Thursday, March 14, 2013

Ulasan buku Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah ke London



Judul : Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah ke London
Pengarang : Aishah Ghani
Penerbit : Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun : 2012
Bilangan halaman : 182 muka surat
Harga : RM 25.00

Buku Ibu Melayu ini diterbitkan semula oleh ITBM setelah kali pertama ia diterbitkan sendiri Tan Sri Aishah kira-kira 56 tahun lalu, menceritakan pengalamannya berkelana ke kota London pada tahun 1955 untuk melanjutkan pelajaran  dalam jurusan kewartawanan. Dalam Memoir Shamsiah Fakeh yang saya baru baca, ada tersebut nama Aishah Ghani sebagai pernah menganggotai Angkatan Wanita Sedar (AWAS), sayap wanita Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Aishah kemudiannya keluar dari AWAS sebelum menyertai Umno pada tahun 1949. Nasib kedua-dua tokoh wanita ini kemudiannya menjadi sangat berbeza. Shamsiah terpaksa lari ke hutan menyabung nyawa akibat diburu penjajah Inggeris sebelum berlepas ke China manakala Aishah pula berkesempatan melawat tanah si penjajah di ibu kota London.

Bahagian awal buku ini mengisahkan kesukaran yang Aishah tempuhi terpaksa berpisah dengan anak-anak dan suaminya demi mengejar cita-cita melihat negara orang. Puisi yang dikarangnya, Aku dan Cita-cita ditujukan kepada suaminya yang tersayang sebagai tanda peritnya perpisahan yang dia sendiri minta itu. Pelayaran beliau ke London dari Singapura melalui Ceylon, Bombay, Aden, Suez dan Port Said. Sampai di London, beliau telah jatuh kagum dengan kota itu; kereta api bawah tanahnya, emansipasi wanitanya, penghargaan warganya terhadap seni dan lain-lain lagi. Daripada memuji kecantikan penghasilan patung-patung lilin secara berlebih-lebihan sehingga mewajarkan penghasilan gambar termasuk patung kayu manusia telanjang lantaran diiktiraf sebagai seni estetika, Aishah dilihat telah tenggelam dalam ketakjubannya sendiri. Malangnya, ketakjuban beliau terhadap budaya masyarakat di sana telah menjerumuskannya kepada mengkritik bangsanya sendiri secara tidak adil, seperti yang pernah dilakukan oleh Abdullah Munsyi dalam Kisah Pelayaran Abdullah dan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam The Malay Dilemma.

Dalam meluahkan rasa tidak senangnya terhadap seni tari Melayu yang dianggapnya tidak setanding dengan seni tari Barat, beliau menyebut “Kita sangat miskin dengan seni tari” dan “Boleh dikatakan orang Melayu tidak ada langsung mempunyai tarian yang harus dibanggakan sebagai kesenian bangsa”. Sudah tentu tuduhan ini agak keterlaluan keluar dari beliau yang dikatakan mempunyai latar belakang pejuang bangsa. Bidang sastera juga turut dipandang rendah oleh beliau apabila secara sinis beliau menulis “Saya yakin, suatu masa kelak akan tumbuh juga ahli sastera yang akan dapat memperkaya bahasanya, supaya jangan menjadi suatu bahasa yang mempunyai lorong yang amat sempit dan sangat terhad penggunaannya”. Aduh, Aishah Ghani barangkali terlalu melulu dalam melemparkan pandangannya. Pada zaman itu Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS 50) sudah tertubuh dengan sederetan nama besar dalam bidang kesusasteraan seperti Keris Mas, Masuri SN, Awamil Sarkam dan lain-lain. Malah dua puluh tahun sebelum itu, Pak Sako telah pun menulis Putera Gunung Tahan pada tahun 1937. Apakah ini pun tidak meyakinkan Aishah? Atau beliau telah memakai pemikiran penjajah yang memandang rendah kepada semua pelakuan bangsanya?

Selebihnya, buku ini memuatkan suasana sosiobudaya di England termasuk bagaimana mereka membayar cukai pendapatan, keadaan di studio perfilemannya di mana Aishah turut berpeluang melakonkan watak tambahan dalam filem A Town Like Alice, cara orang Inggeris berkahwin dan sebagainya. Membaca cerita-cerita sebegini, saya seperti membaca karya kolonial; memuji-muji bangsa orang putih dan memandang orang Melayu sebagai bangsa mundur yang perlu dikasihani. Amat malang tulisan ini lahir dari seorang tokoh wanita Melayu yang disanjung tinggi seperti beliau. Saya tidak dapat nampak kebenaran penyataan pada kulit belakang buku ini yang menyatakan bahawa “dalam setiap tulisannya, ada suara berani dan bernas yang penuh semangat nasionalisme meskipun jauh di negara lain.” Sebaliknya, ia penuh wacana kolonial atau sekurang-kurangnya mengandungi pemikiran terjajah.


No comments: