Oleh HAIZIR OTHMAN, AINOR MAZIYYAH
Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong 23 Jun lalu, beberapa hari sebelum sesi kedua Dewan Rakyat bersidang tahun ini bahawa tiada keperluan melaksanakan sesi khas Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) buat masa ini mengundang rasa kurang senang beberapa pihak, antaranya Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang secara jelas menolak cadangan tersebut.
Liew dipetik sebagai berkata, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada masa ini boleh menjawab soalan semasa Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang diadakan pada setiap hari Selasa dan Khamis, yang menurutnya sudah memadai pada masa ini.
"Tetapi pada masa depan sekiranya perlu, maka kita mungkin boleh mempertimbangkannya. Buat masa ini, saya rasa MQT sudah memadai," jelas menteri hal ehwal undang-undang berkenaan yang bertanggungjawab menyelia urusan Parlimen.
Mengimbas kembali manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan (HARAPAN), Janji 16 memperuntukkan keperluan sesi khas Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) sebagai langkah mereformasikan sistem Parlimen dalam membawa semangat reformasi yang lebih menyeluruh dalam Malaysia Baharu.
Menerusi PMQ, anggota-anggota parlimen diberikan masa selama 30 minit untuk bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada setiap minggu.
PM harus jawab
Berdasarkan amalan demokrasi serupa yang dilaksanakan dalam sistem Parlimen Westminster British, PMQ membenarkan Ketua Pembangkang di United Kingdom bertanya enam soalan kepada Perdana Menteri menerusi sesi khas itu.
Oleh yang demikian, pengumuman Liew tersebut dilihat bukan sahaja berlawanan dengan aspirasi di atas, malah agenda reformasi institusi Parlimen yang giat diperjuangkan HARAPAN lewat pelbagai inisiatif sejak mengambil-alih kerajaan daripada Barisan Nasional setahun yang lalu.
Atas kebimbangan serupa, pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 menggesa Liew mempertimbangkan semula keputusannya untuk tidak melaksanakan sesi berkenaan pada masa ini.
Jelas badan itu, Perdana Menteri selaku ketua eksekutif dalam Kabinet harus dipertanggungjawabkan secara langsung dan bercakap bagi pihak kerajaan dalam PMQ, terutama di bawah undang-undang sedia ada di mana beliau memegang begitu banyak kuasa dalam membuat keputusan.
Walau bagaimanapun, dalam tempoh kurang dua minggu daripada pengumuman itu, nada Liew berubah apabila menyatakan PMQ akan dilaksanakan pada sesi sidang parlimen berikutnya Oktober nanti.
Kenyataan tersebut lahir dari jawapannya kepada soalan ahli parlimen HARAPAN dari Subang, Wong Chen di Dewan Rakyat, 4 Julai lalu.
Berbeza dengan kenyataan awalnya sebelum itu, Liew berkata Dr Mahathir telah mengeluarkan hasrat dan minat untuk menjawab soalan dari ahli parlimen.
Menyambut baik langkah ini walaupun soalan awalnya berkaitan pemindahan kuasa PM kepada Parlimen dijawab secara kabur oleh Liew, Wong Chen dalam hantaran di media sosialnya berkata kenyataan menteri tersebut perlu dipastikan terlaksana.
"Hari yang baik untuk reformasi, sekarang kita perlu memantau dan memastikan menteri melaksanakan kata-katanya," jelas Wong Chen.
Wujud dalam manifesto
Mengulas perkara ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon sejak dari awal menolak anggapan bahawa sesi khas PMQ tidak akan dilaksanakan di Parlimen, di bawah pentadbiran kerajaan HARAPAN.
Malah katanya, beliau percaya Parlimen masih mencari ruang untuk melaksanakan PMQ, selain menyifatkan ia sebagai norma biasa dalam proses demokratik untuk mengadakan sesi pertanyaan khas anggota Parlimen bersama Perdana Menteri.
"Kita masih tetap mencari ruang untuk melaksanakan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri. Ini adalah norma biasa dalam proses demokratik di mana memang ada sesi untuk PM sendiri menjawab soalan yang dikemukakan."
"Untuk tidak melaksanakan sesi itu saya rasa tidak timbul. Namun, ada juga waktu lain di mana Perdana Menteri boleh menjawab - sesi MQT. Menteri itu termasuk Perdana Menteri juga."
"Pada kami, kami bersedia sekiranya eksekutif seperti Perdana Menteri bersedia," katanya kepada Suara Keadilan di pejabatnya Parlimen baru-baru ini.
Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berpandangan, sesi khas PMQ sewajarnya dilaksanakan bagi memastikan institusi Parlimen negara setaraf dengan sistem demokrasi berparlimen yang dilaksanakan di negara luar.
"PMQ mesti dilaksanakan. HARAPAN ada menyatakan untuk mengadakan sesi PMQ dalam penyediaan manifesto (PRU14), dengan negara lain diletakkan sebagai 'benchmark'. Sekiranya tidak berlaku ia tidak dalam semangat manifesto itu sendiri," ujarnya.
Mengenali Perdana Menteri sebagai individu yang tidak 'lari' daripada sebarang persoalan dan bernas menjawab apa jua pertanyaan yang dikemukakan, beliau percaya Dr Mahathir akan mengisi sesi PMQ dengan baik.
Memahami sesi khas PMQ selama 30 minit sebagai salah satu faktor penting dalam sistem Parlimen berdemokratik, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu berkata masih terdapat ruang perbincangan di peringkat Parlimen dan kerajaan berhubung perlaksanaan PMQ.
Pantau pejabat PM
"PMQ masih boleh dilaksanakan. Dalam pengurusan Parlimen pun, kami Speaker dan Timbalan Speaker masih ada ruang untuk berbincang. Juga, kita boleh berinteraksi dengan VK Liew sendiri untuk kita uruskan."
"Kami ada mesyuarat mingguan (untuk) kita maklumkan perkara ini. Kita tidak mahu cadangan yang baik seperti ini tidak dilaksanakan. Kita boleh berbincang dalam mesyuarat untuk memudahcarakan lagi supaya dapat laksanakan PMQ," jelasnya, sebelum kenyataan terbaru Liew dikeluarkan.
Sebelum itu, keputusan tidak melaksanakan PMQ seperti diumumkan Liew mengundang kekecewaan Wong Chen yang menyifatkan sesi khas berkenaan seharusnya menjadi platform sah anggota parlimen mengajukan pertanyaan kepada Perdana Menteri, yang pada ketika ini tidak wajib menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Kata anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu, ia bertujuan sebagai alternatif untuk semak dan imbang - sebagai ganti kepada jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) memandangkan tiada PSC untuk memantau Pejabat Perdana Menteri dalam model parlimen Westminster.
Beliau turut mengambil contoh Perdana Menteri terdahulu, Najib Razak yang jarang hadir ke Parlimen, apatah lagi menjawab soalan anggota Parlimen sehingga isu skandal 1MDB tidak dijawab di dewan tersebut.
Sementara itu, bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, meskipun wujud ruang untuk Perdana Menteri menjawab soalan anggota Parlimen menerusi sesi Waktu Pertanyaan Menteri namun beliau berpandangan PMQ akan memantapkan lagi amalan demokrasi di bawah HARAPAN.
"Pada 4 April lalu, saya bertanya soalan kepada Perdana Menteri, dan beliau menjawabnya. Ruang (bertanya soalan) itu ada. Namun untuk mengkhususkan untuk Perdana Menteri, itu adalah langkah yang cukup baik dan jangan kita tinggalkan."
"Pada waktu ini memang ada ruang dan memang Perdana Menteri datang untuk menjawab tapi bila kita tetapkan itu akan menjadi satu amalan budaya demokrasi yang lebih baik," katanya ketika ditemui.
*Disiar di Suara Keadilan 421


No comments:
Post a Comment