Isunya “datang bulan”, bahasa lembut orang kita untuk haid bagi orang perempuan kerana “haid” yang berasal dari Bahasa Arab dilihat masih belum cukup lembut lagi. Untuk lebih lembut, maka “period” dari Bahasa Inggeris pula digunakan. Maka dalam konteks ini, “period” dilihat lebih lembut dari “datang bulan” yang dilihat lebih lembut dari “haid”. Atau Bahasa Inggeris lebih lembut dari Bahasa Melayu yang lebih lembut dari Bahasa Arab.
Tapi bukanlah konteks bahasa yang ingin dibangkitkan dalam isu ini. Konteks yang ingin dibangkitkan ialah “taboo” isu ini sudah dibuka selapis lagi apabila Kotex menggunakan kuasa ekonomi yang ada padanya mengeksploitasi isu “datang bulan” untuk menjual produk tuala wanitanya melalui drama bersiri Kisah Kaisara di TV3. Mungkin Kotex berpendapat pengiklanan biasanya selama ini sudah konvensional dan ketinggalan zaman lalu mahu mengikut jejak langkah syarikat-syarikat lain meneroka bidang baru dalam pengiklanan iaitu melalui penerbitan drama yang punya ruang lebih luas dan masa lebih panjang untuk memasarkan produknya. Digi telah menggunakan medium drama ini untuk pemasarannya melalui drama bersiri Ejen 016, Sunsilk melalui Impian Illyana manakala Nokia menghasilkan Kami di 8TV.
Perkembangan ini menyerlahkan lagi faham konsemerisme; memaksa pengguna menggunakan jenama tertentu. Tetapi sebenarnya yang lebih menarik-narik muntah dan kahak keluar dari tekak saya bukanlah tentang konsumerisme dalam drama Kisah Kaisara itu, tetapi isu “datang bulan” yang diangkatnya. Bukan drama ini sahaja, iklan-iklan tuala wanita yang lain pun meloyakan dengan memfokuskan kamera kepada bahagian tubuh yang memakai tuala wanita tersebut.
Selain itu saya juga loya apabila dihidangkan dengan iklan pewangi ketiak yang menonjolkan ketiak-ketiak wanita.
No comments:
Post a Comment