Wednesday, February 13, 2019

"Sukarelawan bukan kerja angkat barang sahaja!"



Dengan moto "Sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain", Malaysian Relief Agency (MRA) sejak tahun 2009 telah menjelajah ke seluruh pelosok dunia menabur bakti dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan. Jika anda pernah terinspirasi dari kisah-kisah para sukarelawan White Helmets dalam kancah peperangan di Syria, MRA tidak kekurangan kisah untuk disampaikan. Timbalan Presidennya, Khairil Annuar Khalid punya pengalaman lebih 30 tahun sebagai pekerja bantuan kemanusiaan. Pernah menetap hampir enam tahun di Sarajevo, menyampaikan bantuan kepada mangsa perang Yaman, menyantuni anak-anak Rohingya, turun ke kawasan bencana Palu, kisah beliau tidak kurang menarik untuk diceritakan. Ikuti wawancara beliau dengan sub editor Suara Keadilan, Haizir Othman baru-baru ini di pejabat MRA di Kuala Lumpur.


SK: Sejak bila kesedaran kesukarelaan ini mula popular di Malaysia? Adakah sejak penubuhan Yayasan Salam pada tahun 1996 oleh Saudara Anwar Ibrahim?

Khairil: Kesukarelaan ini sudah ada sebelum itu lagi, cuma sebelum itu ia tak tersusun seperti sekarang. Pada masa itu ia berada di bawah organisasi-organisasi seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), dan sebagainya, bukan satu badan kemanusiaan yang berstruktur secara khusus. Apabila Yayasan Salam ditubuhkan pada 1996, lebih ramai orang tahu tentang gerakan kesukarelaan.

Sebelum itu, sebagai organisasi kemanusiaan, kita ada Malaysian Relief Centre ABIM di bawah Malaysian Relief International, kesinambungan dari agensi kesukarelaan ABIM, Yayasan Amal yang diketuai Saudara Ahmad Kamal Mohd Ali, dan Setiausaha Agung ABIM pada waktu itu, Mohd Anuar Tahir, (kini Timbalan Menteri Kerja Raya), dan presidennya Dr Muhammad Nur Manuty.

Saudara Kamal bincang dengan saya untuk tubuh satu badan kemanusiaan yang berstruktur, Malaysian Relief International secara tak rasmi. Kami mula buat kerja-kerja kemanusiaan di Uzbekistan, Asia Tengah, Bosnia. Pada waktu itu kita buka Malaysian Relief Centre ABIM di Sarajevo, dan Zagreb.

Yayasan Salam tertubuh hasil buah fikiran sebilangan sukarelawan untuk tubuh satu badan kemanusiaan yang lebih tersusun, dan disambut oleh Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, Saudara Anwar Ibrahim, merupakan penglibatan rasmi kerajaan dalam badan sukarelawan tanpa melalui mana-mana kementerian, tapi merupakan satu NGO. Pengerusi pertamanya, Mohd Anuar Tahir.


SK: Bagaimana NGO-NGO sukarela menjalankan aktiviti dengan dana yang sedikit? Dari mana dapat dana?

Khairil: Dulu, tidak banyak NGO ditubuhkan terutamanya dalam kerja-kerja kesukarelaan. NGO bukan satu benda yang biasa didengar. Cuma ada badan-badan atau pertubuhan seperti ABIM, JIM, CAP, Rotary Club. Orang tak tahu konsep sebuah badan bantuan kemanusiaan seperti sekarang kita ada MRA, dan Global Peace Mission (GPM). Yang ada cuma NGO antarabangsa, bukan bertapak di Malaysia.

Dana kita jana sendiri. Ada juga kita dapat dari kerajaan, tapi khusus untuk satu-satu projek. Selain itu, kita dapat dari individu, korporat, dan NGO-NGO lain, rakan-rakan kongsi kita dari NGO dalam dan luar negara yang beri dana untuk kita laksanakan program.



Contohnya, dalam projek kita di Yaman. Ada NGO lain beri sumbangan tapi tidak ke sana, maka kita letak logo mereka sebagai penderma. Kita laksanakan. Dalam hal ini kita perlu meraikan semua orang dan bekerjasama.

Kita juga dapat dana dari United Kingdom, dan rakan-rakan dari negara-negara Scandinavia. Apabila berkhidmat di Bosnia dulu, saya bina rangkaian yang kekal sehingga sekarang. Maka apabila berlaku bencana di Lubnan contohnya, kita hubungi rangkaian kita yang bekerja di sana. Dari situ kita buka jalan, adakah kita akan pergi melalui mereka atau kita pergi terus.


SK: Bagaimana MRA ditubuhkan?

Khairil: MRA ditubuhkan oleh para senior dalam kerja bantuan kemanusiaan yang telah berkecimpung sejak tahun 1980-an lagi, seperti Dr Abdul Razak Kechik (presiden pertama MRA), Dr Ishak Masud, Dr Daud Sulaiman dan lain-lain.

Kemudian kita fikir perlu ada satu organisasi di luar badan induk, badan kemanusiaan yang lebih bersifat inklusif untuk semua rakyat Malaysia, beri peluang kepada anak-anak muda untuk menceburi badan bantuan kemanusiaan atas nama MRA.

Salah satu jasa MRA adalah penubuhan MyCorps di mana kita perintisnya, bersama-sama dengan ABIM. Sehingga sekarang kita masih jadi jurulatih MyCorps. Angkatan pertama lepasan MyCorps, rata-rata ada di Mercy, MRA dan badan-badan kemanusiaan lain. Kita mahu latih anak-anak muda sebagai pekerja bantuan kemanusiaan di mana jua mereka pergi selepas itu.

Kita panggil sukarelawan MRA sebagai Sahabat MRA. Konsep bantuan kemanusiaan ada dua - pertama sukarelawan (volunteer), kedua pekerja bantuan kemanusiaan (humanitarian worker). Kita layan sukarelawan kita sebagai pekerja bantuan kemanusiaan, kita akan latih mereka. Sebagai pekerja bantuan kemanusiaan, mereka kena tahu UN Charter (Piagam PBB), buat laporan, ambil gambar, komunikasi dengan penderma, komunikasi di lapangan. Itu semua latihan sebelum mereka dihantar bertugas, contohnya ke Yaman untuk tempoh tiga bulan.

Berbeza dengan sukarelawan dalam kefahaman biasa, mereka terikat kepada etika sebagai pekerja bantuan kemanusiaan. Mereka tak boleh ambil atau pegang duit tanpa rekod. Ini perkara asas.



Sekarang ramai tak faham, apabila jadi sukarelawan, seolah-olah terpulang kepada kita untuk tentukan kerja-kerja sendiri. Ini tak betul. Tapi ada juga konsep sukarelawan biasa yang akan jaga projek-projek one-off atau jangka pendek seperti khidmat Orang Kurang Upaya (OKU) seminggu sekali, program untuk miskin tegar dan sebagainya. Itu projek berbeza, secara ad hoc. Jadi ada dua konsep yang ramai orang keliru.

Sebab itu perlu ada latihan untuk jadi sukarelawan yang baik. Contoh, jika berkhidmat di Indonesia, di sana kita jangan guna istilah "budak-budak", kerana ia merendahkan martabat mereka, seperti hamba. Sebaliknya kita perlu guna istilah "anak-anak". Walaupun ia nampak kecil, tapi kesannya besar. Maka ini perlu dilatih.


SK: Di negara ini, gerakan kesukarelaan selalu dilihat secara umum, walhal sebenarnya terpecah kepada banyak bidang: pendidikan, kesihatan, bencana alam, Orang Asli, dan lain-lain. Adakah ini menunjukkan kesedaran orang ramai masih kurang terhadap pergerakan ini?

Khairil: Benda itu perlu kita beri kesedaran. Orang selalu nampak sukarelawan ini tolong angkat barang sahaja.

Bila mereka lihat berita, ada yang datang jumpa kita mahu pergi Palestin, Yaman. Tapi apa yang kamu mahu buat di sana? Kalau mahu tolong angkat barang, orang sana boleh buat. Ini ramai tak faham. Kesukarelaan juga ada akauntan yang jaga akaun, datang pejabat. Orang ramai tak nampak kerja-kerja di belakang tabir.

NGO perlu dana, untuk itu kita perlu promosi yang baik. Orang pandai IT boleh bantu kita buat persembahan yang baik. Itu juga sukarela tapi orang tak nampak. Mereka cuma nampak bila ada banjir, angkat barang.

Kita juga latih pandu kenderaan pacuan empat roda, cara ambil gambar. Kita ada MRA Medic, ada doktor, jururawat, paramedik, lojistik yang diketuai para pakar bertauliah. Kalau kita tak ada kepakaran, cuma nak tolong orang sahaja, akan jadi sukar. Gudang berapa keluasannya, apa barang diperlukan. Adakah perlu beli di sini atau di negara tersebut, dan lain-lain. Sebab duit orang bagi, kalau kita buat keputusan silap, akan berlaku pembaziran.


SK: Apa keperluan paling mendesak pada ketika ini dalam kerja kesukarelaan? Adakah wang ringgit? Bantuan kerajaan? Kesedaran masyarakat?

Khairil: Saya nampak, kita dah ada pengalaman dalam bidang ini. Apa itu Malaysian Incorporated (perbadanan Malaysia) yang pernah dikatakan Tun Mahathir? Yang orang nampak cuma sektor kerajaan dan perniagaan. Tapi kita terlepas satu perkara, sektor ketiga - civil society (masyarakat madani), termasuklah pekerja bantuan kemanusiaan. Ini semua perlu dilibatkan sama dalam pembangunan negara.

Apabila kami berada di Bosnia, kita bekerjasama antara kerajaan, perniagaan, dengan NGO. Semasa perang, yang mula-mula masuk adalah kita. Selepas perang, kerajaan masuk. Kita bantu Wisma Putra untuk buka pejabat di Sarajevo. Kita dapat pengiktirafan sebab kita dah kenal Presiden semasa perang lagi. Kemudian sektor perniagaan masuk untuk bina semula Bosnia. Inilah caranya dan sepatutnya berlaku.



Kerajaan dan perniagaan patut danai NGO yang bekerja di lapangan kerana manfaatnya mereka juga peroleh, ia satu kitaran. Seperti di Jepun, mereka ada JICA (Japan International Cooperation Agency) dan ODA (Official Development Assistance). Mereka masuk negara-negara membangun, beri bantuan sebagai NGO. Kemudian kerajaan Jepun pula masuk dan beri bantuan. Selepas itu, perniagaan mereka pula masuk.

Konsep ini kita perlu serap dalam kerajaan hari ini. Tak boleh lihat NGO secara terpisah daripada sistem. Seperti Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 1950-an lagi telah hantar Peace Corps ke negara-negara buat tinjauan, hantar laporan kepada jabatan kerajaan bagaimana mereka boleh masuk.

Ini juga yang kita buat di Bosnia. Kita masuk, buat kerja di lapangan, kemudian kerajaan bantu. Masa kita buat program anak-anak yatim, mangsa perang, kita dapat bantuan kerajaan. Kita bekerja bagi pihak kerajaan Malaysia kerana kerajaan tak akan masuki negara sedang perang. Sama seperti di Yaman, kita beritahu kedutaan apa yang jadi di sana dari perspektif kita untuk mereka analisis. Dari situ, kita boleh buat polisi di Yaman sebab kita sudah berada di lapangan.


SK: Bagaimana kerja-kerja kesukarelaan mampu bina kualiti diri, khususnya kepada anak muda?

Khairil: Sebelum itu, kerajaan perlu main peranan, iktiraf para sukarelawan seperti adik-adik kita dalam MyCorps, agar apabila mereka minta kerja, ada peluang yang baik. Kerajaan, malah swasta perlu iktiraf, hargai mereka. Contoh, Peace Corps, apabila mereka balik minta kerja dengan kerajaan AS, mereka ada kelebihan sebab mereka dah biasa pergi luar negara, kerja di tempat-tempat yang teruk.

Dan jika betul-betul ikhlas, ia boleh bina jati diri, dari segi merancang perkara, latih diri lebih peka kepada persekitaran. Tak ramai anak muda tahu tentang orang miskin tegar, penagihan dadah, masalah sosial, gelandangan, dan sebagainya. Kalau tak buat, dia tak tahu. Sukarelawan boleh bina diri sendiri, dan bagaimana boleh sumbang kepada masyarakat.


SK: Apabila berlaku bencana, ada satu gelombang kesedaran untuk bantu mangsa, tapi kadangkala salurannya salah. Komen?

Khairil: Apabila berlaku banjir di Kelantan dulu, ramai yang mahu datang bantu tapi rata-rata datang hari Jumaat, balik hari Ahad kerana hari Isnin perlu bekerja. Apa yang berlaku, mereka beri sumbangan kepada orang yang tak tepat, dan hanya mahu habiskan duit sumbangan yang dikutip dari surau-surau mereka dan sebagainya. Tiada data dan koordinasi. Kemudian hampir semua beri benda sama seperti beras, sardin, mi segera walhal mangsa mungkin dah dapat itu semua.

Apabila kita pergi satu tempat, kita lihat kalau di sana sudah ada bantuan dari badan lain, maka kita pergi tempat lain agar tak bertindih. Perlu ada mesyuarat koordinasi yang dipantau kerajaan. Kalau ikut Majlis Keselamatan Negara (MKN), apabila berlaku bencana dan diisytihar darurat, yang berkuasa di daerah tersebut adalah DO (Pegawai Daerah).



Kerajaan boleh jadi koordinator, dan NGO boleh bagi input. Perlu wujud komunikasi. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) perlu proaktif dan main peranan dalam hal ini, dengar pandangan NGO-NGO berkaitan.

Kadang-kadang ada berlaku humanitarian tourism (pelancongan kemanusiaan) di mana mereka datang sana hanya untuk melawat tempat untuk bergambar dan sebagainya. Sesetengah di kalangan mereka mahu ke Palestin, Yaman dan sebagainya tapi tidak tahu apa yang perlu dibuat di sana. Tapi bila kita minta berkhidmat dalam negara untuk projek-projek lain seperti Orang Asli, miskin tegar, mereka tak mahu.


*Disiarkan di Suara Keadilan 411

No comments: