Wednesday, April 24, 2019

Ulasan buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda: Antara romantisme, perjuangan kini, dan harapan masa depan



Oleh HAIZIR OTHMAN

Tahun-tahun 1960-an dan 70-an akan sering dikenang sebagai 'zaman emas' gerakan belia dan mahasiswa lewat aktivisme dan idealisme para pendukungnya. Semangat anak-anak muda ini pada masa itu antaranya dilatari kebangkitan golongan kiri di Barat dengan ideologi sosialisme mereka, juga peristiwa-peristiwa yang membawa kepada tercetusnya Revolusi Iran pada tahun 1979.

Di negara ini, penubuhan Universiti Malaya (UM) pada tahun 1962 diikuti universiti-universiti lain seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970, malah Institut Teknologi Mara (1967) dan lain-lain telah membuka dimensi baru dalam perjuangan golongan belia dan anak muda.

Memasuki alam 'menara gading', golongan muda ini bukan sahaja mengejar ilmu demi memburu segulung ijazah, malah untuk menjadikan ilmu yang dikejar itu lebih bermakna adalah dengan melaksanakan apa yang dipelajari dengan tindakan juga perjuangan untuk membela nasib masyarakat yang tertindas.

Kesedaran dan keprihatinan para mahasiswa ini untuk berjuang telah menghasilkan gelombang kebangkitan rakyat yang dirasai seluruh negara. Tahun 1974 barangkali mencatat paling banyak momen bersejarah dalam perjuangan mahasiswa apabila berlakunya Demonstrasi Tasek Utara di Johor, Demonstrasi Balingdi Kedah, rampasan kampus UM, dan rampasan kampus ITM Petaling Jaya.

Dan dalam perjuangan besar mahasiswa ini, terserlah satu watak penting yang bakal mencorak warna baru dalam perjalanan sosiopolitik negara puluhan tahun selepas itu - Anwar Ibrahim, tokoh reformis yang sering hadir signifikan lewat peristiwa-peristiwa utama dalam catatan panjang sejarah negara sejak 40-50 tahun lalu.

Berbumbu romantisme

Buku-buku berkaitan Saudara Anwar Ibrahim telah banyak ditulis orang, baik dari dalam mahu pun luar negeri. Bakat kepimpinannya, hubungannya dengan tokoh-tokoh pemimpin dari seluruh dunia yang antaranya dijalin sejak usia muda, karisma, dan paling penting prinsip perjuangan adalah kualiti yang ada pada tokoh ini dan jadi bahan penulisan dalam buku-buku tersebut.

Hujung bulan lalu bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), satu lagi buku menyingkap kisah hidup dan perjuangan Anwar dilancarkan. Mengumpul tulisan dari 12 orang tokoh dari pelbagai latar belakang; sosial, akademik, politik dan lain-lain yang mengenali beliau secara dekat, buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda jadi dokumentasi terbaru tokoh pemimpin nasional ini.

Menyempurnakan pelancaran buku tersebut ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, bersama-sama adiknya, Nurul Ilham. Simbolik kepada pelancaran buku tersebut bukan sahaja kerana ia dibuat anak-anak Anwar tetapi kedua-dua sosok ini mengingatkan semua akan peristiwa pemecatan beliau dari parti dan kerajaan pada September 1998, terutamanya pada detik-detik cemas ditangkap polis lewat serbuan di rumahnya.



Disusun Zairudin Hashim, buku dengan ketebalan 136 muka surat ini diterbitkan ABIM Press, rumah penerbitan di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), pertubuhan yang pernah dipimpin Anwar Ibrahim sebagai presiden dari tahun 1974 hingga 1982.

Dan disebabkan perkaitan ini, nada hampir keseluruhan tulisan dalam buku ini amat kuat berbumbu romantisme akan kenangan-kenangan ketika anak kelahiran Kampung Cherok Tok Kun ini memimpin gerakan Islam tersebut, selain Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada tahun-tahun sebelumnya.

Eratnya hubungan peribadi Anwar dengan ABIM-PKPIM dan besarnya pengaruh beliau terhadap dua gerakan itu dari dulu hingga sekarang dapat difahami lewat buku ini. Namun, untuk membingkaikan keseluruhan perjuangan Anwar walaupun dalam garis masa zaman mudanya sahaja, buku ini tidak dapat melakukannya dengan adil.

Ini kerana selain ABIM, PKPIM, Majlis Belia Malaysia (MBM), Anwar turut terlibat aktif dalam gerakan belia di peringkat serantau dan antarabangsa seperti Perhimpunan Belia Muslim Dunia (World Assembly of Muslim Youth, WAMY), Pertubuhan Pelajar Persekutuan Islam Antarabangsa (International Islamic Federation of Student Organizations, IIFSO) dan lain-lain.

Namun, ia tidak diceritakan sebaiknya dalam buku ini untuk mewajarkan 'semangat darah muda' yang dijadikan tajuk menghiasi muka depannya, selain kekaguman terhadap tokoh ini.

Tarik anak muda Tionghua

Walau bagaimanapun, tulisan Naib Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Samsudin dalam bab Anwar Ibrahim: Qudwah Nahdah Anak Muda antara yang menarik untuk dibaca. Berbanding bernostalgia, beliau menggariskan kekuatan generasi muda tahun 70-an dan 80-an yang boleh dijadikan contoh generasi kini. Dan berbanding terlalu memuji Anwar, puji-pujian turut dibahagi-bahagikan sesama tokoh pemimpin seangkatan lain seperti Allahyarham Ustaz Fadzil Nor, Dr Siddiq Fadzil, dan lain-lain dalam apa yang disebut sebagai 'kepimpinan kolektif'.

Tidak 'memonopoli' sosok Anwar untuk kumpulannya sahaja, Fahmi turut menukilkan betapa tokoh ini adalah milik semua termasuk golongan bukan Islam di negara ini. Penerimaan dan pengiktirafan mereka terhadap Anwar adalah atas keupayaannya 'mengartikulasi kerelevanan Islam dalam masyarakat majmuk' sejak dari usia muda lagi.

Jelasnya, prinsip 'co-existence' (hidup bersama) dan interaksi sesama masyarakat berlainan agama yang dibawa Anwar menjadi kayu ukur kekuatan personaliti kepimpinan beliau.

Hakikat ini diakui pemimpin-pemimpin muda dari kaum Tionghua yang kini sudah menjadi pelapis kepada perjuangan dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) seperti Exco Perak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing, dan ADUN Teja, Sandrea Ng.

Mereka berdua yang turut menyumbang tulisan dalam buku ini punya pengalaman sama lewat peristiwa Reformasi 1998 yang mendorong penglibatan dalam parti yang mewakili kepentingan semua kaum di negara ini.

Kualiti serupa turut disinggung seorang lagi penulis, Dr Zulkifli Hasan yang mengungkapkan, "keunikan Anwar Ibrahim dari sudut pemikiran ialah keupayaan beliau untuk mensintesis dan mengharmonikan idea, gagasan sarjana dunia dari Timur dan Barat serta menghubungjalinkannya dalam konteks Nusantara dan Asia Tenggara."

Idea inilah yang digarap Anwar lewat karya pentingnya, The Asian Renaissance (Gelombang Kebangkitan Asia) yang terbit pada tahun 1996, hasil dari pembacaannya yang luas akan pemikiran tokoh-tokoh falsafah dan politik seperti Ismail Faruqi, Syed Muhammad Naquib al-Attas, juga hubungannya dengan sarjana seperti Syed Hossein Nasr, Azzam Tamimi, Abdul Hamid Abu Sulayman, John Esposito, Rashid Ghannoushi dan lain-lain.

Ketekalan Anwar kepada idea politik akomodatif dan inklusif ini diteruskan sehingga kini walaupun diasak idea-idea radikal seperti perkauman sempit disulami terma agamawi yang mengelirukan.


*Disiarkan di Suara Keadilan isu 416

No comments: