Monday, March 04, 2013

Ulasan buku Mat Indera: Petualang atau Pejuang

(seperti yang dipos di Goodreads.com)


Judul : Mat Indera: Petualang atau Pejuang
Pengarang : Dr. Muhaimin Sulam
Penerbit : Jundi Resources
Tahun : 2012
Bilangan halaman : 231 muka surat
Harga : RM 20.00


Aku dah cuba baca Dialogues with Chin Peng, Chin Peng: My side of History, dll, tapi belum habis-habis. Mungkin buku-buku tu agak tebal, ditulis dalam bahasa Inggeris atau aku yang malas. Tapi aku dapat habiskan buku ni dalam masa dua hari. Mat Indera mati muda. Digantung dalam usia 33 tahun oleh kolonial Inggeris. Diperangkap oleh rakan sendiri yang bubuh daun kecubung dalam minuman. Setelah baca buku ni, aku jatuh kagum pada Mat Indera dengan semangat anti-kolonialnya. Walhal dia boleh hidup selesa mengajar di sekolah agama sebagai ustaz dan bina rumah tangga dengan anak perempuan gurunya, Tuan Haji Yassin yang dihormati. Tapi dia buang itu semua; kesenangan hidup, perempuan yang dicintai, usia muda, kawan-kawan, keluarga, penghormatan dari orang, hanya untuk satu prinsip yang dia junjung atas kepala - anti penjajah. Dan dia telah memilih wadah PKM untuk itu. 

Persepsi, propaganda, agenda penjajah telah meletakkan PKM dan pejuang golongan kiri lain seperti PKMM, Hizbul Muslimin (yang hanya berusia empat bulan) dll di kandang orang salah dan meletakkan golongan yang rapat dengan kolonial iaitu Umno sebagai pendukung kebenaran. Sejarah boleh digunakan sebagai alat untuk berkuasa dan memanipulasi pemikiran orang lain untuk kepentingan puak sendiri. Tokoh yang kita pelajari dalam sejarah sebagai pernah berjasa kepada negara tidak mustahil akan dijadikan tokoh pengkhianat pula dalam mata pelajaran sejarah pada masa akan datang. Begitu juga sebaliknya. Melainkan ada usaha jujur untuk merakamkan sejarah bukan dari sisi penghakiman atau pertimbangan menang-kalah dan betul-salah, sebaliknya untuk menumbuhkan kemanusiaan dan mencari kebenaran hakiki, usaha membaca sejarah perlu dibantu dengan kaca mata kewarasan dan kesedaran untuk menapis sebarang niat jahat atau agenda tertentu sang penyedia teks sejarah tersebut.


2 comments:

Happy Mind said...

Maaf saya orang kerdil ilmu sejarah.Cuma nak mencelah, saya kagum dengan pejuang sejarah dahulu tak kira dia haluan kanan atau kiri. Niat yang suci tapi cara yang terseleweng. Itu salah. Lalu penilai-penilai spt saya akan berbuat apa? Sejarah memang bias. Begitulah, mereka yang menang akan betul selalu.

Tapi yang batil tetap batil.

Manusia harus menilai mengikut ukuran Allah SWT dan Rasul.

Mat Indera dah meninggal,itu urusan dia dgn Allah bergantung amalan dia waktu hidup. Kita masih lagi xtau. Wallahualam.

Haizir said...

Salam, Sol.

Itulah yang saya maksudkan dalam ulasan di atas, iaitu berbanding cuba untuk melihat sejarah dari perspektif penghakiman betul-salah, adalah lebih baik jika kita mencari nilai-nilai baik yang ada dari sejarah itu sendiri.

Mat Indera, PKM, PKMM, Hizbul Muslimin dll telah dihukum salah oleh kolonial Inggeris kerana menentang mereka. Adakah kita ingin menggunakan kayu ukur mereka dalam membuat penilaian? Ya, kita boleh berbuat demikian - Umno telah lebih awal melakukannya. Tok Janggut (yang muncul lebih awal) juga dihukum mati oleh kolonial. Malah tindakan itu direstui oleh Sultan Kelantan pada masa itu. Tetapi, hari ini Tok Janggut dikenang sebagai antara tokoh awal pejuang kemerdekaan dalam teks sejarah kita. Peredaran zaman telah mengubah bagaimana sejarah dilihat. Benar boleh menjadi salah dan salah boleh menjadi benar.

Kalau begitu, timbul satu dilema pula. Tidak wujudkah kebenaran yang mutlak? Kebenaran yang mutlak memang wujud. Hak dan batil memang wujud. Tetapi, adakah Mat Indera, PKM malah ideologi komunisme itu sendiri termasuk dalam kategori batil? Wujudnya Rejimen ke-10 PKM, kewarakan anggota-anggotanya, kebebasan perajurit Muslim dalam PKM untuk beragama, kisah-kisah perjuangan mereka termasuk kisah seorang ahli PKM yang memeluk Islam, peranan mereka menjadi pendamai dalam sengketa Melayu-Cina akibat hasutan penjajah, barangkali adalah antara fakta yang amat jarang kita jumpai dalam teks sejarah arus perdana. Pengetahuan kita terhadap fakta-fakta ini barangkali akan merubah pandangan kita terhadap PKM. Wallahu a’lam.