Monday, March 11, 2013

Ulasan buku: Memoir Shamsiah Fakeh: dari AWAS ke Rejimen ke-10





Judul : Memoir Shamsiah Fakeh: dari AWAS ke Rejimen ke-10
Pengarang : Shamsiah Fakeh
Penerbit : Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)
Tahun : 2007
Bilangan halaman : 142 muka surat
Harga : RM 30.00

Dalam sejarah kemerdekaan negara, kita telah diterangkan betapa usaha mencapainya dilakukan melalui rundingan antara Umno dengan penjajah British. Apa yang kurang ditonjolkan ialah usaha-usaha yang telah dirintis sebelum idea rundingan itu dimulakan. Selain dari faktor luaran seperti faktor penaklukan Jepun dari 1942 – 1945, iklim sosiopolitik dunia sekitar Perang Dunia Kedua, terdapat satu faktor yang sangat kuat yang telah mendesak penjajah British untuk berambus keluar dari tanah air kita. Setelah menduduki negara ini, bersenang-lenang mengaut segala hasil mahsul dan kekayaan negara sebagai persembahan kepada Permaisuri, menjadi tuan kepada hamba-hamba yang ramai, adakah kita fikir mereka akan begitu mudah untuk melepaskan itu semua hanya kerana dipujuk Umno? Melainkan ada sesuatu yang lebih mendesak, yang menggugat keselesaan hatta nyawa mereka sendiri, mereka tidak akan bercadang untuk keluar dari sini. Apakah yang telah mengancam mereka?

Di sinilah kita telah disorokkan daripada fakta bahawa satu peristiwa besar pernah berlaku dalam negara ini – peperangan. Penduduk Malaya yang sejak sekian lama takut dan patuh kepada tuan-tuan Inggeris mereka telah menjadi berani kembali dan mengisytiharkan perang kepada penjajah Inggeris. Kesedaran politik yang dipupuk sejak sekian lama antaranya melalui penubuhan persatuan-persatuan seperti PKMM, PKM, Hizbul Muslimin, API, AWAS dan lain-lain akhirnya telah membawa kepada penubuhan pasukan tentera rakyat di bawah panji-panji Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) pada 1 Februari 1949 pimpinan Parti Komunis Malaya. Rejimen ke 10 TPNM yang kesemua anggotanya berbangsa Melayu telah tertubuh pada Mei 1949. Setelah berjuang melalui jalan politik yang membawa kepada penangkapan dan pembunuhan beramai-ramai para pejuang kemerdekaan oleh British dalam Undang-undang Darurat, perjuangan rakyat memasuki fasa seterusnya melalui jalan perang.

Perang mungkin perkara terakhir yang rakyat mahukan tetapi ia tetap satu cara yang berkesan untuk mengajar penjajah. British telah membawa masuk pakar-pakar perang mereka dari seluruh dunia termasuk Henry Gurney yang berpengalaman luas sebagai pegawai kolonial Inggeris di seluruh dunia, Lt. General Harold Briggs yang berpengalaman berperang di Iraq, Burma dan Western Desert, perajurit- perajurit dari Australia, New Zealand, Fiji, Zambia, Malawi, tentera Gurkha selain tentera mereka sendiri untuk memerangi tentera rakyat. Bekalan persenjataan terbaik dibawa masuk ke Malaya. Bumi Malaya dihujani letupan bom dan mesingan. Ribuan yang terkorban dari kedua-dua belah pihak.

Perang terus berlaku walaupun kita telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sehinggalah Perjanjian Haadyai ditandatangani pada tahun 1989. Kerajaan kita menyambung legasi penjajah meneruskan sikap bermusuh dengan PKM dan lain-lain walaupun penjajah telah pergi. Pejuang-pejuang kemerdekaan tetap dibiarkan dalam penjara. Sejarah perjuangan kemerdekaan melalui peperangan ditutup dan dikunci dalam peti besi. Darah para pejuang yang tumpah ke bumi dikesat dengan bendera Malaysia. Sebaris lirik lagu API, “Merah itu darah rakyat”.

No comments: