Monday, July 20, 2009

Esok

Jika almarhum Ayah masih hidup, esok ialah hari ulang tahun kelahirannya yang ke-77. Ayah selalu berkata kepada Makcik, “jangan risau”, beliau akan sempat mencecah usia 80 tahun. Tapi, Ayah pulang ke rahmat Tuhan dua tahun yang lalu, sewaktu umurnya 74 tahun.

Berbanding dengan Makcik, saya tidak berapa rapat dengan Ayah, walaupun saya amat ingin berbuat begitu. Quiet stance Ayah membuatkan saya lebih berasa hormat, takut, segan dan malu kepada Ayah berbanding rasa mesra, akrab dan rapat dengannya. Kami tidak banyak bercakap, dalam apa jua perkara. Kalau bercakap pun, perbualan itu akhirnya akan menjadi seperti formal sebelum ia berakhir dengan cepat.

Dua tahun sebelum saya keluar dari kampung untuk bekerja di Lembah Kelang adalah tempoh paling bermakna bagi saya kerana dapat meluangkan masa sebanyaknya bersama Ayah dan Makcik. Dua tahun saya bekerja sebagai guru sandaran di Melaka dan tinggal bersama mereka berdua adalah dua tahun yang paling bahagia bagi saya, saya rasa. Saya dapat berbakti kepada mereka, dapat menumpahkan kasih sayang kepada mereka dan merasa kasih sayang dari mereka. Dalam tempoh itu, buat pertama kali dalam seumur hidup saya, saya dapat merasa dipuji Ayah, walaupun saya mendengarnya dari mulut Makcik. Menurut Makcik, pada hari-hari pertama saya bergelar guru, Ayah berkata kepadanya yang saya kelihatan segak dalam persalinan seorang guru.

Hampir setiap malam dalam tempoh dua tahun itu saya akan membawa Ayah dan Makcik ke surau dan markas PAS sekitar kampung untuk majlis-majlis ilmu yang diadakan saban malam. Dalam tempoh dua tahun itu juga saya dapat kenal dan bergaul mesra dengan orang-orang kampung dan ustaz-ustaz yang mengajar kami. Dalam tempoh itu juga saya dapat lihat Ayah, di sebalik sifat pendiam dan seriusnya itu, dipandang tinggi orang kampung dan sering pendapatnya digunakan sebagai satu keputusan dalam sebarang mesyuarat dan perbincangan.

Saya meninggalkan kampung untuk bekerja dengan abang saya di Pelabuhan Kelang pada tahun 2005. Pada tahun yang sama, kakak saya membina rumah di belakang rumah Ayah dan tinggal di situ menemankan Ayah dan Makcik yang tinggal berdua. Kepada dia dan suaminya serta anak-anak, saya seolah-olah telah pun menyerahkan segala urusan Ayah dan Makcik dengan pemergian saya ke bandar.

Sewaktu ingin menyuarakan hasrat untuk berumah tangga, saya bercakap dengan Makcik, bukan Ayah. Walaupun saya tahu yang Ayah tidak akan membantah hasrat anaknya itu, saya tetap sangat takut untuk bercakap dengan Ayah. Ayah, selepas mengetahui hasrat saya itu dengan segera memanggil pakcik saya, Pak Ali membincangkan hal itu dan minggu berikutnya saya diminta pulang ke kampung untuk mengikuti rombongan merisik!

7 Februari 2007 ialah tarikh kami berpisah dengan Ayah. Sehari sebelum itu, Ayah telah dapat melihat wajah bakal menantunya apabila isteri saya (pada tarikh itu kami belum berkahwin, perkahwinan kami hanya sembilan hari di depan iaitu pada 16 Februari) datang melawat Ayah di hospital bersama Mak dan Abahnya.
Pagi sebelum pemergiannnya, Ayah muntah hijau. Ayah berkata kepada doktor yang dia akan mati kerana sudah muntah hijau. Ayah juga buang air sebelum meninggal sehingga apabila kami memandikan jenazah Ayah, tiada najis dalam tubuh Ayah. Saya menangis sewaktu memandikan jenazah Ayah kerana apabila membersihkan jari-jemari Ayah, saya teringat sewaktu mewudhu’kan Ayah di wad hospital dulu.

Sehingga hari ini, satu-satunya kekesalan saya ialah tidak dapat berada di sisi Ayah sewaktu Ayah menghembuskan nafas yang terakhir. Esok ialah hari ulang tahun kelahiran Ayah yang ke-77, jika Ayah masih hidup. Tapi, Ayah sudah tiada. Kami tidak lagi menyambut ulang tahun kelahiran Ayah.

4 comments:

Fadzlin said...

:((

Terima kasih untuk entri ini Pak Busu. Rindu pada Atuk tak terhingga.

Alin juga rasa sangat bertuah, 3 tahun duduk di kampung bersama Atuk, dan di Tingkatan 4 pun "Kesang" masih dikira sebagai rumah bila berada di asrama. Merasa meletakkan nama Atuk sebagai penjaga, apabila membuat apa-apa permohonan, slip pencen atuk yang SGD 250+ sebulan itu yang digunakan...

Haizir said...

Alin, terima kasih. Pak Busu sangat teringat pada Atuk terutama pada masa-masa begini. Masih ingat pencen Atuk, SGD 222.41. Dulu, hampir setiap bulan Pak Busu bawa Atuk ke bank di Melaka ambil pencen.

Fadzlin said...

Oh betul, SGD 222.41. Bila Malaysia terjejas dengan ekonomi, pencen Atuk masih maintain. Waktu Atuk masih sihat, tiap bulan Atuk akan bawak motor ke Tangkak dan naik bas ke Muar untuk ambik pencen.

ayin said...

salam takziah dpd sahabatmu,smoga rohnya dcucuri rahmat.amin.