Wednesday, November 01, 2017

Kereta api, tempoh bingung, dan malam-malam tanpa bintang di Johor Bahru


I

Ada satu peristiwa besar seingat saya yang membuatkan saya menulis. Saya gagal dalam pengajian di UTM, Skudai dalam jurusan kejuruteraan elektronik. Hari-hari muka seakan gelap. Saya menghabiskan masa berhari-hari di lot atas kedai yang dijadikan pusat kegiatan persatuan pelajar tak berdaftar (di mana saya adalah penjaga tak rasminya, pada masa yang sama duduk menumpang di sana kerana gagal mendapat tempat di kolej) termenung dalam kekecewaan dan berfikir apakah yang akan saya beritakan kepada kedua orang tua di kampung. Bermacam-macam fikiran liar menyerang kepala otak saya – salah pilih jurusan, pandangan serong yang bakal diterima dari orang kampung dan saudara-mara, inilah agaknya akibat terlalu aktif dengan persatuan di luar universiti, rancangan nakal memikat gadis idaman dari fakulti pendidikan, lari ke Kuala Lumpur, dan entah apa lagi. Jatuh dalam jurang kegagalan (atau sekurang-kurangnya “gagal” menurut definisi orang banyak) mendedahkan kamu kepada fikiran-fikiran di luar jangka. Dalam kegelapan, kamu akan capai apa sahaja tanpa banyak berfikir. Saya sudah terlalu terpukul dengan kegagalan menyelesaikan kerja-kerja mengira voltan, rintangan dan arus elektrik di makmal dan bilik kuliah. Jurutera elektronik sudah jadi kerjaya yang tidak mampu saya capai. Universiti teknologi dan fakulti kejuruteraan elektrik diakui bukan untuk saya.

Dalam teraba-raba itulah saya mencapai kertas dan pen, sebelum mula mencoret-coret sesuatu. Agaknya catatan-catatan dari situlah yang kemudiannya membawa saya ke sini – ke ruangan Bicara Tunas yang sedang anda baca ini secara khususnya. Atau secara umumnya ke dalam dunia sastera, menulis cerpen dan puisi, mendeklamasi puisi di depan khalayak, berkawan dengan para penulis dan editor, menghadiri program-program seni, meramahi sasterawan, menerima hadiah sastera buat pertama kali, dan yang paling manis; memiliki buku dengan nama sendiri tertera di kulitnya.

Buku pertama saya, kumpulan puisi persendirian dinamakan Espionaj lahir dua belas tahun selepas tempoh saya bermenung di lot atas kedai Taman Universiti, Skudai. Malam-malam tanpa kerdipan bintang di Johor Bahru adalah teman saya bermenung, berfikir, berkhayal dan mengelamun hingga ke langit ketujuh. Barangkali ada lembaran diari merah di sana yang merakam tempoh bingung saya tetapi jangan tanya di mana letaknya. Saya tidak ingat sama ada ia sudah hilang atau sudah jauh saya buang. Espionaj sempat merakam sedikit detik-detik itu, sangat sedikit. Selebihnya adalah puisi-puisi yang saya kumpul selepas “tempoh bingung” berakhir, kira-kira tiga atau empat tahun selepas itu. Lebih tepat, puisi-puisi yang ditulis selepas tempoh itu adalah apabila saya sudah memasuki alam pekerjaan, setelah lebih bertenang, dan secara bertuah menemui laman sastera dalam talian, esastera.com yang dipimpin seorang jurutera dan profesor dari fakulti kejuruteraan Universiti Malaya, Prof. Dr. Irwan Abu Bakar. Syukurlah, di sana saya berjumpa sekumpulan penulis yang matang dan baik-baik karyanya. Kami berkarya dan berkomunikasi hampir setiap hari lewat komuniti-komuniti yang ada di sana – pantun, puisi, cerpen, novel, rencana, haiku malah ulasan. Bukan sahaja saya belajar menulis dengan baik di laman tersebut, malah berhasil bertemu dengan sekelompok penulis muda “sekepala” yang sehingga kini menjadi rakan rapat saya. Dalam kumpulan kecil ini kami sering berkongsi idea-idea penulisan, perkembangan sastera tempatan malah berkembang sehingga ke dunia politik, hiburan, sukan, agama dan lain-lain.

Harus saya sebutkan di sini, desakan untuk menerbitkan kumpulan puisi datangnya dari rakan yang dikenali lewat esastera.com, Fazallah Pit. Beliaulah yang secara tekal memaksa saya mengumpul puisi-puisi yang tersepah di merata-rata, beliau juga yang mengkritik karya saya, menyuntingnya selama berminggu-minggu, menerbitkannya di bawah penerbitan Puisi Jadi Senjata, mencetak, malah menolong saya menjualnya di acara-acara sastera! Tanpa perkenalan saya dengannya, atau tanpa esastera.com barangkali saya hanya masih berangan-angan untuk memiliki buku puisi sendiri.

Melalui esastera.com juga saya berkesempatan ke Jakarta dan Bandung pada tahun 2009 dalam program Ziarah Tanah Seberang, satu pengalaman menarik yang sukar dilupakan. Di sebalik minat menggunung tinggi sebahagian khalayak sastera di negara ini terhadap sastera Indonesia, saya menemukan sisi kurang menarik di sana dalam bentuk cara layanan sesetengah mereka terhadap tetamu. Di sana, kami menyertai program Pasar Malam (Paguyuban Sastra Rabu Malam) di Bulungan, Jakarta Selatan hasil perkenalan Dr. Irwan dengan salah seorang pendukungnya, Yo Sugianto yang juga penyelenggara komuniti Sastra Reboan. Masih saya ingat sapaan kasar penyair Hujan dari kumpulan Kapasitor, di atas pentas Reboan mengejek gaya salah seorang penyair kami, Dahri yang melantunkan puisi dalam persembahan sebelumnya, selain mengungkit-ungkit hal Nirmala Bonat, pembantu rumah warga Indonesia yang didera. Begitu juga dalam satu acara forum di Pusat Dokumentasi Sastra HB Jassin, Taman Ismail Marzuki, ada penyataan yang walaupun hanya dipetik, menyatakan bahawa sastera internet (di mana kami di esastera.com adalah pemainnya) sebagai “sampah”.

Sikap antik sesetengah penggiat sastera di sana yang menganggap mereka lebih bagus daripada kita di sini, menganggap diri mereka sendiri sebagai “abang besar” dalam dunia sastera Melayu hanya menyerlahkan sikap mereka yang menderita sindrom superiority complex; satu keadaan di mana seseorang berasa dirinya lebih baik, lebih pandai atau lebih penting daripada orang lain. Pengamatan terhadap suasana tersebut telah saya rakamkan dalam dua buah cerpen yang bertajuk Gadis Dari Senja Semalam dan Siapa Sebenarnya Sastera-man? Kedua-dua cerpen ini dikumpulkan dalam kumpulan cerpen sulung saya, Siaran Radio Lewat Pagi yang diterbitkan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) enam tahun berikutnya.

Walaupun begitu, kami tetap menikmati kembara sastera di sana dengan sepenuhnya. Kesempatan bertemu penyair Pak Sapardi Joko Damono yang bersifat merendah diri selain teman-teman yang lebih mesra di Bandung memadam kegelisahan sepanjang berada di ibu kota Jakarta. Ya, Bandung lebih ramah dan tenang dengan pemandangan alam yang indah dan warganya yang mesra.



II

Sewaktu melalui perjalanan pergi-balik kerja dengan kereta api beberapa tahun lalu, sempat saya merasai pengalaman yang menarik untuk diceritakan. Saya sangat berminat memerhatikan ragam manusia di kota berpusu-pusu mengejar kemahuan masing-masing dalam bentuk merebut sedikit ruang berdiri di dalam gerabak kereta api. Ada satu puisi yang lahir dalam tempoh ini iaitu Kereta Api yang Sering Lewat dalam Espionaj dan sekurang-kurangnya ada tiga cerpen yang terhasil sepanjang saya “mendiami” rumah pengalaman ini iaitu Siaran Radio Lewat Pagi, Kereta Api Bunian, dan Jerad. Saya sangat menyayangi ketiga-tiga cerpen itu terutama yang pertama seperti menyayangi anak sendiri. Pada satu ketika pernah saya hafal perenggan-perenggan awal cerpen itu dan berulang-ulang membacanya seperti bercakap seorang diri kerana sayangnya saya pada cerita tersebut. 

Sewaktu menulis cerpen itu, saya terbayang suasana romantik pada waktu malam di asrama sewaktu saya bersekolah dulu. Suasana senyap-sunyi ketika semua orang sudah tidur, sambil mendengar radio dengan volume perlahan, dengan alunan suara serak-serak basah DJ yang membuai perasaan – semua ini adalah warna yang mencorakkan cerpen tersebut. Ia ditambah dengan ingatan-ingatan semasa kecil sewaktu bersiap-siap ke sekolah dalam hening subuh berlatarbelakangkan bunyi radio yang terpasang perlahan. Radio, kereta api, bunga api, padang permainan, bayang-bayang di bawah deretan pokok rimbun adalah objek-objek romantik bagi saya. Ia berupaya membawa kita ke masa lalu sebagai mesin masa. Dan barang pasti saya tidak dapat mengelak daripada menggunakan elemen-elemen ini dalam cerpen pada masa itu.

Kereta Api Bunian  adalah gabungan pengalaman di “rumah” tersebut dengan cerita lagenda bercampur mistik yang pernah saya dengar sewaktu di kampung di Jasin, Melaka. Cerpen ini mempunyai sambungannya iaitu Kereta Api Bunian 2, cerpen yang sempat tersiar di akhbar Selangor Kini, bersama satu lagi cerpen yang lain yang bertajuk Hari Remi Menjadi Rasis. Mengumpulkan kenangan-kenangan ini dalam bentuk cerpen membolehkan saya mengingat dan mengenang semula pengalaman lama apabila membaca semula cerpen-cerpen tersebut. Taktik yang sama saya gunakan sewaktu mengarang Selepas Asar dan Antara Maghrib dan Isyak, dua cerpen yang saya hantar untuk majalah Dewan Tamadun Islam. Dua cerpen tersebut adalah cara saya mengingati suasana sewaktu berada di kampung, lebih khusus suasana semasa berada di masjid kampung saya, menunaikan solat fardhu secara berjemaah bersama orang kampung yang punya pelbagai watak.

Siaran Radio Lewat Pagi saya jadikan judul kumpulan cerpen yang saya pertaruhkan untuk Sayembara Penulisan 2 ITBM-PENA-BH. Dengan izin Tuhan, ia berhasil meraih hadiah saguhati, hadiah pertama saya dalam persada sastera kebangsaan.

Di Tunas Cipta, ada dua cerpen saya yang tersiar setakat ini, Satu Senja Bersama-sama Nenek dan Gelap. Kedua-duanya adalah respon saya terhadap situasi semasa dalam negara, terutamanya sekitar isu politik dan sosial. Idea Gelap tercetus apabila saya terjaga dari tidur pada satu malam dan entah dari mana fikiran-fikiran tentang keadaan dalam negara ini datang ke dalam diri dengan sayu. Rasa tidak selesa itu berlanjutan sehinggalah saya alirkan ia keluar lewat cerpen tersebut.

Selepas beberapa tahun, saya melihat kembali ke belakang dan ternampak lot atas kedai yang pernah saya tumpangi di Taman Universiti dulu. Saya seperti ternampak diri saya sendiri di dalamnya sedang berbaring di atas lantai simen yang sejuk, gagal melelapkan mata sebelum menghidupkan suis lampu lalu mencapai pen dan buku catatan, menulis jurnal tentang perasaan dan cinta, menuang kekecewaan dalam puisi, membuang pandangan ke luar tingkap, merenung langit Johor Bahru yang tidak berbintang, menembusi gumpalan awan di bawahnya sebelum tiba-tiba saya hanyut, tercampak ke dalam perut kereta api menuju ke Kuala Lumpur, menyusuri lorong-lorong kecil Kwitang mencari buku bajakan Catatan Seorang Demonstran, menggigil kesejukan dalam bilik mandi awal pagi sebelum ke sekolah, berjalan dalam tidur mengelilingi asrama putera, mengucapkan selamat hari jadi kepada gadis dari fakulti pendidikan, menyalami Pak Sapardi yang budiman, menduduki peperiksaan akhir di universiti kebangsaan, bangun dari tidur yang panjang…

dan dibawa ke hari ini.


No comments: