Surau Nurul Hidayah, Kampung Teluk Menegun, Klang tetap mengadakan majlis pengajian selepas solat Maghrib pada bulan puasa ini, tidak seperti kebanyakan surau dan masjid yang menghentikan majlis pengajian selama sebulan dalam bulan puasa. Saya tidak mengetahui perkara ini sehinggalah malam tadi apabila saya ke surau tersebut untuk menunaikan solat tarawih. Daripada khemah yang tertegak dengan meja-meja dan kerusi-kerusinya serta bekas-bekas makanan dapatlah diketahui bahawa jemaah surau tersebut berbuka di situ sebelum terus solat Maghrib dan mendengar majlis ilmu selepasnya. Bagus sungguh!
Antara kebagusan surau ini:
1. Ada majlis pengajian. Seperti yang telah diterangkan di atas.
2. Ada penghawa dingin.
3. Ada kamera untuk rakam gambar ustaz yang bagi kuliah. Ia dipancarkan menerusi televisyen yang diletakkan di ruang jemaah perempuan.
4. Majlis pengajiannya ada pada hampir setiap malam dengan penceramah-penceramah terkenal dari seluruh negara, membahaskan tajuk-tajuk menarik.
5. Tarawihnya (malam tadi) dibuat dengan perlahan, tenang, tidak tergesa-gesa, berimamkan hafiz muda yang elok dan lunak bacaannya.
Surau ini kecil sahaja, tidak terletak di bandar besar seperti Damansara, Hartamas atau Petaling Jaya. Ia digerakkan sepenuhnya oleh jemaahnya yang rata-rata penghuni taman dan kampung berhampiran. Ia mandiri. Dan ia makmur dengan satu suasana yang mendamaikan.
No comments:
Post a Comment