![]() |
Satu perkara yang fikir saya dapat diingat oleh kami adik-beradik tentang Ayah pada setiap tahun baru ialah diarinya. Boleh dikatakan pada setiap tahun baru Ayah akan membeli sebuah diari untuk dijadikan tempat Ayah menyimpan segala rekod perbelanjaan harian seperti harga ikan dan sayur di pasar, harga bergunting rambut, bayaran bil-bil utiliti dan lain-lain. Kebiasaan yang menjadi disiplin ini menjadi antara sebab Ayah dapat mengingat harga barang-barang tersebut dengan tepat apabila saya mendengar perbualan Ayah dengan rakan-rakan dan saudara-mara lain. Kerana harga semua barang tersebut dicatat dengan jelas dalam diarinya. Selain rekod pembelian, diari juga adalah tempat Ayah mencatat peristiwa yang berlaku sehari-hari dalam hidupnya. Inilah bahagian yang menarik dalam diari Ayah; bahagian yang menjadi penyambung hayat Ayah apabila Ayah telah tiada lagi, apabila ia boleh dibaca oleh anak-anaknya seperti saya untuk dijadikan tempat melepas rindu, selain dijadikan pelajaran-pelajaran dalam meneruskan hidup.
Selain diari, Ayah mempunyai
beberapa buah lagi buku catatan kecil dan besar guna mencatat isi kuliah di
surau dan masjid. Ayah juga mempunyai satu buku catatan khas jika mengerjakan
Haji dan Umrah. Pendek kata, keazaman menulis Ayah memang tinggi. Jika dikatakan
menulis, mungkin istilah "merekod" sebenarnya lebih tepat. Ini kerana Ayah juga
menulis di belakang tikar sejadah tarikh dibeli dan di mana ia dibeli, menulis
tarikh di simen lantai yang masih basah sebelum ia kering bagi merekod waktu
tandas belakang rumah dibina, menulis di dinding rumah akan pertukaran unit
kilogram ke kati dan tahil, tarikh pindah rumah, tarikh Kak Chah berlepas ke
Amerika dan tarikh Mak meninggal dunia.
Setiap catatan Ayah sangat
bernilai, seperti satu karya seni. Mengapa karya seni? Kerana selain kandungan catatan
itu sendiri, tulisan Ayah juga sangat cantik. Gambar di atas adalah screen shot
diari Ayah yang saya ambil bertarikh 30 Januari 1996 bersamaan 9 Ramadan 1436
Hijrah. Banyak perkataan yang tidak dapat saya cerap kerana tulisan Ayah yang
bersambung tetapi di bawah ini saya turunkan sedikit apa yang dapat saya
fahami:
4.15
pagi. Wudhu’, Tahajjud, Hajat, Taubat.
Sahur
5 pagi. Hjh Saadiah meninggal. 10.00 malam. 29/1/96 – ziarah dan baca Yasin. Norliah
melahirkan anak lelaki pada 29/1/96. Shukur ke-Ilahi.
Ke
Tangkak ambil pencen – tahunan(?) $178.70. bayar bil api $27.70. Klinik Yakin
$11/xx. baju Haizir $32/xx – battery & plak $33/xx.
Mesyuarat
JKKK – di-lantik semula. 96 – 97. Ke Jasin, hampas(?) kelapa $2.50. (?) $1.40 –
murtabak $1.50. air tahu $1/xx.
Isyak
dan tarawikh di masjid bersama Melah.

No comments:
Post a Comment