Dengan menutup diri kamu daripada sebarang bentuk media yang boleh akses kepada perkembangan politik semasa negara, kamu boleh menjadi lebih tenang, barangkali. Sekonyong-konyong itulah yang saya rasa. Tenang. Seperti air di kali. Kira-kira sepuluh kali ganda lebihnya berbanding semasa saya mengikuti perkembangan “benda” yang tidak pernah kuncup-kuncup itu.
Tahukah kamu bahawa kita boleh “on” dan “off” kan deria kita pada bila-bila masa; baik penglihatan atau pendengaran, bergantung kepada kehendak kita sendiri? Ya, seperti suis. Kalau kamu tidak percaya, kamu boleh jalankan sendiri eksperimen-eksperimen berikut secara kendiri:
1. Di dalam satu majlis yang bising, hingar-bingar dengan suara orang ramai, kamu cuba bertanya kepada salah seorang peserta majlis itu, “Apa halnya berkumpul ramai-ramai ni, Bang? Ada demonstrasi ke?” Tanya kamu, penuh rasa ingin tahu. Kemudian, abang yang kamu tanya soalan itu pun menjawab, “Taklah, Dik. Ada karnival.” Dalam situasi ini, kamu telah “on” pendengaran kamu hanya kepada abang itu dan “off” pendengaran kamu daripada perkara-perkara lain. Jadi kamu hanya dapat mendengar abang itu dan tidak dapat mendengar hingar-bingar peserta demonstrasi. Ops, karnival.
Selesai eksperimen pertama.
2. Sewaktu kamu memandu di lebuh raya Utara-Selatan sambil hati kecil kamu berharap agar semua pondok tol di negara ini roboh atau terbakar, pandangan kamu hanya tertumpu kepada apa yang ada di depan cermin depan kereta, meski pandangan steoroskopik kamu dapat mencerap sudut pandangan yang lebih luas daripada itu. Dalam situasi ini, kamu telah “on” penglihatan kamu hanya kepada pandangan di depan cermin kereta dan “off” penglihatan kamu daripada perkara-perkara lain yang turut mampu kamu lihat di tepi-tepi jalan seperti papan iklan pelan prabayar telefon bimbit, pokok-pokok hiasan yang ditanam di pembahagi jalan atau lampu kamera pengesan kelajuan polis trafik yang ada di celah-celah pokok itu. Perkara-perkara itu, yang telah kamu “off” penglihatan kamu daripada melihatnya, tidak dapat kamu lihat.
Selesai eksperiman kedua.
Dengan menggunakan kaedah yang sama dalam kedua-dua eksperimen di atas, kamu boleh “off” pemikiran kamu daripada memikirkan sebarang perkara berkaitan politik semasa negara agar pemikiran kamu lebih ringan. Agar pemikiran kamu tidak overloaded, panas, hang atau dimasuki worm dan virus. Mudah sahaja melakukannya. Seperti memetik suis.
Cuba seminggu dan lihat hasilnya. Selepas itu kamu boleh “on” semula jika kamu mahu. Jika kamu tidak mahu, mungkin kamu boleh “off” sahaja butang politik itu dalam pemikiran kamu buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment