Wednesday, February 20, 2019

Selepas 60 tahun, bahasa Melayu belum jadi identiti nasional



Oleh HAIZIR OTHMAN

Sebuah negara bangsa yang berdaulat ditakrifkan lewat geografi, politik, dan kebudayaannya. Bangsa adalah identiti kebudayaan yang dikongsi bersama oleh rakyat manakala negara sebagai pengawal dan pentadbirnya. Sebagai sebuah negara bangsa, ia harus ada satu identiti nasional, sempadan-sempadan fizikal dan satu kerajaan.

Apa yang terlibat dalam urusan ini adalah bahasa mana yang kita tuturkan, sistem perundangan bagaimana yang kita guna pakai, malah perayaan apa yang kita sambut. Frasa 'bangsa' dalam terma 'negara bangsa' itu membawa makna rakyat; terbina dari satu kepercayaan bahawa insan-insan dalam negara itu saling terhubung antara satu sama lain.

Sama ada kita tinggal di Selangor, Melaka, Sarawak; berbangsa Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan; beragama Islam, Kristian, Buddha atau apa sekalipun; kita dihubungkan dalam negara ini, Malaysia oleh satu istilah - nasionalisme.

Adalah amat mengelirukan jika kita melaungkan kata-kata berbaur semangat nasionalisme setiap kali menjelang hari kebangsaan jika ciri-ciri identiti nasional yang seharusnya kita semua kongsi bersama sebagai rakyat dalam sebuah negara bangsa itu, masih berbeza mengikut pengkelasan tertentu.

Berkongsi satu kerajaan di peringkat persekutuan, dibatasi garis-garis sempadan geografi yang sama, sayangnya dalam hal-hal kebudayaan kita masih punya banyak perbezaan.

Bahasa adalah satu aspek yang jadi pembeza antara kita, sering dijadikan isu pertikaian sejak dulu, walaupun telah disepakati secara rasmi dalam perlembagaan bahawa kita hanya ada satu bahasa kebangsaan - bahasa Melayu.

Puluh tahun bincang

Apabila negara ini mencapai kemerdekaan lebih enam dekad lalu, perbincangan tentang isu kebudayaan kebangsaan telah diadakan. Kongres Kebudayaan Melayu pertama diadakan beberapa bulan selepas merdeka, dari 30 Disember 1957 hingga 2 Januari 1958 di Melaka, merumuskan bahawa teras kebudayaan kebangsaan adalah kebudayaan Melayu.

Sepuluh tahun berikutnya, berlangsung Debat Kebudayaan yang cukup bersejarah antara tokoh akademik tersohor, Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan pemimpin muda DAP ketika itu, Lim Kit Siang pada November 1968 di Auditorium MARA, dikatakan punya kaitan dengan pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) tiga tahun selepasnya pada tahun 1971.

Tidak dilupakan, tragedi berdarah pada tahun 1969 turut punya 'saham' dalam pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan, walaupun isu ekonomi dan politik dikatakan sebagai faktor-faktor utama kejadian tersebut.

Pembentukan DKK 1971 cukup monumental. Ia mempunyai tiga teras - kebudayaan Melayu sebagai teras Kebudayaan Kebangsaan, unsur-unsur budaya lain yang sesuai diberi penimbangan, dan Islam sebagai unsur penting dalam Kebudayaan Kebangsaan.

Mundar laju (fast forward) ke puluhan tahun berikutnya, isu budaya terutamanya bahasa masih seperti kelasi sesat di lautan, berpusing-pusing belum berjumpa daratan. Buktinya, memasuki pertengahan bulan kedua tahun 2019, isu ini masih dibincangkan seperti kali pertama ia dibuat datuk moyang kita lebih 60 tahun lalu.

Bezanya, memasuki era Malaysia Baru, isu ini turut dijenamakan dengan terma tersebut. Bertempat di Rumah PENA, Kuala Lumpur pada 17 Februari lalu berlangsung forum bertajuk Bahasa Melayu Era Malaysia Baru: Retak Menanti Belah? anjuran Biro Penulis Muda PENA membariskan ahli-ahli panel Jamalee Bashah dari laman The Patriots, Dr Imran Mustaffa dari Universiti Malaya (UM), dan Dr Muhamad Nazri Mohamed Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).



Masih punya kebimbangan sama tentang kedudukan bahasa Melayu dalam negara bangsa Malaysia ini, forum yang dimudah cara oleh Arif Atan ini tidak dapat lari daripada mengulang isu lama seperti Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang kini ditukar kepada Dual Language Program (DLP), isu papan tanda, kefasihan warga dalam bahasa kebangsaan termasuk tokoh nasional, dan lain-lain lagi.

Namun, tidak seperti yang digambarkan lewat tajuk forum, Dr Nazri menjelaskan isu ini telah lama wujud dan tidak semata-mata bermula pada zaman Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan.

Jelas pensyarah dari Jabatan Sains Politik UKM itu, ia berkait dengan minda masyarakat kita yang masih dibelenggu pemikiran penjajah yang datang membawa hegemoni bahasa Inggeris sejak ratusan tahun lalu sehingga kita tidak dapat keluar dari perangkap idea tersebut.

"Cara untuk membina empayar adalah melalui bahasa. British datang, melantik kelompok elit dalam masyarakat dengan gaya hidup kolonial. Penjajahan menjadikan bahasa mereka lebih utama daripada bahasa penduduk tanah jajahan," katanya.

Identiti nasional

Pemikiran ini dikukuhkan lagi memasuki abad ke-21 apabila fenomena globalisasi melanda dunia dengan medium utama yang menampungnya adalah bahasa Inggeris. Kesannya kepada negara ini adalah apabila kerajaan melaksanakan PPSMI pada tahun 2003, sebelum dimansuhkan pada tahun 2009 setelah berlaku bantahan besar-besaran pada tahun 2007.

Mengungkapkan persoalan kecelaruan identiti di negara ini, Jamalee Bashah mencadangkan kerajaan menumpukan usaha kepada pembentukan identiti nasional lewat sistem pendidikan kebangsaan dan bahasa Melayu sebagai medium perpaduan.

"Nama, agama sukar diubah, tapi bahasa boleh jadi permulaan. Bukan asimilasi, tapi integrasi. Saya tak se-ekstrem nasionalisme Thailand atau Indonesia tapi suka kepelbagaian. Wajib ada sekurang-kurangnya penyatuan bangsa dari aspek bahasa," katanya.

Jelasnya, apa jua idea yang cuba dibawa kerajaan sama ada Bangsa Malaysia atau Malaysian Malaysia perlu mempunyai satu identiti yang mengikat rakyat. Dan identiti tersebut telah pun dimaktubkan dalam perlembagaan iaitu bahasa kebangsaan.

Mengulas lanjut, beliau mempertanyakan haluan sekolah pelbagai aliran yang tidak membawa kita menuju kepada satu idea yang sama, sebaliknya bertentangan. Pada masa yang sama beliau mengakui kualiti sekolah kebangsaan perlu ditingkatkan bukan sahaja dari segi pendidikannya malah infrastruktur.

Bercakap kepada Suara Keadilan, pengerusi Patriots itu membangkitkan isu papan tanda pelbagai bahasa yang heboh diperkatakan satu ketika dulu. Jelasnya, masalah timbul apabila bangsa lain merasakan identiti nasional tidak inklusif, menyebabkan mereka berasa tidak diwakili apabila papan tanda tidak memaparkan bahasa ibunda mereka.

"Perkara ini satu idealisme yang sangat bahaya. Sebab itu saya katakan, ada yang membawa unsur ketimuran, barat dan ada yang ke utara sebagainya. Lama-lama negara ini cair, koyak rabak," katanya lagi.



*Disiarkan di Suara Keadilan 412


No comments: