Wednesday, July 10, 2019

Tugas berat Rodziah santuni warga luar bandar


Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, cabaran dihadapi Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah peralihan sokongan melibatkan orang Melayu khususnya di kawasan luar bandar. Permainan sentimen perkauman, ketidaklancaran proses transisi selain kelemahan jentera penerangan kerajaan antara faktornya. Mengakui situasi ini, Rodziah Ismail menjelaskan perubahan struktur dan pertemuan dengan akar umbi antara cara mengatasinya. Sub Editor Suara Keadilan, Haizir Othman dan wartawan, Syazwani Sufian berpeluang mewawancara Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Selangor, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga ini di pejabatnya baru-baru ini.


SK: Elemen perkauman dimainkan selepas PRU14, kelihatan mempengaruhi penduduk luar bandar. Bagaimana menangani isu ini, memastikan HARAPAN diterima sehingga PRU akan datang?

Rodziah: Ia dipengaruhi beberapa elemen. Pertama, informasi. Masyarakat Melayu luar bandar tidak dapat informasi tepat kerajaan negeri Selangor atau pihak lain. Di Semenyih yang dua penggal bawah BN, mungkin penembusan kita tidak berjaya walaupun ada 17 ketua kampung. Mereka inilah perlu diberi tumpuan. Sebaik memegang portfolio ini, saya lihat keperluan memberdayakan ketua kampung - bimbingan agar cukup maklumat, kerap turun padang, rajin dan lain-lain.

Garis panduan ketua kampung yang tidak dimurnikan sejak 1993, kita ubah. Malah kita buat lebih awal daripada pengumuman menteri KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) tentang MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung). Kita buat program bimbingan dan 'star rating' bagi menilai mereka buat kerja atau tidak.

Masyarakat Melayu perlu disantuni dengan pelbagai kaedah namun akhirnya kita mahu mereka tahu bezakan mana baik, mana buruk. Kita tidak mahu mentaliti siapa jaga siapa, sebaliknya berdikari.

Seterusnya, kepimpinan. Di sebuah kampung di Beranang, dominasi ekonomi tidak dipegang masyarakat di situ apabila serai ditanam warga Indonesia atas tanah yang disewakan kepada mereka. Akhirnya harga serai di sana ditentukan orang luar.

Ini saya mahu ubah. Sebenarnya, kejayaan boleh dicapai dengan penubuhan koperasi. Betulkan balik kaedah pemberian atau sewaan tanah, dan kita kongsikan. Sebab saya lihat ada elemen anak muda di situ yang berpotensi.

Masyarakat luar bandar perlukan informasi dan kedua, bimbingan untuk olah aset kampung. Juga peranan KEMAS walaupun ia bukan secara langsung di bawah kerajaan negeri tapi saya dapat kerjasama baik mereka.


SK: Wujudkah kesukaran berinteraksi dengan agensi kerajaan pusat seperti KEMAS yang masih punyai mentaliti lama?

Rodziah: Kita dapat kerjasama baik kerana Pakatan di Selangor lebih awal mentadbir negeri sejak 2008. Ketika itu kita harungi segala kepayahan - bukan setakat KEMAS, agensi negeri pun  agak sukar dan was-was dengan kita.

Cara saya, jumpa semua pegawai. Saya maklumkan, walaupun kedudukan orang seperti saya datang dan pergi, tapi mereka perlu berkhidmat dengan kerajaan semasa. Saya periksa kefahaman, perbetul kesilapan mereka, jangan terlibat politik. Saya ubah pemikiran mereka - apa prinsip dan dasar kerajaan kini. Kita bina hubungan, saya panggil Pengarah KEMAS Negeri, buat perjumpaan dua minggu sekali dengan semua agensi, saya nyatakan dasar atau keputusan baru kerajaan untuk mereka laksanakan. Apabila kita ikuti perkembangan, kita tahu apa mereka buat dan hubungan lebih erat.

Kita panggil mereka beri taklimat kepada Adun. Hubungan di peringkat negeri, baik. Saya beri penilaian 80 peratus dari segi keselarasan gerak kerja. Namun kita masih pantau kerana dah 60 tahun, takkan kita boleh ubah dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

Struktur organisasi juga diolah. Contohnya, banyak agensi persekutuan tiada wakil negeri seperti KEMAS yang hanya berinteraksi dengan parlimen sedangkan di negeri, kita banyak berurusan dengan Adun. Jadi bagaimana mahu jalinkan garis perintah itu? Sekarang kita minta mereka wujudkan penyelaras Dun agar tindakan dan maklumat sampai ke akar umbi.

Malah sekarang MPKK diwajibkan bekerjasama dengan KEMAS. Cadangan wujudkan penyelaras Dun datang dari Selangor. Sekarang KPLB bercadang laksanakannya di seluruh negara. Kita juga mahu KEMAS tiada wakil parti politik sebaliknya wakil masyarakat sepenuhnya.

KEMAS adalah 'kemajuan masyarakat' bukan semata-mata tadika. Ia sepatutnya agensi yang mampu menerangkan isu pembangunan seperti demokrasi, hak kewarganegaraan dan lain-lain selain kemahiran hidup dan sebagainya. Kita mahu rakyat sejahtera, bersih, berbudaya - ideologi inilah yang perlu difahamkan kepada masyarakat oleh KEMAS.


SK: Di mana kedudukan MPKK? Sebelum ini wujud dua entiti berbeza: JKK Negeri dan JKK Pusat. 

Rodziah: Di negeri pembangkang sekali pun, kita hanya ada satu entiti iaitu MPKK berbanding dua sebelum ini; JKK Negeri dan JKK Persekutuan. Sepatutnya kerajaan persekutuan masih dominan tapi kini kita lebih beri penghakupayaan kepada negeri. Walau bagaimanapun, ada kaedah lain (untuk bawa suara kerajaan persekutuan di negeri pembangkang). Tapi saya fikir MPKK baik - ada seorang pengerusi, seorang setiausaha, dan 11 biro. Sekarang lima sahaja wakil persekutuan dan selebihnya wakil negeri. Pasti ada sedikit perpecahan di situ melainkan mereka benar-benar profesional. 

Di Selangor, jelas. malah lebih ke depan dari sudut pembayaran elaun. Kita memberdaya ketua kampung melalui latihan khusus kerana kita mahu jadi contoh kepada semua masyarakat. Kita ada 371 kampung, baru selesai beri watikah baru-baru ini. 

Saya mahu lihat ketua kampung jadi penyelesai masalah, buat keputusan betul seperti mengetahui mana tanah kosong, agihkan tanah, pembahagian tapak pasar malam dan segala yang berkaitan kepentingan rakyat. Asalkan jawatan tak jadi rebutan.

Kita ada latihan pemantapan ketua kampung - pembinaan kapasiti dari segi sikap, kemahiran, dan ilmu. Selangor hantar 18 ketua kampung ikuti Diploma Pengurusan Kampung anjuran KPLB. Saya galakkan ketua kampung yang tidak ada peluang belajar ambil peluang ini.

Kita pantau enam bulan sekali melalui 'star rating' dan dapat kad laporan terperinci. Selangor amat serius, walaupun kerajaan pusat letak syarat kelayakan untuk jadi ketua kampung pada kelulusan SRP/PMR, kita mahu SPM kerana cabaran di Selangor berbeza dengan tempat lain.


SK: Wujud jurang ketara bandar-luar bandar?

Rodziah: Wujud. Di utara seperti Sabak Bernam, Tanjung Karang dan Hulu Selangor, juga di selatan seperti Semenyih, agak ketinggalan tiada Wi-Fi, jalan yang baik, akses pengangkutan kurang. Oleh itu kerajaan merangka, MB letak gugusan. Mesyuarat exco luluskan jawatankuasa bertindak melihat secara langsung pembangunan luar bandar. Selain saya Exco Pembangunan Luar Bandar akan lihat aspek pembangunan manusianya, Teng Chang Khim, Exco Pelaburan, akan lihat industri yang boleh dibawa masuk agar kawasan itu tidak tertinggal, beri pekerjaan kepada anak muda, Exco Pertanian akan lihat pertanian, Exco Pelancongan mungkin bangunkan eko pelancongan, dan lain-lain. 

Apa ukuran kawasan tersebut bagus pembangunannya? Pembangunan bukan sahaja infrastruktur tapi mampu jana pendapatan rakyat. Kalau mereka tak keluar dari situ pun, mampu raih pendapatan. Contohnya, para usahawan tani lewat kerjasama FAMA boleh jual terus produk mereka di pasar raya, tapi ini semua perlu penelitian khusus. 

Bagaimana mahu anak muda kekal di kampung kalau tiada pendapatan? Perlu dibangun dengan kemahiran seperti TVET, perladangan dan sebagainya untuk lahirkan usahawan berjaya di kalangan mereka. 

Saya ada satu projek - Sarang Ekonomi Desa, nukleus lahirkan usahawan. Contohnya di Kuala Selangor, tarikannya kelip-kelip tapi siapa dapat manfaat dari tarikan ini? Ada beberapa kelemahan di sana saya lihat seperti suasana tidak kondusif. Warga asing datang pukul 6 petang, menunggu lama. Masa tidak diisi dengan aktiviti lain seperti pameran misalnya, muzium kecil 3D untuk rasai suasana kelip-kelip jika cuaca buruk, atau jualan makanan tradisional, dan cendera hati hasil kerja tangan warga tempatan.

Sebab itu kita namakan projek tersebut 'sarang'. Dalam satu kawasan boleh lahir ramai usahawan. Kita fokuskan Sarang Ekonomi Desa ini setiap kampung, minima 30 usahawan. Tahun ini  satu kampung sebagai projek perintis disusuli empat kampung tahun berikutnya.

Profil kampung negeri Selangor telah lengkap meliputi data rumah tradisi, makanan tradisonal, berapa ramai menganggur - lengkap dalam inventori Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri (JPBD).

Selangor negeri paling awal mengeluarkan profil kampung dengan apps sendiri. Selain hanya tahu jumlah penduduk, kita juga tahu aktiviti mereka. Apabila ada data, kita boleh buat perancangan berdasarkan maklumat yang betul. Ini baru 'Smart Selangor' (Selangor Pintar), cara pemikiran dan gerak kerja pun perlu pintar.

Saya letak sasaran rakyat berpendapatan sekeluarga RM6,000 pada 2025, bandar dan luar bandar. Mimpi boleh jadi kenyataan kalau kita benar-benar letakkan kepentingan ke arah itu.

Apa guna keluar berjuta-juta ringgit setiap tahun tetapi tidak ada kesan. Orang luar suka datang Selangor, lubuk duit, tapi kenapa orang Selangor sendiri tak nampak hal itu? Kita tak ada minyak atau sumber asli lain, tapi kita lubuk emas sebab semua orang nak perkhidmatan yang kita ada.


SK: Cabaran kekalkan budaya sambil kejar kemajuan?

Rodziah: Tanggungjawab saya tukar apa yang ada jadi sumber kewangan tapi masih kekalkan elemen tradisi. Kita lancarkan Karnival Sayangi Desa untuk maklumkan kepada rakyat bahawa kita dalam satu keluarga besar. 

Identiti unik Selangor ialah kemajuan, pada masa sama kekalkan tradisi. Kita ada bunga tanjung - sembilan kelopak mewakili sembilan daerah, makanan dan muzik tradisi, tapi belum ditonjolkan. Program jelajah Sayangi Desa adalah untuk tonjolkan imej sesebuah daerah dan kampung.

Kita bawa permainan congkak, batu seremban, dan sebagainya. Di Jepun ada Bon Odori, selama seminggu dalam setahun mereka berkimono. Ini penting supaya kecelaruan kemodenan itu tidak mencairkan tradisi. Selangor ada banyak produk budaya sendiri yang perlu ditonjolkan, itu perlu dilaksanakan PADAT (Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor).

Kita mulakan semula Pertandingan Kampung Terbaik, Rumah Tradisi, Kepimpinan Terbaik, supaya mereka mula cari identiti kampung. Saya arahkan maklumat kampung didokumenkan dalam bentuk dokumentari di sistem Profil Kampung Peringkat Negeri (SPKPN), apabila klik sahaja segala sejarah kampung terpapar.


SK: Kerajaan beri insentif kepada Sasterawan Negara. Selangor ada dua Sasterawan Negara. Mungkin boleh manfaatkan mereka di peringkat negeri?

Rodziah: Saya setuju mereka dapat insentif. Bukan calang-calang orang boleh digelar Sasterawan Negara. Mereka terpinggir sebab dapat anugerah sekali sahaja. Kita mahu manfaatkan mereka seperti dimasukkan sebagai ahli lembaga PADAT atau ahli bersekutu.

Institut Darul Ehsan (IDE) ada buat program dengan mereka seperti kupasan buku. Saya tertarik bawa mereka ke kampung-kampung untuk wacana minda agar orang kampung boleh dengar sendiri dari para sasterawan, kerana mereka aset penting untuk negeri.


SK: Negara maju manfaatkan peninggalan sasterawan seperti bina muzium Charles Disckens di London dari rumahnya yang dipulihara. Ada cadangan buat seperti itu di Selangor?

Rodziah: Ketika saya jadi exco dalam penggal lepas, Profesor Dr Anuar Ridhwan cadangkan rumah beliau di Sabak Bernam dijadikan muzium sastera. Ini menarik, berpotensi sebab terdapat koleksi buku beliau yang banyak dan karya-karya lain di sana.

Hasrat jadikan rumah beliau sebagai anjung diskusi masih belum kesampaian, bagaimana pun ia satu pandangan yang baik. Ini membuktikan sasterawan bukan sekadar diberi token tetapi mereka adalah warisan yang penting.


Selangor model Malaysia

Menjawab soalan bagaimana Selangor dengan pengalaman lebih sepuluh tahun ditadbir Pakatan Harapan (sebelumnya Pakatan Rakyat) boleh jadi contoh kepada negeri lain yang baru beralih kepimpinan negeri bersama-sama kerajaan pusat, Rodziah menjawab inilah hikmahnya Selangor berada di luar kerajaan pusat sebelum ini.

Di sebalik pelbagai tekanan termasuk andaian kerajaan Pakatan tidak mampu bertahan di Selangor, kepimpinannya menempuh segala cabaran tersebut bersendirian tanpa bantuan penuh kerajaan persekutuan yang pada waktu itu masih dipegang Barisan Nasional (BN).

"Inilah hikmahnya. Kita jadi lebih berdikari, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah, laju, berfikir di luar kotak sehingga dijadikan rujukan dalam banyak hal," katanya.

Dalam isu bencana alam sebagai contoh, lulusan kejuruteraan awam ini menceritakan bagaimana beliau sewaktu bergelar Exco Kebajikan mengasaskan Badan Bencana Negeri di sebalik Dana Bencana yang telah ada lebih awal.

"Saya berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri pada waktu itu, Datuk Khusrin bagaimana membentuk pasukan petugas bencana. Jadi, kita dapat bertindak balas lebih cepat tanpa dibebankan koordinasi dengan Pusat."

"Tanggungjawab (dalam isu bencana alam) sepatutnya di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) tapi disebabkan tiada penglibatan dengan mereka, kita buat sendiri," katanya.

Disebabkan ini, katanya, apabila kerajaan persekutuan jatuh ke Pakatan Harapan, Badan Bencana Negeri menjadi semakin berkesan lewat bantuan dari MKN yang punya bidang kuasa atas pegawai daerah, menjadikan respon ke atas bencana lebih pantas.



Tinggal di rumah sendiri

Bagi memudahkannya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat, Rodziah memilih tinggal di kediamannya sendiri berbanding di Kompleks Kediaman Rasmi Exco Kerajaan Negeri Selangor di Seksyen 7, Shah Alam.

Ini kerana jelasnya, tugas sebagai exco dan Adun pada masa yang sama menuntut tanggungjawab besar, maka dengan menetap di kawasan membolehkannya memantau keadaan DUN yang diwakilinya dengan lebih baik kerana berada lebih dekat dengan rakyat.

"Di sudut pengurusan, perjalanan Pusat Khidmat DUN lancar memandangkan ini penggal ketiga saya sebagai Adun Batu Tiga. Maka, sudah ada tapak kukuh."

Menyusun jadualnya yang padat, beliau membahagikan hari-hari dalam seminggu untuk turun padang bertemu dan menyelesaikan masalah rakyat, mempengerusikan mesyuarat dengan jabatan dan agensi kerajaan, malah menziarahi rumah-rumah kebajikan dan solat di surau-surau sekitar kawasannya.

"Kita menghadapi cabaran besar kerana mempunyai rakyat yang ramai iaitu 6.6 juta orang," katanya yang menambah 40 peratus daripadanya adalah penduduk luar bandar.


*Disiarkan di Suara Keadilan 421

No comments: