Apakah yang kita pelajari dari isu PPSMI selain kemudaratan yang dibawanya terutama kepada pelajar-pelajar sekolah?
Eddin Khoo dalam rancangan Di Luar Lingkungan bersama Sayed Munawwar malam tadi melahirkan kekecewaannya betapa isu PPSMI gagal ditanggap untuk menghasilkan wacana-wacana baru yang lebih ilmiah sifatnya. Menurutnya, PPSMI lebih banyak ditanggap secara sentimental, emosional dan politikal. PPSMI menurut Eddin Khoo melahirkan satu generasi yang mengalami proses penyisihan psikologi selama enam tahun akibat kejutan budaya dan sosial. Ia tidak mampu diserap golongan ini yang terdiri daripada pelajar-pelajar luar bandar, kebanyakannya. Kenyataan ini disokong oleh Pengarah ITNM yang mengatakan bahawa jurang pencapaian pelajar-pelajar dalam matapelajaran Sains dan Matematik semakin melebar.
Baik, hujah-hujah klasik seperti yang dibawa wakil PTS malam tadi dan kebanyakan daripada kita akan kegagalan PPSMI dari segi dasar, pembaziran dana dan sebagainya, menurut saya, sudah cukup ditonjolkan.
Hujah-hujah kita kini seharusnya bergerak ke satu tahap baru dan tidak boleh sama dengan hujah yang kita beri semasa mendesak PPSMI dimansuhkan. Jangan kitar semula hujah. Fikirkan hujah-hujah baru untuk mendepani golongan anti-pemansuhan PPSMI yang agresif seperti Che Det yang membuat polling di blognya untuk membentuk satu persepsi di kalangan masyarakat bahawa pemansuhan PPSMI sebenarnya tidak mendapat sokongan rakyat.
Berhadapan orang seperti Che Det, kita tidak boleh berhujah bahawa data-data dalam blognya tidak mencerminkan keadaan sebenar, betapa pengunjung-pengunjung blognya sudah tentu orang yang menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan seharian. Hujah ini kelihatan dangkal dan tidak mampu merubah persepsi yang telah berjaya dibentuk oleh blog Che Det tersebut.
Eddin Khoo mengingatkan kita bahawa PPSMI telah memisahkan dua kelompok besar Melayu – satu yang dapat menyesuaikan diri dengan PPSMI lalu menyokongnya, dan satu lagi menentang. Golongan elit Melayu di bandar-bandar besar seperti di Bangsar, Damansara dan Hartamas tidak ada sebarang masalah dengan pelaksanaan PPSMI malah mengalu-alukannya. Pada masa yang sama, mereka tidak mendengar dan berasa simpati terhadap nasib rakan sebangsa dengan mereka di Hulu Terengganu, Gua Musang dan Baling yang terpukul akibat pelaksanaan dasar ini. Masyarakat Melayu terpecah kepada dua sekolah pemikiran yang berbeza akibat berbeza status sosio-ekonomi dan pendidikannya.
Selain berbicara tentang pemansuhan PPSMI, hujah-hujah dan usaha kini sepatutnya dibina untuk mengangkat bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa. PPSMI sepatutnya tidak mengikat minda kita daripada berfikir di luar lingkungan pendidikan sekolah semata-mata. Bina kekuatan bahasa Melayu agar ia tidak dipandang remeh oleh orang-orang seperti Che Det dan kuncu-kuncunya. Dan kekuatan bahasa Melayu itu saya percaya terletak pada kekuatan hujah dan pemikiran bangsa penuturnya, bukan pada istilah-istilah saintifik yang diterbit atau diterjemah. Bukan juga pada ayat-ayat bombastik dan prosa berbunga-bunga. Itu hanya kosmetik, kecantikannya tidak lama.
Terima kasih kepada Eddin Khoo dan Sayed Munawwar.
No comments:
Post a Comment