Jusco Bukit Raja pada petang itu sibuk seperti lazim keadaannya pada hujung minggu. Kenderaan berdedai-dedai memasuki pasar raya besar itu. Tempat letak kereta hampir penuh. Ada sahaja kenderaan yang diletak di tepi-tepi dinding lantaran tuannya malas mencari tempat lain yang mungkin kosong. Di luar, langit sudah mulai gelap. Dua-tiga hari kebelakangan, hujan pasti turun sekitar jam 4 atau 5 petang. Hari ini juga hampir pasti begitu. Setelah beberapa kali berpusing-pusing mengitari kawasan tempat letak kereta aras 2, akhirnya dapat juga saya jumpa satu ruang untuk saya meletakkan kereta.
Sehari sebelumnya, saya dan isteri sudah pun ke sana. Selepas bermain futsal di Teluk Gadong, kami ke TGV di Jusco demi tujuan yang satu, membeli tiket wayang filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula. Kami maklum yang tayangan untuk hari Sabtu itu telah pun penuh, maka kami ke sana hanya untuk menempah tempat duduk untuk tayangan hari keesokannya.
Sewaktu kami masuk, pawagam sudah pun tiga perempat penuh. Layar putih masih belum dipancari cahaya dari projektor filem. Yang kuat kedengaran hanya suara bising kanak-kanak yang nyata sangat ramai di dalam pawagam itu. Tempat duduk di sebelah kiri saya dihuni kanak-kanak. Di belakang saya juga duduk sederet tiga atau empat orang kanak-kanak. Nanti, apabila tayangan sudah bermula, apabila mereka sudah mula berasa teruja, mereka akan menendang-nendang kerusi di depan yang saya duduki. Saya akan marah.
Cerita Geng yang sudah ditayangkan sejak minggu lalu memang untuk kanak-kanak. Watak Upin dan Ipin sudah masuk ke dalam fikiran kanak-kanak sejak ia mula ditayangkan di TV9 sejak dua tahun yang lalu, dan apabila mereka memaksa ibu bapa mereka untuk menonton cerita itu di layar perak pula, permintaan itu tidak dapat ditolak. Apa pun, ia tidak menghalang orang dewasa seperti saya untuk turut menikmati cerita tersebut. Secara peribadi, saya menganggap Geng adalah menghiburkan dan animasinya wajar dipuji walau ia belum sehalus animasi keluaran Walt Disney.
Ia punya idea yang digarap dengan baik, lebih-lebih lagi idea jenakanya sentiasa ada di sepanjang filem animasi ini sehingga sepanjang tempoh satu jam setengah tayangannya, pawagam tidak sunyi dari gelak ketawa para penonton. Ya, sering sahaja ia tidak lojik seperti lembu boleh melompat keluar dari sungai dan angsa yang marah menendang dinding bas yang hampir melanggarnya, tetapi biarlah, perkara itu sudah pun saya maafkan (malah mengalu-alukannya) sebaik melangkah ke dalam pawagam lagi.
Upin dan Ipin sebenarnya adalah tempat kita melarikan diri dari segala masalah dan kepeningan yang melingkari kita sehari-hari. Suara comel “betul, betul, betul”nya itu melupakan kita sementara akan rasa meluat dan benci kita kepada Najib, kondisi kewangan pertengahan bulan yang agak menggigit, kerisauan akibat mendengar cerita-cerita pekerja yang diberhentikan, harga ikan dan daging yang naik saban waktu dan tidak diambil peduli sesiapa, selain kesialan pemaju rumah yang dulu galak berjanji itu dan ini tetapi bikinnya tak serupa cakap. Ia melupakan kita daripada semua itu, sekurang-kurangnya untuk tempoh satu jam setengah. Selain daripada itu, kita hanya mahu berhibur sendiri. Hanya selepas itu, setelah lampu dinyalakan semula, segala masalah dan kepeningan yang kita tinggalkan di pintu pawagam tadi, kita ambil dan jinjing semula untuk dibawa pulang ke rumah.
No comments:
Post a Comment