Monday, September 17, 2007

Puasa-Salah Konsep

Puasa sepatutnya tidak sinonim dengan makanan. Ia sepatutnya antonim.

Sewaktu saya berpersatuan pelajar dulu, saya pernah menghadiri majlis berbuka puasa dan solat tarawih di Sungai Ramal Dalam, Kajang. Di dalamnya ada ceramah yang disampaikan Ustaz Datuk Dr.Siddiq Fadhil, bekas pensyarah UKM yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Kolej Darul Hikmah. Beliau sangat luas ilmunya dan pernah menjadi pelajar ilmuan tersohor alam Melayu, Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Namun keluasan ilmunya tidak meluakkan sifat humor dalam dirinya dan dalam kata pembuka ceramahnya kepada kami pada malam itu, beliau menyinggung, “Puasa kini ialah… lapar di siang hari. Dan.., kenyang di malam hari!" Maaf, versi penceritaan saya kini barangkali sudah jadi tidak berapa menarik dan lucu lagi berbanding jika mendengar terus dari Ustaz Siddiq Fadhil secara langsung, ditambah dengan loghat bahasanya yang agak ke-Indonesia-an itu.

Sewaktu di kampung saya di Kesang Tua, saya juga pernah menghadiri kuliah pengajian selepas solat Maghrib yang dipimpin Ustaz Kassim Ibrahim, seorang bekas guru sekolah agama kerajaan negeri Johor di Tangkak. Ceritanya tentang puasa menyentuh gelagat kita di bazar Ramadhan. Kata Ustaz Kassim, “kalau kita jual batu pun, kita letak elok-elok dalam periuk, rebus dalam air atas api sampai berbuih-buih, pun nanti akan ada orang datang beli! Minta kuih ni seringgit, kata dia,”. Maaf, versi penceritaan saya kini barangkali sudah jadi tidak berapa menarik dan lucu lagi berbanding jika mendengar terus dari Ustaz Kassim secara langsung, ditambah dengan lenggok bahasa dan gayanya yang seperti P Ramlee itu.

Itulah dia dua cerita yang pernah saya dengar dan dapat saya ingat tentang orang kita dan puasa. Idea yang datang bersama-sama puasa ialah ‘makan’. Kedua-dua ustaz di atas sinis dengan idea yang sudah berakar-umbi di kalangan orang kita ini. Idea ini tidak betul. Ia perlu dibetulkan.



Gambar diambil dari sini


No comments: