Tuesday, July 14, 2009

Kenduri Tempoh Hari

Balik ke kampung hujung minggu yang lalu, saya. Ada kenduri. Adik-beradik saya yang seramai sembilan orang semua balik. Cuma ada yang cepat, ada yang lambat. Balik semula ke bandar juga begitu. Ada yang cepat, ada yang lambat.

Urusan kenduri di kampung biasanya saya akan jadi runner. Ke sana ke mari jemput orang, ke pasar bawa Makcik beli barang, kupas kelapa pakai parang. Selain dari runner, watak-watak yang ada dalam urusan kenduri di kampung ialah pengurus (Makcik), penyambut tetamu (Along), tukang masak (orang perempuan), dan orang tidur.

Kenduri yang lalu sepatutnya untuk kakak saya yang akan bertunang. Tapi, sayang, ada aral yang melintang. Pertunangan terpaksa ditangguh walaupun persediaan kami sudah lebih daripada separuh. Kita benar-benar tidak dapat membaca rancangan Tuhan yang maha merancang.

Namun, Tuhan juga menyediakan seorang lagi kakak saya untuk dirisik orang. Agenda kenduri kini ditukar. Bak kata kakak saya, “berpusing 180 darjah!” Puas juga kami (terutamanya Makcik) mengilas, memusing, berpencak itu dan ini untuk menjawab orang kampung yang suka bertanya-tanya.

Ruang antara kegembiraan dan kesedihan itu rupa-rupanya sangat seni. Barangkali hanya sebesar hama. Yang membezakan antara keduanya juga senipis rambut, agaknya. Sebab itulah kita tidak dapat menghakimi orang yang sedang menangis. Menangis gembirakah dia, atau menangis sedihkah dia.

Selepas kita sendiri tidak dapat pasti perasaan apakah yang sepatutnya kita punyai pada satu-satu ketika itu, gembira, atau sedih (manusia itu sifatnya lemah), yang ada pada kita seterusnya hanyalah pasrah – kepada Tuhan, yang memegang dan membolak-balikkan hati manusia.

Kita ingin jadi gagah. Tapi, orang yang paling gagah ialah orang yang paling berasa dirinya lemah dan paling kuat pergantungannya kepada Tuhan. Ingat lagu The Zikr? Begini bunyinya, “Kita pastinya akan gagah, selama kita berasa lemah. Selama kita tunduk dan menyerah. Pada kehendak dan kudrat-Nya.”

......................

Dulu, sewaktu saya masih kecil, saya ingat adik-beradik saya hanya ada tiga orang. Pada saat-saat melankoli begini, fikiran masa kecil itu sangat kuat berbekas dan seperti memanggil-manggil saya dengan lantang.

4 comments:

Anonymous said...

garis yang memisahkan gembira dan duka itu sangat nipis

Wah...hebat sungguh adik saya ni.

Bangga tak terkira kakaknya...hehehehe

Haizir said...

Kakak saya ni memang selalu remain anonymous, agak pemalu juga orangnya. Hehehe.

Anonymous said...

Terima kasih adinda - berkongsi gembira dan duka, dan untuk entry yang mengesankan.

Fadzlin said...

4 orang :(

(Nak join juga)