
Jika ditanya obsesi saya semasa kecil, jawabnya ialah ini. Space Cop Gaban atau dalam Bahasa Melayunya, Polis Angkasa Gaban ini ialah siri drama popular dari Jepun yang telah masuk ke Malaysia dan menjajah minda budak-budak kecil seperti saya pada ketika itu. Saya masih ingat, hari Rabu setiap minggu pasti membuatkan saya malas atau sekurang-kurangnya berkira-kira ke sekolah agama waktu petang lantaran hero kegemaran saya akan ke udara jam 5.30 petang nanti. Tidak banyak hero kegemaran kanak-kanak pada waktu itu selain Gaban. Yang lain yang dapat saya ingat ialah Kesatria Baja Hitam atau Suria Perkasa Hitam, juga didatangkan dari Negara Matahari Terbit itu.
Lagu pembukanya yang menyemangatkan itu sehingga kini masih melekat di kepala dan kecanggihan teknologi hari ini telah boleh membuatkan saya mengimbau kembali ingatan pada masa itu dengan mendengarnya kembali. Saya hanya perlu menaip “Space Cop Gaban” di enjin carian Google dan selang beberapa milisaat selepas itu, tahun-tahun yang telah berlalu itu dapat saya kembalikan dengan terpaparnya hero itu di skrin komputer sekaligus mencetaknya sama di layar ingatan saya. Segar semula.

Yang dapat saya ingat ialah bagaimana Retsu perlu “bertukar” dari seorang lelaki biasa kepada Gaban dalam uniform besinya dalam “masa kosong perpuluhan kosong lima saat” untuk berlawan dengan makhluk jahat di “ruang angkasa setan”. Saya masih ingat gaya yang akan dilakukannya untuk bertukar dan jika diminta melakonkannya kembali, saya boleh mengajuknya. Di sinilah Gaban akan menjadi lebih kuat dengan “tumbukan padu maut” dan “tendangan padu maut” yang pasti digunakan dalam setiap perlawanan menentang musuh. Oh, ya! Ada juga Naga Gaban yang saya sudah lupa peranannya selain membawa Gaban ke “ruang angkasa setan”.
Barangkali Gaban akan dipukul dibelasah beberapa ketika sebelum dia akhirnya akan menggunakan pedangnya untuk menghapuskan terus musuhnya dengan bertempik, “Gaban Zed, potong dua!”.
Ha..ha..ha..

Kredit gambar: http://www.geocities.com/Tokyo/Pagoda/1169/profile.htm
No comments:
Post a Comment