Friday, February 13, 2009

Selepas Dua Tahun

7 Februari yang lalu genap dua tahun pemergian Ayah ke rahmat Allah. Menurut Makcik, Ayah “datang” dalam mimpinya pada malam itu. Saya tidak sebertuah Makcik yang selalu dapat berjumpa ayah meski dalam mimpi. Yang saya ingat, dua-tiga hari yang lalu, saya bermimpi berjumpa Muhammad Nizar Jamaluddin.

Selepas kerja pada hari Sabtu itu, petangnya saya dan isteri bergerak pulang ke kampung isteri saya di Tangkak, Johor. Isnin cuti Thaipusam. Kami punya tiga hari cuti yang tidak berbaloi dilepaskan begitu sahaja dengan tidak pulang ke kampung. Walaubagaimanapun, kami tidak akan bermalam di kampung saya di Kesang Tua, Jasin sepanjang tiga hari itu kerana Makcik tidak ada di rumah. Makcik ber“cuti-cuti Malaysia” di rumah Kak Iza di Kelantan. Kebiasaannya, kalau kami pulang ke kampung, kami akan berulang-alik dari Tangkak ke Jasin dan dari Jasin ke Tangkak. Kata Makcik sewaktu saya menghubungi nombor telefon yang baru Kak Iza beli untuknya, “Engkau tak payah balik Kesang. Makcik bukannya ada kat rumah.”

Di Tangkak, saya tetap punya pusara untuk diziarahi. Bapa mertua (Abah) saya meninggal dunia hanya selepas kira-kira lapan bulan saya menjadi menantunya, akibat kegagalan paru-paru berfungsi. Abah mula sakit sebelum saya menikahi isteri saya lagi. Dalam tempoh itu sehingga pemergian Abah, terutama apabila sakit Abah makin teruk, saya dapat saksikan bagaimana susah-payah ibu mertua (Mak) saya menjaga Abah di dua hospital, Hospital Tangkak dan Hospital Muar. Seperti Makcik yang gigih menjaga Ayah sepanjang sakitnya, kualiti yang sama dapat saya lihat pada Mak.

Dua tahun yang lalu telah menjadi tahun kesedihan bagi saya, kehilangan dua orang yang dikasihi serentak. Seperti Makcik yang sering bermimpi bertemu Ayah, Mak saya di Tangkak juga selalu bermimpi bertemu Abah lewat tidurnya.

Sebelum pulang semula ke Klang pada hari Isnin untuk kembali bertugas hari keesokannya, saya dan isteri singgah di Masjid Kesang Tua untuk menziarahi pusara Ayah. Cuaca begitu panas dan tidak hujan sejak berminggu-minggu yang lalu telah mengeringkan rumput dan mengeraskan tanah. Kami memasuki kawasan tanah perkuburan dan memijak tanahnya yang keras dengan sedikit mendaki. Pusara Ayah begitu rapi terjaga, keadaannya sama sahaja saya lihat seperti sejak dua tahun yang lalu.

Dua tahun yang lalu saya telah memasukkan jasad orang yang paling saya sayangi ke liang lahad – dengan segala kenangan bersamanya, ke dalamnya. Masa benar-benar telah berlalu begitu pantas sejak Ayah pergi. Tapi masa yang pergi itu tidak membawa sama kesedihan saya setiap kali terkenang arwah Ayah. Wajah beningnya, pandangan redupnya, bongkoknya akan selalu saya ingat selain tampang kurusnya di dalam baju Melayu teluk belanga berwarna putih, kain pelikat biru, cermin mata berbingkai coklat dan kopiah putihnya, sewaktu duduk di atas kerusi rehat di depan bilik sambil membaca Harakah – semua itu tidak dapat saya lupakan.

Di sisi pusara Ayah, segala kenangan dan ingatan itu datang satu-satu ke dalam fikiran. Ingatan yang hanya mahu menarik titis-titis jernih keluar dari kelopak mata saya. Ingatan yang membuatkan kerinduan saya terhadap Ayah sentiasa segar dan tidak pudar. Dan ingatan yang semakin memanjangkan doa saya kepada Tuhan terhadap Ayah.

2 comments:

Anonymous said...

Sangat rindu pada arwah ayah.

Fadzlin said...

Rindu amat juga pada Atuk. Limpah sayang saya yang harusnya pada seorang Ayah diberi semuanya untuk Atuk.