Tuesday, March 19, 2013

Ulasan buku Anak Apak: Memoir Politik Kewartawanan



Judul : Anak Apak: Memoir Politik Kewartawanan
Pengarang : Subky Abdul Latif
Penerbit : Kemilau Publika Sdn Bhd
Tahun : 2011
Bilangan halaman : 438 muka surat
Harga : RM 25.00

Memoir adalah salah satu sumber mudah yang boleh kita perolehi untuk belajar sejarah. Melalui penulisan memoir, sejarah yang kita baca itu akan lebih bersifat peribadi, santai dan mempunyai sentuhan kejiwaan. Ia ada kelebihan sendiri berbanding membaca sejarah dalam bentuk teks akademik. Di tangan Tuan Haji Subky Latiff, memoir jadi seperti buku cerita yang mudah dibaca. Pengalaman membacanya barang kali seperti membaca Buku Catatan Farid Badrul lebih dua puluh tahun dulu.

Tuan Haji Subky Abdul Latif adalah tokoh wartawan veteran tanah air yang terkemuka. Jika beliau bukan datang dari kumpulan yang menyertai PAS, tinggi kemungkinan beliau akan disanjung sebagai tokoh kewartawanan ulung tanah air seperti Johan Jaafar, Zainudin Maidin dan lain-lain sebelum dikurniakan pangkat Datuk. Tetapi sayangnya pengurniaan pangkat, pengiktirafan, pemasyhuran lebih dekat kepada orang-orang yang dekat dengan pemerintah. Walaubagaimanapun, Haji Subky tetap mempunyai kumpulan peminatnya sendiri yang mengikuti tulisan-tulisannya.

Sejak usia remaja apabila mula membaca Harakah, kolum Haji Subky Latif antara yang jadi kegemaran saya selain kolum Ahmad Lutfi Othman. Bermula Min Aina Ila Aina kepada Mens Sana In Corpore Sano, dan juga 1, 2, 3 Lekup!, Haji Subky tidak kehilangan rentak penulisannya yang terkandung wit, sindir dalam diam, kejutan-kejutan kecil dan daya keprihatinan yang tinggi. Sewaktu kita masih teraba-raba menentukan pendirian dalam sesuatu isu, tulisan Haji Subky boleh membantu melorongkan kita ke arah jawapan kepada sesuatu kekeliruan. Beliau mempunyai sikap yang jelas yang dibentuk oleh pengalaman berpuluh-puluh tahunnya dalam bidang kewartawanan, penulisan dan politik tanah air selain latar belakang agama yang kukuh terpasak dalam diri hasil didikan ayahandanya. Anak Apak boleh jadi satu rekod penting tentang bagaimana Haji Subky memperolehi sikap dan gaya penulisan sebegitu yang kita dapat lihat pada hari ini.

Satu bahagian yang menarik dalam buku ini ada kaitan dengan keluarga saya. Diterangkan bagaimana bapa Haji Subky yang cukup tidak gemar jika anaknya disekolahkan di sekolah Inggeris sehingga pernah menolak tawaran ke MCKK untuk Haji Subky. Beliau mempunyai sikap negatif kepada lepasan sekolah Inggeris yang dikatakannya mendukung pemikiran sekularisme bawaan penjajah. Pandangan itu walaubagaimanapun beliau kecualikan kepada seorang anak Tuan Kadhi yang beliau lihat tidak terpengaruh dengan gaya hidup Barat walaupun bersekolah Inggeris. Sebaliknya, dia terpelihara dalam adab dan akhlak seorang Muslim sehingga berjaya menjadi seorang doktor perubatan yang terkemuka. Beliau yang dimaksudkan itu adalah Dr. Abbas, anak kepada Tuan Kadhi Haji Alias yang kemudiannya menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 50-an. Dr. Abbas Haji Alias adalah bapa kepada kakak ipar saya, Kuzaidah Abbas yang dikahwini abang saya, Hussin Othman.

Selainnya, buku ini menyambungkan garis pengetahuan sejarah saya tentang perjuangan parti-parti aliran kiri seperti PKMM, Hizbul Muslimin, Partai Rakyat, Parti Sosialis dan lain-lain sekitar tahun 40-an dan 50-an. Apabila ramai pemimpin mereka yang ditangkap British bermula Undang-undang Darurat 1948, antara sebab pergerakan tersebut lumpuh ialah tiadanya barisan kepimpinan baru yang mampu mengganti barisan pemimpin yang telah dipenjarakan. Selain itu, mereka juga tidak ada penentangan yang jelas kepada sikap Umno yang mesra British. Tiadanya pengaliran pemikiran dan penyataan sikap barangkali antara faktor terkuburnya perjuangan menuntut kemerdekaan dari kumpulan tersebut (kecuali PKM yang selepas itu mengambil langkah mengangkat senjata) yang ditandai penghijrahan keluar beramai-ramai ahlinya termasuk ke dalam Umno-British yang mereka sendiri tentang sebelumnya.

Anak Apak adalah siri pertama dari trilogi memoir Haji Subky Latif. Siri kedua dan ketiga berjudul Propagandis Zaman dan Manis-manis Politik, masing-masing menceritakan kisah dunia kewartawanan dan bergelumangnya beliau dalam dunia politik tanah air. Semoga Haji Subky dikurniakan kesihatan yang baik dan kecerdasan menulis yang tinggi agar tulisannya dapat dimanfaatkan untuk kebaikan umat seluruhnya.

No comments: