Dalam perjalanan ke tempat kerja tadi, di dalam keretapi, tempat duduk sebelah saya yang kosong kemudiannya diduduki seorang lelaki berbangsa India. Usianya barangkali 50-an, dilihat dari tampang fizikal. Sebaik duduk, dia mengeluarkan sebuah buku dari dalam begnya, sebuah buku yang dapat saya teka sebagai buku kerohanian kehinduan. Seperti saya, dia juga mengisi masa sementara sampai ke stesen yang dituju dengan membaca.
Dari stesen Klang, Padang Jawa, Shah Alam menuju ke Kuala Lumpur, keretapi semakin dipenuhi orang ramai sehingga tempat duduk kosong tiada lagi. Biasanya pada waktu pagi yang sudah agak lewat seperti ini, keretapi tidak akan disesaki sebegitu. Tetapi, pagi ini penumpang-penumpang sudah menjadi seperti ikan sardin di dalam tin sardin cap Cinta. Puncanya ialah kelewatan keretapi daripada jadual asal selama 40 minit menyebabkan aliran penumpang tersekat dan menjadi padat.
Saya sudah pun menyumpah-seranah KTMB, kerajaan Barisan Nasional, menteri pengangkutan dan semua orang di dalam hati sebelum keretapi yang ditunggu-tunggu seperti menunggu buah durian jatuh itu tiba terhegeh-hegeh di stesen Teluk Gadong. Dan mujur stesen ini adalah stesen ketiga dari stesen terakhir di Pelabuhan Klang, orang masih belum ramai dikumpulkan. Tempat duduk masih banyak. Tidak perlu berdiri. Jika tidak, mungkin sumpah-seranah saya akan menjadi lebih panjang dan mood membaca saya akan hilang.
Sehingga tiba di Batu Tiga, lelaki India di sebelah saya berhenti membaca dan mula menegur saya. Dia adalah seorang pensyarah, kalau tidak silap, profesor dalam bidang matematik. Pernah mengajar di luar negara sebelum kini mengajar di tanah air sendiri. Dan perbualan kami tidak mengambil masa berbasa-basi yang lama sebelum bertemu satu titik perbincangan yang sama – mengutuk kerajaan dan menteri-menterinya. Dengan memulakan kritikannya terhadap kemerosotan sistem pendidikan di negara ini, termasuklah universiti, kolej, pensyarah dan pelajarnya, kritikannya meleret-leret kepada Samy Vellu yang “otak udang” dan Khairy Jamaluddin yang membawa reputasi lulusan Cambridge tetapi sama sahaja seperti Samy. Universiti bagi profesor ini perlu menjalankan kajian-kajian dan mengemukakan penyelesaian kepada masalah yang melingkari kita. Universiti jangan membicarakan “nonsense” (seperti katanya) dan jangan jadi sama “nonsense” dengan apa yang berlaku di luar.
Katanya lagi, semakin mudah untuk masuk ke universiti berbanding zamannya, begitu juga semakin mudah menjadi profesor tanpa sebarang hasil tulisan dan penyelidikan. Segera saya teringat “profesor kangkung”, ungkapan yang dimulakan SN Shahnon Ahmad. Tiada lagi nilai kepada gelar “profesor” itu ujarnya, melainkan hanya sekeping kertas.
Mengingat-ingat kata-kata profesor India di dalam keretapi tadi, membuatkan saya terfikir. Saya terfikir tentang universiti. Saya terfikir tentang perubahan. Saya terfikir tentang perbincangan saya dengan kawan-kawan dulu membincangkan betapa perubahan perlu bermula di universiti. Seperti reformasi di Indonesia menumbangkan rejim Suharto di Indonesia bermula di Universiti Trisakti. Yang telah mengorbankan nyawa beberapa orang mahasiswanya. Terbukanya dasar luar China antaranya ialah kerana tumpahnya darah mahasiswa universiti di Medan Tiananmen. Tumbangnya rejim diktator Shah di Iran dalam Revolusi 1979 antaranya adalah kerana peranan besar mahasiswa yang turut dipimpin Ahmadinejad pada zaman mudanya.
Universiti mempunyai modal pemikiran pensyarah-pensyarahnya. Universiti mempunyai modal tenaga muda serta idealisme mahasiswa-mahasiswanya. Universiti mempunyai suasana yang kondusif untuk memulakan perubahan. Universiti sepatutnya memimpin rakyat melakukan perubahan sewaktu rakyat seperti saya sudah hampir-hampir putus asa kepada SEMUA parti politik.
No comments:
Post a Comment