"Perbezaan antara negarawan dengan politikus ialah: politikus berfikir tentang pemilihan akan datang manakala negarawan memikirkan generasi akan datang."
Kata-kata tokoh pengarang dari Amerika Syarikat, James Freeman Clarke itu walaupun diungkapkan lebih seratus tahun lalu masih tetap relevan hingga ke hari ini malah mungkin untuk seratus tahun akan datang sekalipun.
Bertitik tolak dari pemikiran sebegitulah barangkali, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak menjawat jawatan Perdana Menteri buat kali kedua pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, tidak henti-henti merangka cara dan strategi bagi menyelamatkan generasi akan datang.
Dan salah satu daripadanya adalah dengan menyingkirkan 'barah' yang telah merosakkan negara ini sejak sekian lama - rasuah.
Dalam buku biografi bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, The Reluctant Politician (2007) susunan Ooi Kee Beng, ada diceritakan bagaimana tokoh negarawan itu menangguhkan rawatan kanser yang sepatutnya dijalankan di London kerana pada waktu itu beliau sedang berada di tengah-tengah pelancaran rancangan perundangan yang penting, antaranya termasuklah langkah membanteras rasuah.
Sikap yang ditunjukkan itu hanya menunjukkan kepentingan gejala rasuah diperangi; dalam kes Tun Dr Ismail, walaupun ia merisikokan nyawanya sendiri.
Sistematik dan sistemik
Tindakan ini hanya menjadi semakin mustahak apabila imej negara telah dicalari satu julukan yang memalukan - kerajaan kleptokrasi; gelar yang diberi Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat lewat skandal kewangan terbesar melibatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sehingga pentadbiran kerajaan lalu tumbang dalam PRU-14, gelaran tersebut turut tercabut dari tanda nama Malaysia, namun ia tidak datang tanpa iltizam tinggi rakyat yang sungguh-sungguh mahu nama negara dipulihkan.
Dan kelegaan seterusnya walaubagaimanapun tidak akan dapat dihela tanpa langkah agresif pentadbiran baru membersihkan saki-baki kotoran kleptokrasi yang telah lama melekat di dinding-dinding bangunan pentadbiran negara.
Kenyataan Perdana Menteri pada hari-hari awal memasuki pejabat di Putrajaya bahawa "rasuah dalam pentadbiran kerajaan bukan sahaja telah menjadi sistematik bahkan sistemik" nyata memberi gambaran bahawa usaha ini bakal berdepan cabaran besar di hadapannya.
Maka, pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 baru-baru ini oleh Perdana Menteri di Putrajaya adalah senjata terbaru dalam perang melawan rasuah ini. Sejauh mana ia cukup ampuh akan ditentukan pengendalinya terutama di kalangan pimpinan politik dan kakitangan awam kerajaan.
Malah, sebelum pelan ini dilancarkan lagi, sudah ada tanda-tanda positif dalam pentadbiran negara apabila Malaysia naik satu anak tangga ke kedudukan 61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Kedudukan ini satu tahap lebih baik daripada kedudukan 62 yang diduduki Malaysia pada tahun 2017, sebelum berlangsungnya PRU-14, apabila berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 mata dalam tinjauan dilakukan CPI.
Sebagai makluman, skor CPI ditentukan berdasarkan kepada 13 tinjauan dan penilaian daripada pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara mengikut skala sifar (dianggap paling rasuah) sehingga 100 (paling bersih).
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar baru-baru ini berkata, Malaysia berada dikedudukan belakang Singapura (ketiga) dan Brunei (31).
"Kedudukan Malaysia setakat ini agak memuaskan dan masyarakat meletakkan keyakinan terhadap kerajaan HARAPAN.
"HARAPAN baru mengambil alih pentadbiran negara tujuh bulan lalu dan sekiranya kerajaan kekalkan momentum dalam memerangi rasuah, tidak mustahil kedudukan negara boleh meningkat.
"Paling utama, kerajaan perlu memperkasakan integriti dan membanteras rasuah dengan lebih berani,” katanya lapor media portal.
Isytihar harta pasangan, anak
Memandang ke hadapan, NACP dilancarkan bagi menangani isu governans, integriti dan antirasuah secara menyeluruh, hasil siri mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang telah berjalan sejak Jun hingga Disember tahun lalu.
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, usaha kerajaan dalam meningkatkan integriti dan memerangi rasuah sejak Jun lalu sudah mendapat kesan positif termasuk keyakinan pihak antarabangsa seperti UNODC, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Katanya penubuhan NACP hanyalah satu daripada 61 inisiatif yang diputuskan JKKMAR, malah ada di antaranya yang sudah pun dilaksanakan walaupun tidak diketahui umum.
Mengalu-alukan inisiatif ini, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, pelan itu adalah satu usaha yang amat baik dari kerajaan namun apa yang lebih penting adalah pelaksanaannya sebaik sahaja selepas ia dilancarkan.
![]() |
| Ahli Parlimen Subang, Wong Chen |
"Sebagai permulaan, memang ini sesuatu yang baik tapi ia perlu dibaiki dari segi pelaksanaan, perlu dibuat serta-merta dan secara serius," katanya.
Jelasnya, inisiatif kerajaan memulakan proses pengisytiharan harta oleh pemimpin merupakan satu tindakan tepat, namun ia perlu diperketatkan kerana dilihat masih kurang memuaskan. Beliau juga mencadangkan langkah pengisytiharan harta diluaskan kepada pasangan juga anak-anak ahli parlimen yang berumur 21 tahun ke atas.
Malah, bagi memastikan pendedahan yang dibuat itu adalah betul, pengesahan ketepatan maklumat perlu dibuat dengan audit selepas pengisytiharan dilakukan, katanya.
Pengamal undang-undang itu berkata, NACP adalah langkah penting dilaksanakan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat dan membuktikan urus tadbir kerajaan HARAPAN adalah telus.
"Walaupun kita mengambil sedikit masa untuk memulihkan (pentadbiran) kerajaan namun apa yang penting, kita (kerajaan) perlu memastikan rekod integriti bersih tanpa sebarang salah laku mahupun rasuah."
"Perkara ini secara tidak langsung akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk bersama-sama menerima segala perubahan dan pembaharuan yang bakal kita laksanakan," katanya kepada Suara Keadilan.
Jangan ulang silap Umno
Bagi Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula, untuk memastikan kejayaan NACP, ia memerlukan dukungan semua pihak terutamanya para penjawat awam sama ada di Putrajaya, mahu pun di negeri-negeri, termasuklah negeri-negeri di bawah pentadbiran pembangkang.
Melihat langkah ini sebagai usaha bersepadu kerajaan dalam membersihkan negara daripada rasuah dan ketirisan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu mahu kerajaan menyediakan hala tuju yang lebih komprehensif dalam gerakan anti rasuah.
Seperti Wong Chen, Akmal juga melihat langkah pengisytiharan harta sebagai amat baik. Lebih jauh, Akmal juga mahu ia dilaksanakan di di setiap peringkat dalam jabatan-jabatan dan mereka yang memegang jawatan tertinggi.
Namun, pembanterasan rasuah yang bermula dengan langkah ini tidak harus terhenti di situ sahaja. Sebaliknya, tindakan lebih serius perlu diambil termasuklah dengan mengambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang didapati terlibat rasuah, termasuklah jika mereka di kalangan pemimpin kerajaan mahu pun pendukung Pakatan Harapan sekalipun.
![]() |
| Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir |
Justeru, menurut Akmal, kerajaan tidak boleh berkompromi dalam soal itu bagi mengelak kesilapan yang pernah dilakukan pentadbiran Umno-BN sebelum ini.
"Kita lihat pengalaman Umno, lepas kalah baru semua sibuk nak tuding jari sedangkan dahulu mereka ada kuasa untuk memeranginya."
"Jadi dalam isu anti rasuah ini, HARAPAN harus tegas memerangi isu rasuah ini walaupun terpaksa mengambil tindakan di kalangan ahlinya sendiri, dan belajar dari kesilapan Umno yang hanya tersedar apabila hilang jawatan dan kedudukan," katanya kepada Suara Keadilan.
Selangor dah buat
Sementara itu, bagi negeri yang telah lebih awal melaksanakan langkah proaktif menangani isu rasuah dan ketirisan seperti Selangor, langkah kerajaan pusat lewat NACP ini dilihat amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri.
Untuk rekod, Pakatan Harapan (dulunya Pakatan Rakyat), sebaik sahaja mengambil-alih pentadbiran kerajaan negeri Selangor dari Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum tahun 2008, telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) bertujuan antaranya untuk mengesan sebarang penyelewengan dalam kerajaan.
Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, langkah menangani isu rasuah telah dilaksanakan terlebih dahulu kerajaan HARAPAN di Selangor sejak sepuluh tahun lalu dengan mengadakan sesi pendengaran awam SELCAT.
Katanya, SELCAT yang ditubuhkan sejak 2008 itu berperanan antara lainnya untuk mengesan sebarang penyelewengan kerajaan pada masa lalu dan mengelak berlaku sebarang ketirisan masa kini.
"Saya yakin dengan penggubalan NACP, kita (kerajaan HARAPAN) mampu menangani rasuah bukan sahaja di peringkat negeri seperti yang telah SELCAT laksanakan malah di peringkat persekutuan juga.
![]() |
| Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim (kanan) |
Beliau yang juga Speaker DUN Selangor berkata SELCAT telah menunjukkan kewibawaan sejak Pakatan mula mentadbir Selangor dengan mengadakan pendengaran awam secara terbuka kepada media dan orang ramai untuk mendengar dan menyaksikan proses tersebut berjalan.
"Pendengaran awam adalah langkah pencegahan awal, ini adalah satu proses ketelusan dan integriti Kerajaan Selangor dalam komitmen serta azamnya untuk sama-sama membanteras rasuah," jelasnya kepada Suara Keadilan.
Seperti Selangor, Pulau Pinang punya mekanisme anti rasuah serupa lewat dasar cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) dalam usaha menjadi negeri paling bersih rasuah di Malaysia.
Dalam konteks ini, Selangor dan Pulau Pinang boleh dijadikan contoh terbaik termasuk oleh kerajaan persekutuan dalam melaksanakan NACP terutama di peringkat para penjawat awam yang akan melaksanakannya di lapangan sebenar.
Tambah Suee Lim, antara contoh perubahan serta polisi baru yang dibawa SELCAT adalah setiap wakil rakyat tidak dibenarkan duduk sebagai ahli majlis di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan di peringkat jawatankuasa pejabat tanah seperti yang berlaku di zaman Umno-BN.
"Ketika zaman Khir Toyo (bekas MB Selangor), Adun diwajibkan duduk sebagai jawatankuasa di pejabat tanah untuk mempengerusikan mesyuarat. Ini telah menimbulkan pelbagai masalah tanah ketika itu di mana agihan tanah diberikan kepada kroni-kroni mereka. Ini memang berlaku."
"Tetapi selepas kita mengambil alih, kita telah mengubah sistem ini, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak lagi dibenarkan sama sekali berada dalam jawatankuasa tanah supaya tidak berlaku gangguan politik dan salah guna kuasa.
"Inilah beberapa contoh yang kita usahakan sebagai pencegahan awal bagi mengelak berlakunya rasuah," katanya yang juga ADUN Sekinchan.
*Disiarkan di Suara Keadilan 411




No comments:
Post a Comment