Thursday, June 15, 2006

World!

Aku bukanlah seperti dua gadis Malaysia yang ditangkap berjudi bolasepak di Australia, atau seperti lelaki yang diburu polis Thailand kerana disyaki menembak mati penyokong bolasepak Itali yang membuat bising meraikan kemenangan pasukan sokongannya, tapi aku juga bukanlah tidak mengambil tahu langsung tentang Jared Borgetti, kejutan Ecuador ke atas Poland, metatarsal Rooney, juga kekecewaan pawang Togo kerana jampi voodoo ke atas Korea yang tidak menjadi. Aku mengetahui perkara-perkara ini tanpa dipaksa, dan kadangkala obses juga dengannya, angkara provokasi media, dan semua orang dalam dunia. Kalaulah dunia ini diibaratkan seperti satu tayangan video, bagiku World Cup ialah butang pausenya. Hentikan sekejap berfikir tentang Palestin yang mungkin akan perang saudara antara pro-Hamas dengan pro-Fatah, syahidnya Al-Zarqawi ditembak bom Amerika, gempa Jogjakarta yang menelan ribuan nyawa, atau di tempat kita sendiri yang kehabisan idea dan kehabisan gula. Mari raikan kapitalisme dan globalisasi bersama-sama. Maaf, Siti! Maaf, Mawi! Ronaldinho dan rakan-rakannya jauh terlalu popular daripada anda buat masa ini. Maka, apa jua gossip anda sama ada dengan Datuk K, atau Diana Rafar, tolong tundakan sehingga 10 Julai nanti. Apalagi Pak Lah. Maaaaaaaflah banyak-banyak!!! Anda langsung tidak dapat menjentik kami dengan isu Dr Mahathir, jambatan atau apa jua pun, apatah lagi dengan kebaya nyonya. Lenggok gelecek Zidane dan rembatan lencong Jung-Hwan jauh lebih memikat hati.

Tunggulah sehingga pemenang Piala Dunia diketahui dan selepas beberapa minggu, tekanlah semula butang play.

______________________________________________

(Oh, ya! Tontonlah TV sepuas-puasnya juga. Bil tarif elektrik baru belum tiba ke rumah.)


No comments: