Bermula dengan perpindahan kaptennya, Patrick Viera yang berhijrah ke Juventus sebelum ke Inter Milan, prestasi Arsenal semakin jatuh sehingga hampir-hampir tidak layak ke Liga Juara-juara Eropah tahun ini.
Tahun ini keadaannya lebih membimbangkan apabila sebarisan pemain bintangnya berturut-turut meninggalkan kelab itu. Sol Campbell, pertahanan kental Arsenal tanpa sebarang sebab yang diketahui berpindah ke Porstmouth dan nyata dia dan kelabnya begitu menonjol pada ketika ini dengan menghuni tangga kedua liga di belakang Manchester United. Malah, lebih ironis, seorang lagi bintang Porstmouth, Nwankwo Kanu juga adalah bekas bintang Arsenal yang meninggalkan The Gunners beberapa musim lalu.
Bintang dari Perancis, Robert Pires berhijrah lebih jauh ke Valencia walaupun cuba dipujuk Thierry Henry untuk kekal di Arsenal. Khabarnya dia tidak berpuas hati dengan kontrak baru yang ditawarkan kepadanya. Pires ialah pemain tengah yang prolifik walaupun telah semakin dipanjat usia.

Thierry Henry
Yang lebih mengecewakan ialah apabila seorang lagi bintang, Ashley Cole pertahanan kiri England yang bijak mengekang asakan lawan dan terkenal dengan larian pantas semasa counter-attack, juga bertindak meninggalkan kelab itu. Untuk menjadikannya lebih pahit, kelab yang disertai Cole ialah musuh kelabnya, kelab yang memakai nama perempuan, Chelsea. Agak menyakitkan hati apabila Cole membuat kenyataan akhbar bahawa beliau bukanlah seorang yang tamak untuk ke Chelsea. Kenyataan ini walaupun mungkin benar, tetapi sangat sukar untuk dipercayai, seumpama seorang yang pergi ke restoran tetapi bukan untuk makan.
Sepatutnya Arsene Wenger lebih berwaspada sebelum melepaskan Sol Campbell dan Ashley Cole kerana selain kemahiran mereka, mereka juga adalah warga England. FA England dalam tempoh setahun-dua ini akan lebih tegas dalam memelihara survival bolasepak mereka dengan mewajibkan setiap pasukan mesti mempunyai kuota tertentu pemain England dalam skuad mereka. Dengan keluarnya Campbell dan Cole, Arsenal kini hanya mempunyai Theo Walcott yang berusia 16 tahun dalam skuad mereka sebagai penduduk asal negara itu. Selain Walcott, saya tidak kenal orang England lain dalam skuad Arsenal.

Arsene Wenger
Seorang lagi bintang (walaupun tidak begitu bergemerlapan) yang berpindah keluar ialah Jose Antonio Reyes, bintang muda Sepanyol yang berusia 23 tahun. Perpindahannya ke Real Madrid tidak begitu saya pedulikan walaupun semasa kemasukannya ke Arsenal dulu mendapat profil yang begitu tinggi, tidak sepadan dengan sumbangannya yang tidak seberapa. Lagi, dia ditukarkan dengan Julio Baptista, pemain tengah yang tegap dan stabil, yang diharapkan Gilberto, rakan sepasukannya dari Brazil, dapat menggantikan peranan Patrick Viera yang telah hilang.
Sebenarnya, Arsenal mampu menggugat EPL dengan barisan pemain yang ada. Thierry Henry, Emanuel Adebayor, Robin Van Persie, Cesc Fabregas, Freddie Ljunberg, semuanya mampu menggegar gawang dan mampu menjadi mesin pencetak jaringan. Cuma barisan pertahanannya barangkali agak goyah dengan kehilangan Campbell dan Cole, sementelah Philippe Senderos masih dibelenggu kecederaan panjang sejak Piala Dunia yang lalu. Hanya kekebalan Jens Lehmann diharapkan dapat menyelamatkan gawang Arsenal daripada terus dibolosi lawan.
Robin Van Persie
Sederetan pemain muda yang membarisi skuad Arsenal walaupun tidak stabil sepatutnya berpotensi untuk menjulang kejuaraan pada penghujung musim. Ini kerana liga masih panjang dan biasanya pemain-pemain berusia akan mengalami kecederaan pada pertengahan musim dan pada ketika itu kelab-kelab akan mempunyai krisis kekurangan tunggak utama. Pada waktu itulah Arsenal yang kaya dengan bakat muda mereka harus bangkit dengan mengutip mata sebanyak-banyaknya bagi merealisasikan hasrat merebut semula kejuaraan yang terlepas beberapa tahun lalu. Tambahan pula stadium yang baru, The Emirates pastinya harus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan Arsenal dengan sorakan penyokong yang lebih kuat dan bergema berbanding sorakan di tempat lain.
1 comment:
hmm... arsenal
Post a Comment