Oleh HAIZIR OTHMAN
Ahad lalu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 melabuhkan tirainya selepas sepuluh hari beracara. Saban tahun diadakan, sejarah penganjuran pesta buku di Malaysia boleh dijejak seawal tahun 1972 apabila pameran International Exhibition of Book Trade and Industry dianjurkan pengusaha buku tempatan sempena Tahun Buku Antarabangsa yang diisytiharkan oleh UNESCO.
Sepuluh tahun selepas itu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) terlibat, dan melalui penganjuran Pesta Buku Malaysia, acara tersebut mula dirancang untuk diadakan secara tahunan dalam skala besar.
Apabila tempat acara dipindahkan dari Changkat Pavilion ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tahun 1991, ia dijenamakan lagi kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) atau nama Inggerisnya, Kuala Lumpur International Book Fair (KLIBF).
Kedudukan yang strategik di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur menjadikan PBAKL di PWTC mendapat sambutan meriah para pencinta buku. Kelahiran gerakan 'indie' dalam acara perbukuan pada tahun 2006 menjadikan Pesta Buku semakin dinanti-nantikan saban tahun.
Tahun-tahun selepas itu menyaksikan kerancakan industri buku. Pesta-pesta buku berskala kecil dan sederhana dianjurkan di pelbagai peringkat. Kemudian, muncul pula 'produk hiliran' buku seperti Buku Jalanan, kelahiran zine (majalah swaterbit - fanzine), wacana buku, baca puisi dan lain-lain.
DBP macam-macam hal
"Namun, sedekad kemudian, semuanya jahanam!"
Penulis prolifik, wartawan, dan bekas Naib Presiden Kanan TV Al-Hijrah, Zainal Rashid Ahmad tidak berselindung dalam melahirkan kekecewaannya dengan apa yang berlaku dalam industri buku kini. Ayat di atas adalah ayat beliau, dipetik dari tulisan beliau dalam The Malaysian Insight.
Menurutnya, kejatuhan industri buku sejak empat tahun lalu telah menjadikan pesta buku kelihatan sebagai pesta melelong buku. Para penerbit indie yang menikmati zaman kegemilangan buku 2006-2014, malah penerbitan berbobot, sama ada gulung tikar atau terpaksa menjual murah buku-buku mereka secara pukal sepanjang PBAKL berlangsung.
Ini dilihat strategi terbaik bagi menghabiskan stok buku yang telah bertimbun dan berdebu dalam stor.
Berdasarkan pemerhatian Suara Keadilan, diakui rata-rata gerai jualan menurunkan harga buku dengan banyak, dari 30 hingga 80 peratus. Walaupun ini mungkin menyenangkan para peminat buku, ia sebenarnya satu situasi tidak sihat kepada ekosistem perbukuan negara.
Penutupan satu demi satu rumah penerbitan bukanlah perkara yang baik kepada industri buku. Ditambah dengan status Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 yang bakal negara ini sandang beberapa bulan sahaja lagi, kebimbangan Zainal ialah industri buku bakal kiamat terlebih dahulu sebelum tiba tahun depan.
Namun, walau pun demikian, PBAKL tetap dinikmati para pencinta buku dari seluruh negara. Melihat kepada bilangan pengunjung yang tidak putus-putus sejak hari pertama hingga terakhir, acara buku tetap punya khalayaknya sendiri yang boleh dimanfaatkan jika kena gayanya.
Pelakon, penyair, dan penulis berbakat besar, Pyanhabib Rahman punya pandangannya sendiri. Bagi beliau yang hampir setiap tahun tidak ketinggalan hadir ke Pesta Buku KL, ini adalah tempat untuknya bertemu kawan-kawan dalam dunia perbukuan dan sastera.
![]() |
| Pyanhabib |
Acara sebegini juga jelasnya dapat menjadi medan anak-anak muda untuk meluahkan suara mereka lewat karya-karya yang mereka terbitkan.
"Di tingkat atas, ada (gerai) geng (kumpulan) indie. Mereka terbitkan buku-buku yang penerbit biasa susah nak terbitkan."
"Contohnya DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) yang terikat dengan macam-macam hal. Sekurang-kurangnya mereka (anak muda) berani, dan ada kesedaran," kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-7 itu ketika ditemui.
Diplomasi buku
Ahli Dewan Negara, Senator Yusmadi Yusoff pula punya pandangan berbeza. Beliau sama sekali tidak bersetuju dengan gelaran 'pesta lelong' kerana baginya ia cuma tanggungjawab penerbit untuk menghabiskan stok buku agar ia dapat dimanfaatkan pembaca dan tidak terperuk dalam simpanan.
"Buku bukan benda lelong, hanya orang tak faham kata ia lelong. Sebaliknya ia bantu mereka yang nak baca, dapat akses kepada buku dan manfaatkannya."
![]() |
| Senator Yusmadi Yusoff |
Beliau yang ditemui selepas menjadi ahli panel dalam forum anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) sempena PBAKL berkata, buku adalah relevan untuk semua.
"Cuma apa yang perlu kita tambah ialah, kita tak boleh anggap pesta buku ini seperti satu program kanak-kanak melancong. Ia perlu datang dengan satu aktiviti yang sihat," katanya kepada Suara Keadilan.
Dalam forum bertajuk "Orang Buku Dalam Kerajaan - Mampukah Bantu Industri?" itu, Yusmadi melontarkan persoalan adakah para penulis perlu mendekati pemerintah kerana jelasnya, karya-karya agung dunia seperti Tafsir al-Azhar nukilan ulama Nusantara, Hamka, lahir di penjara.
Beliau yang melihat peranan buku sebagai amat besar termasuklah dalam memperkenalkan budaya negara ke peringkat antarabangsa berkata, buku malah mampu mewujudkan 'culture diplomacy' (diplomasi budaya) antara negara-negara.
"Di mana kedudukan buku dalam diplomasi budaya yang mampu meningkatkan pasaran, ekonomi, malah keselamatan negara?" tanya Yusmadi.
Berhasrat membawa pengisian buku dan kelimuan ke Dewan Negara yang akan bersidang selepas persidangan Dewan Rakyat hujung bulan ini, beliau mengalu-alukan perkongsian dari khalayak terutama para pencinta buku untuk diketengahkan.
*Disiarkan di Suara Keadilan isu 415



No comments:
Post a Comment