Wednesday, July 10, 2019

DLP-PPSMI hidup semula?: Pusing-pusing Dr Maszlee dan nostalgia 7 Mac 2009



Oleh HAIZIR OTHMAN

Saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur petang Jumaat 21 Jun lalu bagi menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-63. Dijadualkan acara bermula jam dua, maka saya ke sana lebih awal, menunaikan fardhu Jumaat di aras satu bangunan lama. Majlis akan diadakan di aras bawah bangunan yang sama.

Usai Jumaat, aras bawah perlahan-lahan dipenuhi hadirin - anak-anak sekolah, pekerja dan bekas pekerja DBP, penulis dan karyawan, penggiat seni budaya, pejuang bahasa, juga rakan media. Pameran sepanjang laluan menuju tangga ke Balai Budaya Tun Syed Nasir mula meriah dan riuh dengan suara pempamer dan tetamu.

Penulis tersohor, para Sasterawan Negara (SN) mula datang seorang demi seorang, disambut urusetia juga kenalan lama sebelum diiringi ke Bilik VIP. Penyair istimewa, Pyan Habib datang berkain sarung. Pelakon komedi dan kartunis, Imuda turut ada. Sebentar lagi saya menemubualnya ringkas. Beliau bekas pelukis di DBP.

Dinding pameran di situ kemudian jadi tempat para jemputan terutamanya media menghabiskan waktu menunggu terlalu lama kehadiran dif kehormat termasuk Menteri Pendidikan yang bakal merasmikan acara. Dari satu jam ke jam seterusnya kami menanti walau kesabaran sudah hampir ke takah terakhir seperti telefon kehabisan bateri.

Namun saya tetap punya tugas sendiri. Beberapa orang SN juga para karyawan saya temubual untuk melengkapkan bahan tugasan. Dan kira-kira jam 4 petang, kelibat menteri yang dinanti pun tiba. Kami, wartawan bergegas ke dewan sementara para jurukamera merakam setiap pergerakan menteri dari depan pintu sehingga naik tangga.

Tak belajar BI, bodoh

Sehari-dua sebelum itu, Suara Keadilan menerima kenyataan media dari Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) tentang ura-ura kerajaan pimpinan Perdana Menteri (PM) Dr Mahathir Mohammad berhasrat menghidupkan semula program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Bukan kali pertama khabar ini bertiup, April lalu PLM bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk ASASI, Persatuan Pendidikan Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan lain-lain mengadakan sidang media membantah program ini yang akan dilaksanakan di Sarawak sebagai negeri pertamanya.



Malah, sebelum itu media turut memetik kenyataan PM bahawa PPSMI telah pun dilaksanakan semula tanpa sebarang pengumuman dibuat kerajaan BN sebelum ini.

Untuk rekod, pada 2016, empat tahun selepas PPSMI dimansuhkan, Program Dwibahasa (Dual Language Program, DLP) diperkenalkan, memberi pilihan kepada sekolah mengajar Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam bahasa Inggeris. Semakan dalam data terbuka kerajaan di data.gov.my mendapati 1370 sekolah menjalankan program ini setakat 31 Oktober 2018.

Dr Mahathir yang memperkenalkan dasar itu buat kali pertama pada 2002 tanpa melalui mesyuarat kabinet mengakui akan 'menghidupkan' semula PPSMI, walaupun pernah berkata sebelum PRU-14 lalu, pungutan suara akan diadakan bagi memberi rakyat peluang memutuskan sama ada PPSMI akan dikembalikan atau tidak.

"Kami perlu mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Idea orang Melayu tidak boleh belajar dalam bahasa Inggeris adalah bodoh," katanya, memetik Malaysiakini.

Di sebalik desas-desus ini, walaupun kedengaran kerajaan begitu hampir untuk menghidupkan semula PPSMI atau seumpamanya, tiada kenyataan rasmi mana-mana pihak dalam kerajaan untuk mengesahkan bahawa ia benar-benar akan dilaksanakan.

Polemik ini perlu dijawab, dan selain perdana menteri, tiada orang lain lebih layak untuk menuntaskan persoalan penting ini selain daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Maka soalan inilah ingin saya tanyakan dan jadi motivasi menunggu beliau selama dua jam di lobi DBP.

Di pentas dewan besar, Dr Maszlee menyampaikan ucapannya di depan para Sasterawan Negara. Yang ada termasuklah Dr Anwar Ridhwan, A Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, Kemala, dan Zurinah Hassan; mewakili semua SN yang masih hidup, kecuali Noordin Hassan yang tidak hadir lantaran uzur.


Malah sebelum ucapan menteri, A Samad Said atau mesra disapa Pak Samad mendeklamasikan sajak dari kumpulan puisinya yang monumental, Suara Dari Dinding Dewan (2003) yang kuat nada protesnya terhadap dasar yang mengancam bahasa kebangsaan sebagai medium pendidikan kebangsaan.

Untuk rekod, Pak Samad adalah antara tonggak utama NGO Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), bersama-sama mantan Ketua Pengarah DBP, Dr Hassan Ahmad. Kemuncak perjuangan mereka adalah demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2009 sehingga membawa kepada pemansuhan program tersebut sepenuhnya pada 2012.

Ditembak gas pemedih mata

Imej Pak Samad di sebalik cermin mata bulatnya, mengesat matanya yang pedih kerana terkena kesan tembakan gas pemedih mata FRU dalam demonstrasi tersebut antara yang dipaparkan media pada ketika itu, meraih simpati orang ramai.

Sepuluh tahun berikutnya, Pak Samad membacakan dari kumpulan puisi tersebut sekali lagi, sajak yang mungkin pernah dibacakan di program-program kecil dan besar menentang 'penjajahan' bahasa yang giat dilakukan rejim lama. Bezanya, kali ini beliau di depan menteri dalam pentadbiran baru, yang barang kali sepuluh tahun lalu berada di United Kingdom, sibuk dengan urusan pengajian doktor falsafahnya.

Turun Dr Maszlee dari pentas, usai menyantuni anak-anak sekolah dan hadirin, saya menghampirinya, menunggu peluang bertanyakan soalan. Sebaik berkesempatan, ura-ura PPSMI akan dihidupkan semula susulan pelaksanaannya di Sarawak, saya tanyakan.

"Di Sarawak itu bukan PPSMI. Hari ini Datuk  Michael Manyin (Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak) telah buat kenyataan. Boleh rujuk," katanya sebelum saya menyambung soalan.

Suara Keadilan (SK): Ada ura-ura PPSMI akan dilaksanakan semula di seluruh Malaysia?

Dr Maszlee: PPSMI itu yang dulu.

SK: Maknanya, ia tidak akan dilaksanakan?

Dr Maszlee: Tak. Kita akan buat sesuatu yang baru untuk tingkatkan kualiti pendidikan.

SK: Bukan dalam bentuk PPSMI yang pernah kita laksanakan sebelum ini?

Dr Maszlee: Kita akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan untuk memastikan anak-anak Malaysia bersedia untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.

SK: Adakah Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Inggeris?

Dr Maszlee: Kita akan memastikan anak murid kita yang berada di sekolah bersedia untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0. Mereka perlu dilengkapkan dengan ilmu-ilmu yang membuatkan mereka sebagai kalis masa depan, atau 'future proof'.

SK: Adakah Revolusi 4.0 itu akan menggunakan bahasa Melayu?

Dr Maszlee: Kita akan memastikan pendidikan yang diberikan kepada anak-anak kita berkualiti dan mereka bersedia menghadapi pasaran global dan cabaran yang begitu hebat pada Revolusi 4.0.

SK: YB, minta jaminan bahasa Melayu dalam pendidikan Sains dan Matematik?

Dr Maszlee: Kita akan pastikan pendidikan berkualiti diberikan kepada anak-anak kita.

SK: Adakah bahasa Melayu tak berkualiti, YB?

Dr Maszlee: Kita akan pastikan pendidikan berkualiti diberikan kepada anak-anak kita.

Sehingga beliau beredar diiringi pegawai-pegawainya, soalan pelaksanaan DLP-PPSMI tidak terjawab tuntas. Namun, berdasarkan caranya menjawab, keputusannya boleh diteka. Sajak Pak Samad sebentar tadi terngiang-ngiang di telinga. Saya tidak berharap ia dideklamasi lagi dengan latar serupa seperti peristiwa sepuluh tahun lalu.


*Disiarkan di Suara Keadilan 421

No comments: