Kadang-kadang apabila kita mencari sesuatu, kita tidak jumpa. Tetapi, apabila kita berbuat seperti biasa, benda yang kita cari itu muncul tiba-tiba, datang sendiri di depan mata, mengetuk kepala kita dengan sekuat-kuatnya.
Burn adalah kawan yang saya cari sejak tamat sekolah lebih sepuluh tahun yang lalu. Kali terakhir berjumpa dia ialah pada hari terakhir di sekolah sehari selepas tamat kertas terakhir SPM, Biologi 2. Selepas itu kami masing-masing membawa haluan sendiri. Hampir semuanya menyambung pelajaran di dalam negara. Waktu itu zaman permulaan ekonomi gawat, kerajaan bekukan penghantaran pelajar ke luar. Maka pelajar terbaik kami pun tidak dapat merasai pengalaman bergambar dengan baju sejuk di sebelah peti pos merah, memegang bebola salji untuk gambar itu kemudiannya dihantar ke suratkhabar tanah air dalam ruangan ucapan selamat hari raya.
Kawan-kawan lain yang saya tanya juga tidak tahu ke mana Burn pergi selepas SPM. Burn tidak hadir reunion. Tidak daftar dalam portal kawanaku.com. Saya malahan menaip namanya dalam enjin carian google untuk memperoleh sebarang idea. Pun tidak ketemu. Sewaktu Intan menghantar jemputan kahwin kepada kami kurang lebih tiga tahun yang lalu, saya menyangka bakal suaminya itu ialah Burn, tetapi bukan. Cinta monyet sememangnya jarang sekali berakhir di jinjang pelamin.
Burn ialah rakan sekelas saya, antara yang paling akrab. Kami sama-sama dalam badan dakwah sekolah, badan yang kami perjuangkan dengan semangat anak muda kami yang meluap-luap pada waktu itu. Burn jarang datang usrah, tapi kami tidak marah. Burn pemain bolasepak sekolah paling handal. Di sekolah lamanya, dia bermain sehingga mewakili Perak Tengah. Sebelum bersama badan dakwah, Burn berseluar pendek semasa bermain bola. Tetapi selepas itu, dia memakai tight di dalam seluar pendeknya walaupun saya tidak pernah pun menegurnya untuk itu.
Burn ialah qari sekolah. Dengan kegarauan suara yang dia ada, dia juga penyanyi solo sekolah. Saya masih ingat dia menyanyi lagu Wings, Lena Diulit Intan dalam persembahannya di Malam Seribu Bintang sewaktu kami di tingkatan empat. Burn memang sengaja memilih lagu itu kerana ada “Intan” di dalamnya.
Saya sebenarnya hanya rapat dengan Burn pada hari-hari terakhir di sekolah. Burn mempertahankan saya sewaktu hampir semua pelajar tingkatan lima marah-marah dengan saya dalam satu insiden selepas jamuan akhir tahun rumah sukan di dewan besar sekolah. Saya menegur majlis itu yang sudah berlanjutan sehingga lewat malam. Malangnya saya menjadi sasaran kebencian selepas itu.
Pernah pada satu malam sewaktu saya tingkatan empat, selepas asrama lights off, saya dicari sekumpulan pelajar tingkatan lima untuk satu sesi “kaunseling” atas beberapa tindakan saya yang mereka anggap “kontroversial”. Tetapi kebetulan malam itu saya tidak tidur di dorm sendiri, sebaliknya di dorm tingkatan satu kerana malam itu saya berbual sampai ke pagi dengan kawan saya yang merupakan pengawas dorm itu. Maka sesi kaunseling itu gagal diadakan. Burn memaklumkan kepada saya akan perkara tersebut.
Burn menghidap migrain yang agak kuat. Pada satu malam selepas kelas prep tamat, Burn berasa sakit kepala yang amat sangat sehingga dia duduk mencangkung di atas lantai sambil menekup kuat kepalanya dengan tangan. Apabila dia bangun, sakitnya sudah tidak tertahan lagi sehingga dia menetak cermin tingkap kelas dengan tangan kosong. Cermin itu pecah dan tangannya berdarah. Sehingga kami menemui tisu untuk menahan lelehan darah di tangannya, Burn tidak berasa sakit kepala lagi.
Beberapa hari sebelum sekolah berkahir, saya dan Burn berbual panjang. Burn menceritakan rahsia-rahsianya kepada saya sepanjang di sekolah itu, entah kenapa. Burn berkata dia ingin menyertai jemaah Tabligh selepas sekolah. Tetapi melihat mukanya, saya langsung tidak percaya.
Selepas beberapa tahun, saya sudah putus asa daripada mencari Burn. Saya malah sudah lupa pernah berkawan dengannya. Sehinggalah pada hari Jumaat lepas sewaktu sedang bekerja, saya mendapat panggilan telefon dari nombor yang tidak saya kenali. Anda tahu siapa yang menelefon saya. Selepas sepuluh tahun lebih, sahabat karib saya yang hilang, yang saya cari dalam google, yang selalu saya ejek “tak nampak” walaupun pada waktu siang apatah lagi waktu malam, yang sukakan perempuan yang saya sukai, tanpa perlu saya cari-cari lagi telah menelefon saya tanpa saya sangka sama sekali. Saya terperanjat, sebelum terhimbau kemudiannya. Selepas itu saya berusia 17 tahun semula.
Burn telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Dia kini tinggal di Keramat, Kuala Lumpur. Katanya, berniaga sendiri di sana. Kami telah pun merancang untuk minum-minum di mana-mana selepas ini untuk menyambung semula cerita-cerita kami yang telah terputus sejak lebih sepuluh tahun lalu. Katanya, dia telah boroi sedikit. Ha..ha..ha..
Selepas beberapa tahun meninggalkan alam persekolahan, kita sebenarnya mencari semula nilai yang pernah kita raih sewaktu di sana, persahabatan dan setiakawan. Di alam pekerjaan, saya agak sukar menemukan kualiti sebegitu yang pernah saya kecap sewaktu di sekolah. Berdepan peluang sebegini, Insya-Allah tidak akan saya sia-siakan untuk mengambil semula nilai itu yang telah hilang. Sejak lama dulu.
No comments:
Post a Comment