Rosdi ingin segera pulang ke pejabat. Dia turun dari bangunan 30 tingkat tempat dia berkursus “Pemikiran Kreatif” selama tiga hari. Rosdi berjalan pantas ke tempat menunggu teksi 20 meter di luar bangunan. Hujan turun renyai-renyai. Bersamanya ialah Villu, rakan sekerja yang turut berkursus dengannya. Villu empat tahun lebih muda daripada Rosdi, dan masih bujang. Dia memanggil Rosdi dengan panggilan “Abang”.
“Takpe ke kita keluar awal ni, bang?” Villu bertanya Rosdi. Mereka sudah pun berteduh di bawah bumbung tempat menunggu teksi.
“Kau tunggu sini kejap. Aku nak pergi buang air kat Petronas depan tu!” Rosdi tidak menjawab Villu, sebaliknya berlari meninggalkan kawannya keseorangan di situ.
Rosdi meredah hujan lagi, yang semakin lebat. Di belakangnya, Villu kelihatan menekan-nekan butang kekunci telefon genggamnya. Rosdi ingin menyuruh Villu menelefon pemandu teksi yang mereka tumpangi pagi tadi tetapi sakit perutnya sudah tidak boleh ditahan lagi.
Kursus yang dihadiri Rosdi dan Villu hanya akan tamat jam 4.30 petang nanti tapi Rosdi memutuskan untuk keluar lebih awal kerana sudah terlalu bosan. Penceramahnya terlalu tidak kreatif membentangkan bahan-bahannya walaupun nama kursus itu ialah “Pemikiran Kreatif”. Dia terlalu monotonous, one-way dan hampir membuat orang tidur. Lebih malang, walaupun perkara itu sudah ditegur secara terus-terang oleh Rosdi pada awal sesi, penceramah itu mengakui keadaan tersebut tetapi menganggap monotonous, one-way dan hampir membuat orang tidur itu juga sebagai satu bentuk kreativiti.
Rosdi tergesa-gesa masuk ke bilik air di belakang kedai Mesra stesen minyak Petronas. Sebelum meninggalkan kursus tengah hari tadi, dia telah mengambil terlalu banyak nasi dan lauk-pauk yang berat-berat. Akibat terlalu tamak, sekarang dia terpaksa membayar harganya.
Di seberang jalan yang semakin digenangi air, Villu sedang menunggu Rosdi dengan agak gelisah.
Rosdi sudah mahu menyelesaikan hajatnya sewaktu tiba-tiba mukanya merah padam apabila pili air yang dibukanya tidak mengeluarkan air, walaupun setitis. Berdepan situasi getir ini, Rosdi cuba bertenang dan mengelak daripada menjadi panik. Dia teringat kata-kata penceramah kursus yang tidak disukainya pagi tadi. “Kadang-kadang, satu-satu situasi boleh menyebabkan kita menjadi kreatif!”
“Oh!” getus Rosdi. Dia teringat sejak seminggu dua ini, cuaca di Kuala Lumpur begitu panas dan berbahang.
“Mujur hari ini hujan lebat,” kata Rosdi di dalam hati. Sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment