Bagi kami yang duduk berjauhan; saya di Klang dan isteri di Tangkak, perkara ini tentunya sedikit sebanyak mengundang runsing dan pening di kepala saya. Saya hanya dapat bercuti sehari untuk mengambilnya dari Tangkak dan menghantar ke Port Dickson pada hari Rabu lalu dan mujur kursus tamat pada hari Sabtu, dapatlah saya mengambil isteri saya dari sana selepas kerja separuh hari dan menghantarnya pulang ke Tangkak. Tetapi, itulah. Saya hanya dapat bercuti sehari. Dua lagi kursus yang perlu diikutinya; di Kota Tinggi dan Melaka terpaksa ditujuinya sendiri dengan rakan-rakan guru sekolah lain dengan menaiki bas dan teksi.
Yang menjadi kehairanan (juga kemarahan) saya ialah mengapa tempoh hujung tahun yang cuma tinggal tiga-empat minggu sebelum cuti ini dijadikan sasaran melambakkan kursus-kursus itu? Bukankah dalam setahun ada 52 minggu? Mengapa menggunakan alasan mahu menghabiskan peruntukan dari kerajaan sebelum tahun berakhir? Bagi saya, ini alasan simplistik, naïf dan tidak wajar. Hanya semata-mata mahu menghabiskan wang, maka kursus dijalankan. Mengapa gopoh-gapah dan jadi bodoh begini?
Hari ini, Isnin, isteri saya akan ke Melaka untuk kursusnya itu. Sebenarnya dia baru sahaja tamat kursus di Port Dickson Sabtu lalu. Kursus yang di Melaka ini dimaklumkan kepadanya hanya melalui telefon pada hari Jumaat oleh kerani sekolahnya, sewaktu isteri saya masih berkursus di Port Dickson. Belum sempat isteri saya menamatkan satu kursus, kursus lain sudah menanti. Surat arahan dari Jabatan Pelajaran pun terpaksa kerani sekolah kirimkan kepada seorang guru yang tinggal berhampiran dengan rumah mentua saya (di mana isteri saya tinggal) kerana isteri saya tidak akan sempat ke sekolah pada hari Isnin untuk mengambil surat itu!
Kelam-kabut beginilah yang memarahkan saya. Sebagai nasi tambah, sepulang kami dari Port Dickson Sabtu lalu, saya terpaksa pula membawa isteri membelah kegelapan malam menuju ke sekolahnya kira-kira 15 kilometer dari Tangkak untuk mengambil laptop untuk dibawa berkursus.

Inilah logo KPM yang suka kelam-kabut buat kursus pada akhir tahun itu, atas alasan mahu menghabiskan peruntukan kerajaan.
2 comments:
bersusah-susah kemudian, nantilah senang lah tu..
salam pagi jumaat yg penoh keramat bro!
Insya-Allah, salam Jumaat kembali kepada anda.
Post a Comment