Oleh HAIZIR OTHMAN, AINOR MAZIYYAH
"Walaupun terpaksa bangun seawal 8 pagi, meniti lantai kayu rapuh dengan hanya berteduhkan kediaman orang kampung yang jauh berbeza berbanding lantai konkrit sekolah biasa, tetap terpancar keceriaan di wajah anak-anak ini," cerita Mukmin Nantang sambil tersenyum membayangkan gelagat anak-anak muridnya.
Mukmin, 25, salah seorang sukarelawan guru dan koordinator Sekolah Alternatif Borneo Komrad menceritakan realiti yang terpaksa dilalui kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah, terpinggir daripada mendapat akses pendidikan.
Kanak-kanak ini adalah 'angka-angka' yang terlepas daripada statistik kanak-kanak buta huruf - tidak bersekolah atas kekangan tidak mampu, malah tidak layak lantaran tiada status kerakyatan sebagai warganegara yang sah.
Sekolah Alternatif melawan norma di mana kebiasaannya kanak-kanak tanpa kerakyatan akan disuruh bekerja mencari rezeki buat keluarga atas faktor kesempitan ekonomi, sebaliknya kami memberikan pendidikan kepada mereka, kata graduan Universiti Malaysia Sabah itu.
"Di saat menanti keputusan positif untuk menyelesaikan masalah ini secara politikal oleh pemerintah, kita sebagai mahasiswa, anak muda mengambil sikap memperjuang pendidikan untuk anak-anak ini."
"Kita percaya ilmu adalah alat pembebasan dari kemiskinan," tegasnya kepada hadirin Program Bicara Kemanusiaan di rumah penerbitan Gerak Budaya Petaling Jaya, baru-baru ini.
Daifnya Sekolah Alternatif
Dibangunkan secara mandiri hasil ekonomi gerakan NGO yang dibangunkan Mukmin, Borneo Komrad, Sekolah Alternatif yang mula beroperasi sejak 2015 kini sudah mempunyai empat buah sekolah iaitu di Tuaran, Teluk Layang, Tawau dan Semporna.
Menceritakan kesukaran membangunkan sekolah tersebut, Mukmin berkata pada awalnya mereka terpaksa mengajar di ruang terbuka seperti padang atau tepian rumah penduduk kampung. Masalah timbul jika hujan turun, katanya.
"Contohnya di Tawau, kita menumpang rumah orang kampung. Kelas pertama kami menumpang garaj kereta, berteduh sedikit kemudian baru dapat satu ruang sederhana di rumah orang. Beliau bersetuju membina ruang untuk sekolah namun kos sangat tinggi," kata pemuda itu.
Akuinya, cabaran paling besar menguruskan Sekolah Alternatif adalah kewangan, terutama dalam soal pembayaran gaji tenaga pengajar di Semporna yang beroperasi lima hari seminggu.
"Kita perlu duit untuk ke peringkat seterusnya kerana semua memerlukan kos. Selepas Sekolah Alternatif, saya rancangkan projek industri untuk anak-anak ini seperti cetak baju, kraf, dan sebagainya di mana kita hanya uruskan mereka."
"Kos meliputi gaji guru, operasi, infrastruktur. Sekarang ini dana paling sukar ialah gaji guru. Tidak ada orang mahu danai. Ia tidak seperti kos lain seperti boleh derma buku, alat tulis dan sebagainya, (itu) memang banyak," luah Mukmin.
Jelasnya, pihaknya hanya mampu membayar gaji guru sekitar RM1100 yang disifatkannya sangat rendah untuk mempertingkat motivasi dan produktiviti.
Secara jujur, kos operasi untuk keempat-empat sekolah alternatif ini memerlukan sekitar RM200,000, kata anak muda itu.
Sambung beliau, cita-cita tinggi penubuhan Sekolah Alternatif buat kanak-kanak tiada dokumen ini adalah untuk memberi mereka ruang pendidikan, sebelum akhirnya menyerahkan isu berkenaan kepada pemerintah.
"Propaganda kita ialah pemerintah harus bertanggungjawab kepada anak-anak ini. Kalau sampai masa kerajaan buat keputusan untuk menyuntik dana, silakan. Kita mempunyai banyak projek lagi. Sekolah Alternatif diwujudkan untuk menjawab persoalan konkrit," ujarnya.
Perlu iltizam politik
Sambung Mukmin lagi, mewujudkan peluang pendidikan kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan merupakan tuntutan hak asasi mereka, yang majoritinya berusia sekitar 7 hingga 16 tahun, dan kebanyakannya tidak pernah bersekolah.
"Yang mahu kita rungkai ialah persoalan hak asasi pendidikan anak-anak ini, bukannya persoalan politikal yang begitu kompleks," katanya yang melihat persoalan konsep 'pendatang' dengan anak-anak yang lahir di sini tapi terhalang daripada mendaftar kelahiran, masih belum terjawab dengan tuntas.
"Sebab itu, kita banyak buat kempen, jangan sampai menindas anak ini. Di Sabah, kita banyak 'berperang' dengan label anak pendatang dan sebagainya," katanya yang turut menjelaskan isu 'orang tanpa negara' kian meruncing di Sabah sehingga dianggarkan hampir separuh daripada rakyat negeri itu tidak mempunyai dokumen kewarganegaraan yang sah.
Oleh itu, jelasnya, perlu ada satu 'political will' yang tinggi untuk menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kerakyatan khususnya di Sabah yang boleh diibaratkan sebagai 'bom jangka' jika dibiarkan.
"Kami di Sabah, banyak polemik tentang konsep 'orang tanpa negara' ini. Ada yang tidak setuju tidak boleh guna istilah orang tanpa negara, 'stateless', ada yang mengatakan kita perlu nyatakan mereka sebagai 'orang yang tidak ada dokumen'. Itu persoalan politikal, kompleks."
Katanya, apa jua istilah yang digunakan untuk melabel individu berkenaan, hakikat yang perlu dilalui mereka begitu sukar berikutan dinafikan hak kesihatan, keselamatan, pendidikan dan sebagainya, diibaratkan mereka tidak diiktiraf atau tidak wujud. Persoalannya, ke mana arahnya polemik kewarganegaraan ini?
Mukmin yang pernah terlibat dengan Himpunan Pandang Sabah, September tahun lalu turut membayangkan isu terbabit dapat menemui jalan penyelesaiannya dengan mengangkat status Sabah dan Sarawak berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
*Untuk menyumbang kepada Sekolah Alternatif:-
Prakarsa Alternatif 1211 30100 67737 (Bank Islam)
019-228 2796 (Ainina Sofia)



No comments:
Post a Comment