Monday, February 17, 2014

Ulangtahun Perkahwinan dan Kartun di Buku Contengan




Sudah lama Aiman dan Adik tidak datang ke rumah menyebabkan saya sudah pun agak tertunggu-tunggu dan menjadi sedikit rindu. Barangkali tembok yang kami panjangkan sehingga ke pintu pagar benar-benar telah menjadi tembok penghalang antara kami dengan jiran-jiran, mengehadkan pandangan antara kami dengan mereka. Namun begitu, Khamis lalu Aiman datang meminta saya melukiskan gambar kartun di atas buku contengnya yang baru. Saya menunaikan hajatnya tanpa keberatan malah dengan cukup senang hati. Dia datang lagi pada petang Sabtu meminta saya melukis gambar kartun yang lain pula. Gambar yang lama telah pun dia warnakan dengan kemas sekali. Seperti biasa, saya menurutkan saja. Tetapi kali ini Adik turut datang dan seperti abangnya, membawa buku contengan, buku komik Kisah Nabi dan meminta saya melukiskan gambar kartun untuknya pula. Barangkali Adik berasa cemburu dengan Aiman lalu mahukan perkara yang sama; gambar kartun di buku contengan. Kedatangan Adik tidak menyusahkan saya, malah telah lama saya nantikan. Mereka berdua telah berhasil memenuhkan jiwa saya yang lompong sejak empat-lima tahun dulu dengan kepintaran mereka, keletah, kecomelan dan segala-galanya. Terdapat juga masa-masa tertentu di mana mereka akan jadi sedikit menjengkelkan tetapi itu semua telah pun saya kompromikan kerana ia tidak dapat mengatasi masa gembira saya bersama mereka. 

Tetapi saya juga sedar bahawa mereka semakin membesar dan saat-saat gembira saya bersama mereka bukan selama-lamanya. Sampai satu masa, saya tidak boleh lagi bermain-main dengan mereka seperti yang sedang saya nikmati kini. Di atas semua itu, mereka bukanlah anak-anak saya yang boleh saya manjakan berlebih-lebihan. Cuma sementara masa itu tiba, biarlah saya menikmati dahulu masa yang ada ini dengan senang hati.

Seiring dengan pertumbuhan Aiman dan Adik, saya juga semakin meningkat usia. Semalam saya meraikan ulang tahun perkahwinan yang ketujuh bersama isteri saya. Kami memilih untuk sedikit meriah dengan makan malam di Laman Grill, restoran stik milik Chef Zubir yang terkenal dalam rancangan Masterchef Malaysia. Sekira-kira ini adalah pengalaman baru bagi saya menikmati makanan mewah di restoran berprestij seperti ini. Tetapi harus saya katakan tekak kami rupa-rupanya lebih meminati nasi dan lauk sebagai resam tipikal selera orang Melayu walaupun hidangan di Laman Grill tidak dinafikan lumayan enaknya.

Kami pulang ke rumah kira-kira jam 10.30 malam. Taman Kembara sudah pun senyap sunyi, bersedia awal untuk menyambut kesibukan hari Isnin esok pagi. Sementara isteri saya masuk ke bilik untuk tidur, saya membuka telefon bimbit, mengambil sedikit waktu melihat gambar-gambar yang kami ambil di Laman Grill tadi. Dan juga gambar-gambar Aiman dan Adik sewaktu mereka datang tempoh hari.


Aiman dan buku conteng barunya.
Antara watak kartun yang dilukis.

Adik yang turut datang.
Gambar kartun yang telah pun diwarnakan Aiman.


Adik dengan gambar kartun yang siap dilukis.

Isteri saya bersama Aiman dan Adik, sewaktu mereka masih kecil dan tembok belum dibina.

2 comments:

Fadzlin said...

Adik dan Aiman sangat comel! Selamat Ulangtahun Perkahwinan Pak Busu dan Mak Usu. Moga bahagia sampai ke syurga ♥

Haizir said...

Terima kasih, Alin! :)