Ubay dari suku Aus telah meminta Rasulullah agar menjauhinya kerana keldai Rasulullah telah kencing. Ini telah membangkitkan kemarahan Abdullah bin Rawahah yang berada bersama Rasulullah seraya membalas dengan kata “Demi Allah, bau kencing keldai Baginda lebih harum daripada kamu!” Penyokong kedua-dua pihak ini kemudiannya berkelahi lalu turun ayat 9 tersebut lantas Rasulullah segera mendamaikan mereka.

Ayat ini menunjukkan bahawa walau sesama Mukmin pun, sengketa boleh berlaku. Apa yang penting ialah perlu ada pihak ketiga untuk mendamaikan (islah) pihak-pihak yang bertelagah itu, dan ia perlu dijalankan dengan segera (kata "fa" dalam “fa aslihu” bermaksud “bersegeralah”). Ini kerana sifat masyarakat Islam itu ialah damai. Konflik bukan sifat sejati masyarakat Islam. Dalam upaya islah itu, sekiranya mereka enggan berdamai, seluruh mukminin yang lain harus memerangi mereka sehingga mereka kembali kepada perintah Allah iaitu menghentikan permusuhan dan menerima ketetapan Allah dalam isu yang jadi punca permusuhan. Peperangan boleh dilakukan dengan atau tanpa senjata. Adapun tujuan memerangi mereka itu adalah untuk mengembalikan mereka kepada hukum Allah, bukan menghabisi mereka.

Ustaz Siddiq juga menghuraikan istilah bughah dengan panjang lebar. Golongan bughah perlu diperangi oleh imam yang adil kerana sifat mereka yang memiliki kekuatan (syawkah) dari segi persenjataan dan bilangan yang mampu menggugat keamanan negara, memusuhi dan tidak mengiktiraf kekuasaan pemerintah, dan mempunyai kefahaman yang silap tentang politik pemerintahan. Golongan bughah wajib diperangi untuk mengembalikan kesetiaan mereka kepada imam, namun sebelum sampai ke tahap perang, proses islah wajib dilaksanakan terlebih dahulu. Saidina Ali sebelum memerangi golongan Khawarij, telah menghantar Ibnu Abbas bertemu mereka di Nahrawab untuk bertanya mengapa mereka menentang Saidina Ali. Ternyata mereka telah berpegang kepada ta’wil yang silap apabila mereka menggariskan tiga isu yang menjadi sebab penentangan mereka iaitu:

1) Saidina Ali bertahkim dalam urusan agama Allah walhal Al-Quran dan Sunnah Nabi sudah mencukupi tanpa memerlukan tahkim (tahkim adalah peristiwa perundingan perdamaian Saidina Ali dengan Muawiyah).

2) Saidina Ali semasa memerangi lawannya, hanya membunuh tetapi tidak mengambil harta rampasan perang dan tidak menawan wanita serta anak-anak mereka.

3) Saidina Ali telah memadam namanya sebagai khalifah.

Kekeliruan ini telah dijawab oleh Ibnu Abbas dengan hujah-hujah Al-Quran dan Sunnah.

1) Allah sendiri bertahkim dalam agama sebagaimana firman dalam surah An-Nisa’ ayat 35: “Dan jika kamu khuatir terjadi persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang jurudamai dari keluarga lelaki dan seorang jurudamai dari keluarga perempuan”. 

2) Jika dalam Perang Jamal, ‘Aishah (isteri Rasulullah) menjadi tawanan, apa yang harus dilakukan? Walhal dalam surah Al-Ahzab ayat 53, Allah telah berfirman: “…dan tidak boleh (pula) kamu menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelah (Nabi wafat)…”

3) Rasulullah sendiri telah memadam namanya dari nubuwwah dalam Perjanjian Hudaibiyyah.

Penjelasan oleh Ibnu Abbas telah menarik sebahagian kaum Khawarij kembali kepada Saidina Ali sementara sebahagian lagi (sekitar empat ribu orang) enggan dan mereka inilah yang kemudiannya diperangi oleh Khalifah Ali.

Dalam konteks semasa, peserta demonstran yang menuntut penurunan harga barang tidak dikira sebagai bughah kerana:

1) Kebebasan bersuara, berhimpun, berbeza adalah bahagian daripada sistem demokrasi moden yang diamalkan di negara ini.
2) Mereka hanya menuntut penurunan harga barang, bukannya mahu menjatuhkan ketua negara.
3) Mereka tidak mempunyai kekuatan (syawkah), mereka tidak ingkar tuntutan membayar zakat, cukai malah mereka mematuhi undang-undang.
4) Mereka tidak mempunyai seorang imam atau pemimpin rasmi yang ditaati segala arahannya.

Malah, demonstrasi aman membantah kemungkaran (pemborosan, pembaziran) dianggap sebagai seahagian daripada jihad al-kalimah (jihad menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim). Dr. Subhiy ‘Abduh Sa’id menyebut bahawa membantah kemungkaran dengan lantang itu hukumnya wajib kifa’iy bagi orang awam dan wajib ‘ayniy bagi para ulama dan pemikir Islam kerana jika mereka membisu, ia akan dianggap oleh orang awam sebagai persetujuan dan penerimaan terhadap kemungkaran itu.


No comments: