Satu perkara yang membuatkan
saya bangga dengan Kampung Rantau Panjang ialah masjidnya yang hidup dengan
pelbagai aktiviti, baik pengajian agamanya mahupun sebarang aktiviti lain. Berdasarkan
pemerhatian yang terhad, saya lihat masjid dan surau sekitar Lembah Klang ini
memang meriah dengan kelas-kelas pengajian saban malam, cuma jumlah kehadiran jemaah
sahaja yang masih agak kurang memberangsangkan. Di Masjid Ahmadi, Rantau
Panjang, kira-kira situasi yang sama turut terjadi. Bilangan jemaah masih agak
sedikit berbanding dengan saiz masjid yang besar. Dan masjid kekal menjadi
tempat kunjungan orang tua, berbanding orang muda.
Namun, situasi ini
sekonyong-konyong cuba diatasi oleh sekumpulan anak muda kampung ini yang punya
kesedaran. Bernaung di bawah Masjid Ahmadi, mereka menggelarkan diri mereka
Pemuda Masjid Ahmadi atau singkatnya, Pedamai. Apa yang menarik dengan mereka
ialah kesemua mereka berumur bawah 24 tahun dan rata-ratanya adalah pelajar universiti,
kolej atau lepasan universiti atau kolej. Baru dirasmikan penubuhannya Januari
lalu, mereka telah pun berhasil melaksanakan program besar pada tahun ini yang
mereka namakan Karnival Anak Muda Islam (KAMI 2014) pada 21 hingga 23 Februari
baru-baru ini. Kumpulan sasaran ialah remaja berusia dari 13 hingga 17 tahun
melalui acara Kem Anak Muda Islam tetapi penduduk kampung terbanyak turut
mendapat manfaat daripada program-program yang dijalankan seperti pembukaan
gera-gerai jualan dan pameran, aktiviti sukan, berkuda, permainan kanak-kanak
dan lain-lain.
Memusatkan segala aktiviti
di masjid dan sekitarnya, karnival ini diharapkan mampu menarik orang kampung
datang ke masjid dengan kerap. Saya kira penganjurannya berjaya mencapai
matlamat kerana sepanjang tempoh karnival berlangsung, jemaah solat waktu di
masjid agak lebih ramai daripada biasa, sekurang-kurangnya diramaikan oleh para
peserta kem. Dan pada malam tadi, jemaah solat Isyak berjaya mencecah kira-kira
sembilan ke sepuluh saf berbanding hanya kira-kira tiga ke empat saf pada hari
biasa. Penuhnya aktiviti memungkinkan situasi ini berlaku. Sebagai contoh, para
jemaah mungkin ingin mendengar kisah penghijrahan Ali XPDC (yang merupakan anak
jati kampung Rantau Panjang) yang diadakan selepas Maghrib di pentas luar
masjid, tetapi apabila azan Isyak dilaungkan, mereka mempunyai waktu yang
kondusif untuk terus solat berjemaah Isyak di masjid. Begitu juga dengan acara
berselawat "Ya Hanana" yang diadakan pada malam sebelumnya. Apa yang agak
menarik, kanak-kanak diberi peluang bermain sepuas-puasnya di luar masjid dan
apabila azan dilaungkan, mereka segera ke masjid bersolat. Seorang kanak-kanak
tertidur dengan tangan menupang dagunya selepas solat Asar kerana zikir dan doa
Imam yang panjang. Penat bermain agaknya. :)
![]() |
| Forum Bicara Selebriti menampilkan Imam Muda Asyraf dan Heliza Helmi. Dipengerusikan oleh Ustaz Yusri Karim. |
Malam tadi diadakan Forum
Bicara Selebriti menampilkan Imam Muda Asyraf dan Heliza Helmi sebagai acara
kemuncak dan penutup KAMI 2014. Selain penyampaian yang memberangsangkan dari
kedua-dua ahli panel, saya turut tertarik dengan kemampuan anak-anak muda
Pedamai ini menarik tajaan termasuk dari syarikat besar seperti Northport untuk
menyumbang kepada program ini. Hadiah-hadiah diberi kepada orang kampung dalam
bentuk cabutan bertuah, antaranya termasuk basikal, tablet, barangan elektrik
dan pakaian. Selain itu, yang turut membuat saya bangga ialah ia majlis malam
tadi dipengerusikan oleh Imam Masjid Ahmadi sendiri yang masih muda,
mengacarakan majlis dengan santai tetapi meyakinkan malah cukup sporting apabila
berani menyanyikan sebaris rangkap dari lagu Munajat yang pernah dinyanyikan
kumpulan Nadamurni.
Ada banyak lagi perancangan
Pedamai yang sampai kepada pengetahuan kami, antaranya program Santai Fifa
iaitu menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 nanti di masjid. Menarik
bunyinya, bukan? Mereka juga merancang menunaikan solat Maghrib di kawasan
lapang berhampiran kawasan Pasar Malam pada malam Sabtu, bertujuan mengajak
para pengunjung Pasar Malam untuk bersama bersolat secara berjemaah dan meninggikan
syiar solat. Perancangan ini kira-kira sama seperti yang dijalankan "Street
Dakwah" atau Dakwah Lapangan yang dijalankan oleh Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joffrie,
Ustaz Nasaruddin Tantawi dan lain-lain di Sogo semalam. Saya mendoakan
anak-anak muda Pedamai terus teguh dalam aktivisme dakwah mereka, moga-moga
menepati ciri-ciri pemuda Ashabul Kahfi seperti yang terakam dalam Surah
Al-Kahfi ayat ke-13.
"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah."
Persembahan Ali XPDC dengan lagu Bunga Angkasa yang diubahnya sedikit.


No comments:
Post a Comment