Wednesday, July 10, 2019

Insentif sasterawan: Lembaran baru kesusasteraan nasional



Oleh HAIZIR OTHMAN

Apabila kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan pemberian insentif bulanan berjumlah RM5,000 kepada para Sasterawan Negara (SN) bulan lalu, ia seperti biasa mengocak polemik di kalangan warga maya, sesetengahnya bernada cukup negatif - sikap umum klasik yang subur sejak ledakan teknologi media sosial berlaku.

Namun kebanyakan komen bersifat melulu, semata-mata dibuat atas sebab mahu mengomen tanpa penulisnya mengetahui langkah kerajaan ini punya signifikan cukup besar untuk meletakkan negara kita ke kedudukan yang betul dalam menghargai para seniman, seperti yang lazim dilakukan di negara-negara maju.

Kedudukan seniman, sasterawan barangkali kurang dipedulikan sebelum ini. Pada mereka dilekatkan stigma 'kuat mengelamun', 'tidak berpijak di bumi yang nyata', 'patah hati' dan lain-lain. Pendek kata, peranan atau kewujudan mereka dianggap tiada saham dalam pembangunan negara.

Malah ahli falsafah zaman klasik Yunani, Plato dalam karyanya, The Republic turut memandang sinis golongan penyair dengan mengatakan dalam negeri impiannya, para pemimpin perlulah dari kalangan ahli falsafah, manakala golongan penyair harus dibuang negeri.

Sikap tersebut walau bagaimanapun tidaklah mewakili keseluruhan ahli falsafah baik pada zamannya, atau zaman moden. Ini kerana pemaduan falsafah dengan seni dan sastera kuat dilakukan para filosof baik dari belahan dunia Islam mahupun Barat seperti Jalaluddin Rumi, Muhammad Iqbal, Johann Wolfgang von Goethe dan lain-lain.

Amalan negara maju

Di negara-negara Skandinavian, pengiktirafan kepada para pengkarya sememangnya tidak asing. Di Norway, misalnya, wujud Majlis Seni Norway (Arts Council Norway) di bawah seliaan Kementerian Kebudayaan yang menyalurkan geran kepada para pengkarya tanpa mengira umur.

Tidak cukup dengan itu, Majlis Seni ini punya peruntukan membeli seribu naskhah bagi setiap buku yang diterbitkan di Norway untuk diedarkan ke perpustakaan di seluruh negara. Bagi buku kanak-kanak, bilangan yang dibeli lebih banyak - 1,550 naskhah.

Dasar ini bukan sahaja membantu kehidupan para pengkarya malah memastikan para penerbit buku kecil dan mandiri di sana mampu bertahan dalam perniagaan mereka. Dilihat secara makro, negara ini, menurut World Data Atlas, mencatatkan kadar celik huruf setinggi 99 peratus, dan diiktiraf sebagai negara paling bahagia oleh Laporan Kebahagiaan Dunia (World Happiness Report) pada 2017.

Tahun yang sama Majlis Seni Norway menguruskan sekitar 139 juta pound dana negara khusus untuk seni dan budaya, kira-kira 10 peratus daripada peruntukan untuk kebudayaan kebangsaan.

Bagi penulis cerpen yang banyak memenangi anugerah sastera termasuk di peringkat serantau, SM Zakir, beliau melihat 'trend' ini biasa berlaku di negara-negara maju. Tulisnya di laman sosial, di sana, sastera dan sasterawan amat dihargai lewat kewujudan muzium sastera juga rumah-rumah penulis yang dijadikan monumen negara.

SM Zakir

Penerima hadiah SEA Write Awards 2011 itu memuji sikap masyarakat di sana yang berbangga dengan sasterawan mereka. Malah, katanya, di negara-negara Asia yang digelar 'harimau ekonomi', penghargaan terhadap sastera sudah mencapai tahap penghargaan negara maju.

"Saya meletakkan penghargaan dan pemuliharaan sastera sebagai indeks negara maju."

"Apabila Sasterawan Negara diberi elaun sepanjang hayat, maka saya melihat Malaysia telah melangkah masuk memenuhi indeks negara maju," jelasnya.

Dalam catatan berasingan, beliau turut menyatakan penghargaan ini meletakkan Malaysia di hadapan antara negara ASEAN dalam menghargai para sasterawan, juga merupakan sumbangan besar kepada dunia kesusasteraan Malaysia.

Penulis yang turut disebut-sebut sebagai calon Sasterawan Negara ini mungkin merujuk United Kingdom dalam catatannya. Negara yang melahirkan William Shakespeare itu bukan sahaja menghargai karya-karya tokoh itu seperti Romeo and Juliet, Macbeth, dan Hamlet, malah memulihara rumahnya berusia lebih 400 tahun - tempat dipercayai beliau dilahir dan dibesarkan.

Seorang lagi penulis Inggeris kurun ke-19, Charles Dickens turut menerima pengiktirafan sama lewat kediamannya berusia hampir 200 tahun di ibu kota London yang dijadikan muzium sastera. Pencerita hebat yang dikenali lewat mahakaryanya, A Tale of Two Cities itu walau sudah meninggal dunia 150 tahun lalu, masih boleh diingati warga England melalui pemeliharaan rumah tersebut, walaupun sebagai negara maju, isu pembangunan dan pengambilan tanah oleh kerajaan pastinya menjadi sesuatu yang mendesak.

Sastera pembina tamadun

Ironinya, berbeza di negara kita yang kurang mengambil berat urusan seperti ini kerana lebih mengejar 'pembangunan' secara literal dengan membina bangunan-bangunan tinggi mencakar langit, sikap serupa tidak ditunjukkan negara-negara maju seperti United Kingdom dan Norway.

Mengakui keadaan ini, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), A Aziz Deraman berkata di negara ini, pembinaan pustaka peringatan atau memorial mungkin lebih ditumpukan kepada tokoh politik seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, juga peristiwa-peristiwa bersejarah seperti kemerdekaan negara.

Katanya kepada Suara Keadilan, akibat faktor kewangan, kita mungkin belum sampai ke tahap negara maju yang membina memorial berasingan secara individu bagi sasterawan atau penulis tertentu seperti Charles Dickens di London dan William Shakespeare di Warwickshire.

"Tapi kalau kita boleh bina sebuah muzium besar atau memorial peringatan kesusasteraan, (karya) tokoh-tokoh (sasterawan) boleh dimuatkan di situ, supaya lebih abadi," katanya ketika ditemui di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.

Muzium Charles Dickens di London

Di negara maju, jelasnya, kesusasteraan menjadi sebahagian daripada pembinaan tamadun. Beliau mengambil contoh Rusia yang menghargai penyair seperti Alexandr Pushkin dan Boris Pasternak bukan sekadar dari sudut kreativiti mengarang malah dalam membangun negara bangsa dan jati diri lewat karya-karya mereka.

Mantan Ketua Pengarah DBP itu turut berharap DBP boleh mengambil inisiatif membina perpustakaan atau muzium bahasa dan persuratan kebangsaan untuk memuatkan khazanah kesusasteraan dari zaman klasik ke zaman moden.

Namun sebagai permulaan untuk Malaysia, beliau menganggap langkah kerajaan memberikan elaun bulanan RM5,000 kepada Sasterawan Negara adalah patut, walaupun jumlahnya tidak begitu besar. Tambahnya, usaha ini sebenarnya sudah dimulakan sejak dulu lewat cadangan SN A Samad Said namun tidak diberi perhatian sewajarnya.

Seorang lagi bekas Ketua Pengarah DBP, Dr Firdaus Abdullah walaupun menyambut baik langkah pemberian elaun tersebut, namun berpandangan masih banyak yang boleh dilakukan kerajaan untuk memastikan sastera 'berfungsi dengan cara lebih baik'.

Bercakap kepada Suara Keadilan, bekas senator itu melihat kerajaan masih belum memanfaatkan sastera dalam konteks pembinaan negara bangsa.

"Walaupun kerajaan memberi pelbagai insentif kepada sasterawan, dalam usaha memasyarakatkan buah fikiran dan pandangan sasterawan, kita masih gagal sehingga banyak peringatan dari sasterawan sama ada secara langsung atau tidak langsung, diabaikan," katanya ketika ditemui di luar bangunan DBP baru-baru ini.

Sasterawan, jelasnya, lewat sikap dan pandangan jauh mereka, memberikan peringatan malah amaran kepada masyarakat lewat karya kreatif, cuma ia amat jarang dipedulikan sehinggalah apa yang diingatkan itu benar-benar berlaku.

Lari dari kebiasaan

Beliau mengambil contoh karya-karya penulis seperti Mohamad Affandi Hassan yang bersifat futuristik dengan mampu meramal suasana pada masa depan walaupun sebahagiannya ditulis lebih dua puluh tahun lalu.

"Jangan hanya beri insentif material kepada para sasterawan, sebaliknya gunakan sumber yang ada untuk memasyarakatkan sastera agar dapat berfungsi sebagai satu struktur untuk membina negara bangsa," katanya yang menjadi KP DBP dari 2005 hingga 2008.

Menyifatkan tindakan ini sebagai sesuatu yang 'janggal' atau lari dari kebiasaan yang sering dilakukan Kementerian Kewangan, Ahli Parlimen Port Dickson, Saudara Anwar Ibrahim memuji dan mengalu-alukan langkah yang diambil menterinya, Lim Guan Eng dalam memperkasa bidang bahasa, sastera dan budaya.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media sempena majlis penyerahan cek elaun sara hidup kepada Sasterawan Negara di Putrajaya 24 Jun lalu, beliau yang pernah memimpin Kementerian Kewangan berkata, lazimnya kementerian itu hanya menguruskan isu-isu berkaitan kewangan negara.

"Dalam kita memacu pertumbuhan, di mana Kementerian Kewangan menjadi tonggaknya, pertumbuhan dan pembangunan itu juga menuntut pemerkasaan pelbagai bidang - bahasa, sastera, budaya."

"Maka, sesuatu yang agak janggal, sesuatu yang jarang berlaku apabila Kementerian Kewangan yang fokusnya kepada ahli bank, urusan kewangan dan isu-isu yang terkait secara langsung dengan isu kewangan, mengajak dan memberi penghormatan tinggi kepada Sasterawan Negara," kata Presiden KEADILAN itu.

Lim Guan Eng dalam ucapannya turut mengakui kementeriannya biasanya tidak terlibat secara langsung dengan bidang sastera, namun berharap pemberian elaun ini dapat menjamin kesinambungan mutu hasil seni dengan cemerlang.

Jelas Lim, elaun tambahan ini, selain kemudahan kepada SN lewat Anugerah Sastera Negara, merupakan penghargaan dan dedikasi mereka dalam memainkan peranan penting membina Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan yang menyatupadukan negara.

"Kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5,000 sebulan seorang, berjumlah RM35,000 dari Julai hingga Disember 2019 kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pembiayaan Elaun Penghargaan bulanan bagi tujuh Sasterawan Negara mulai Jun 2019. Bayaran bulanan RM5,000 akan diteruskan pada tahun-tahun seterusnya," katanya.

Jasa dan sumbangan para sasterawan katanya, cukup besar dan amat signifikan dalam membangunkan Malaysia menerusi kecemerlangan dalam Bahasa Melayu dan menyemarakkan pembangunan industri kreatif negara.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Kewangan, Ir Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Anwar cuba tulis puisi

Saudara Anwar yang terkenal dengan pembacaan luasnya dan mengakui membaca hampir keseluruhan karya para Sasterawan Negara berkata anugerah sahaja tidak cukup tanpa memastikan rakyat terutamanya anak-anak menjadi khalayak pembaca dan meminati karya Sasterawan Negara.

Menganggap ikhtiar ini sesuatu yang membanggakan, beliau menyebut kepentingan kerajaan mengiktiraf sumbangan penulisan dan kreativiti para sasterawan yang tercerna dari keyakinan mereka.

"Saya bangga dengan ikhtiar yang dibawa oleh Saudara Lim Guan Eng. Ini sekaligus memberi satu mesej jelas bahawa kerajaan Pakatan Harapan, sementara menumpu perhatian dalam pertumbuhan ekonomi, tidak meninggalkan malah tetap mempertahankan keutuhan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan mengangkat martabat sastera negara kita supaya dapat dinikmati oleh khalayak ramai."

"Mudah-mudahan karya mereka turut diketahui. Kita kenal tokohnya, kita juga harus kenal karya dan mengecapi nikmat karya yang besar," katanya yang mengakui cuba menulis puisi namun melihat mutu yang ditunjukkan Sasterawan Negara terlalu tinggi untuk dijangkaunya.

Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pula, langkah ini sepatutnya sudah dilaksanakan lama dulu kerana para sasterawan merupakan tonggak yang membangunkan seni dan budaya dalam negara.

Fahmi yang juga seorang anak seni sebelum menceburi politik berkata hasil karya para SN sepatutnya disebar luaskan bukan sahaja dalam negara malah ke luar negeri melalui kedutaan atau pejabat-pejabat Suruhanjaya Tinggi, sebagai usaha memartabatkan seni dan budaya Malaysia di persada antarabangsa.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil

"Saya harap kita dapat lebih mengakar umbikan budaya membaca karya atau mengamati hasil seni para sasterawan dan seniman, dari bangku sekolah rendah lagi. Malah bawa karya-karya ini ke peringkat taska ataupun tadika melalui KEMAS dan sebagainya.

"Mereka akan membesar dalam suasana seni dan budaya Malaysia cukup dekat di hati. Ada beberapa langkah yang perlu kita susuli selepas ini tapi ini adalah satu permulaan yang cukup baik," katanya.


*Disiarkan di Suara Keadilan isu 421

No comments: