Friday, July 04, 2014

Qur'an Ayah

Mashaf Al-Qur'an Ayah.

Dicatat tarikh dibeli iaitu pada 14/6/91.

Selepas pemergian Ayah, saya telah mengambil Al-Qur’an milik Ayah yang dibeli semasa mengerjakan fardhu Haji pada tahun 1991 dulu. (Selain Al-Qur’an, saya juga mengambil sehelai singlet Pagoda Ayah yang telah saya pakai sehingga reput dan koyak-rabak). Al-Qur’an tersebut telah jadi milik saya selepas itu dan saya gunakan untuk mengaji. Selepas Ramadan tahun lalu, Qur’an tersebut telah terabai lama di atas almari sehingga berhabuk. Betapa lalainya saya mengabaikan Qur’an itu sehingga muncul Ramadan seterusnya, barulah saya menurunkannya dari atas almari, membersihkannya dari habuk yang tebal sebelum mula membacanya semula.

Ia adalah Al-Qur’an mashaf Uthmani sederhana kecil berzip yang selesa dibaca. Saiznya sesuai pegangan tangan, kulit luarnya licin berwarna hitam, tulisannya jelas di atas kertas berwarna putih dengan kualiti yang baik. Berdasarkan catatan Ayah di kulit dalamnya, ia berharga 20 riyal sewaktu dibeli 23 tahun yang lalu dan sehingga kini ia masih utuh dan elok untuk digunakan.

Saya sedang membaca surah An-Nisaa’ sewaktu saya tersedar ayat ke-110 telah ditandakan oleh Ayah dengan pen penanda. Saya berhenti seketika dan membaca dua baris ayat yang ditulis Ayah di sebelah ayat Al-Qur’an tersebut – dalam tulisan Jawi: "Bacaan surah raka’at kedua sunnat Wudhu'". Ah, ini telah mengingatkan saya kepada Ayah. Saya tidak meneruskan bacaan sebaliknya membelek-belek Qur’an tersebut, mencari beberapa ayat lagi yang telah Ayah tanda dengan pen pelbagai warna. Inilah keistimewaan Qur’an yang ini. Ia punya kesan peninggalan Ayah dengan tanda-tanda di beberapa tempat untuk mengingatkan Ayah sendiri tentang permulaan juzuk, ayat-ayat tertentu yang istimewa seperti bacaan dalam solat, ayat-ayat yang dibaca sebagai zikir dan lain-lain lagi. Langsung saya jadi sentimental seketika, jatuh rindu kepada Ayah, dan bacaan seterusnya adalah dengan linangan air mata.

Ayat 110 Surah An-Nisaa' yang ditanda Ayah, beserta nota ringkas di tepi ayat.

Surah Ali 'Imran, ayat 15 hingga 19 yang turut ditanda Ayah. Tidak saya tahu apa sebabnya.

Al-Qur’an adalah perkara serius bagi Ayah. Saya hanya menyedari hal ini selepas menyedari tanda-tanda yang dibuat Ayah di mana-mana dalam Al-Qur’an tersebut. Sebelum ini semasa membaca mashaf tersebut, saya turut menyedari kewujudan tanda-tanda tersebut tetapi kurang mengambil berat tentangnya. Kita barangkali kerap membaca Al-Qur’an, tetapi fikir saya, kita tidak serajin Ayah yang mahu meluangkan sedikit masa mengambil pen penanda, menggaris bawah ayat-ayat dengan pen merah dan pembaris, dan membuat nota kecil di tepi ayat-ayat tertentu.

Semua ini adalah kualiti dalam diri Ayah yang sama sekali tidak saya miliki, walaupun telah saya miliki mashaf Al-Qur’annya. Keseriusan Ayah dalam beribadat, konsistensi dan ketahanan Ayah adalah perkara-perkara yang sangat saya cemburui, semuanya pernah saya saksikan sendiri sewaktu tinggal bersama Ayah dan Makcik beberapa tahun lalu di kampung. Syurgalah bagimu, Ayah! Semoga saya dapat saksikan lagi wajah bersih Ayah di syurga nanti. Amin.


1 comment:

Haslina Othman said...

Haizir,

Sangat mengharukan. Kak Ina pun baca dengan linangan airmata. :(
Teringat sangat pada ayah di bulan penuh berkat ini.
Hari itu mimpi bertemu ayah. :)