Wednesday, June 28, 2006

Episod-episod Cinta

Faeen sewaktu menjawab komenku tentang M. Nasir yang ku"jelesi" suaranya itu, berkata: "Nakkan suara macam Sang Pencinta kena bercinta dulu."Tanpa mahu mengkaji perkaitan antara bercinta dengan suara, dan akibat terdorong dengan kata kunci "cinta" dalam entri tersebut, di bawah ini aku turunkan beberapa episod cinta yang telah dialami sorang kawan aku, Ahmad (bukan nama sebenar) dalam hidup dia. Episod-episod ini adalah dalam bentuk catatan jurnal peribadi.

-Dari puncak Everest paling tinggi, bergolek-golek aku jatuh ke bawah apabila membaca SMS darinya yang berbunyi “Aku akan bertunang cuti Tahun Baru Cina nanti.” (episod07/06)

-Dia ialah guru praktikal baru dan aku ialah guru sandaran di sekolah itu. Bersama-samanya ialah empat orang guru lain yang akan turut menjalani latihan praktikal di sekolah kami. (episod06/04)

-Baru sahaja dia dan kawannya hendak berangkat pulang ke kolej kediaman sewaktu aku tiba-tiba menahan mereka berdua agar tidak pulang dulu. Dan apabila aku membelek-belek ke dalam beg lalu mengeluarkan sebuah bungkusan, kawannya itu sudah pun tergelak kecil. (episod05/03)

-Mimpi malam tadi sungguh indah walaupun agak pelik. Aku menyelamatkannya dari serangan bom yang bertalu-talu. (episod04/98)

-Akibat tidak mahu surat yang kukirimkan kepadanya dibaca oleh warden asrama, aku mengirimkan surat itu menggunakan surat berdaftar. Aku masih terlalu naïf dan lurus untuk bercinta pada waktu itu. Baru tingkatan tiga. (episod03/95)

-Sengaja aku memberitahu sebahagian rakan-rakan sedarjah yang aku sukakan dia. Apabila mereka mengejek-ejek memadankan aku dengannya, aku tidak marah malah sebenarnya gembira di dalam hati. (episod02/89)

-Mungkin kerana malu atau kerana tidak tahu apa-apa, aku menyorok di balik pakaian-pakaian jemuran apabila cucu Makcik Misah sebelah rumah yang baru masuk darjah satu itu menegurku. (episod01/85)

___________________________________________

(Satu hari nanti kalau aku ada mood dan keazaman yang tinggi, cerita-cerita ini akan aku kumpul dan novelkan. Waktu tu, kalau ada di kalangan korang yang nak beli, aku boleh bagi harga diskaun.)


No comments: