Oleh HAIZIR OTHMAN
Masih segar dengan isu kontroversi melibatkan bekas rektornya, Dr Mohd Rizon Juhari, para pelajar Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dihalang daripada mengadakan forum dalam kampus tersebut yang terletak di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.
Forum bertajuk Siapa Selepas Rizon?: Perbincangan Hala Tuju ASWARA itu dijadualkan diadakan Khamis lalu di Kafe Bunga Raya ASWARA membariskan pelakon terkenal yang juga bekas pelajarnya, Nam Ron, selain pengkritik filem terkemuka, Hassan Muthalib.
Nam Ron ketika ditemui Suara Keadilan di luar kampus kerana dihalang masuk oleh pihak keselamatan ASWARA berkata, forum tersebut seharusnya dijadikan peluang bukan sahaja oleh para pelajar malah pihak pentadbiran untuk menjelaskan isu-isu semasa di sana, misalnya isu penggabungan Fakulti Penulisan dengan Fakulti Filem, dan pemberhentian pensyarah oleh bekas rektornya.
"Saya tak setuju penggabungan kerana ia (penulisan dan filem) merupakan dua aliran yang berbeza, ditambah apabila dia (rektor) menghina jabatan penulisan dengan mengatakan sesiapa pun boleh mengajar."
"Saya datang untuk bincang isu-isu seperti ini supaya ada pihak respon, jelaskan kenapa ia berlaku," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, tokoh budaya, Raja Ahmad Aminullah yang turut hadir melahirkan rasa kecewanya atas keputusan tidak membenarkan penganjuran forum akademik di kampus pusat pengajian tinggi.
"Apabila kita dihalang berbicara hal-hal seni di insitusi penting seperti ASWARA melibatkan mahasiswa dan bekas tenaga pengajar mereka sendiri seperti Nam Ron, ia adalah sesuatu yang pelik."
"Pusat pengajian sepatutnya tempat mengembangkan pemikiran, bukan membonsaikannya. Ini beri gambaran bahawa kampus kita masih di takuk dahulu yang sekat kebebasan pelajar untuk bicara kemaslahatan masyarakat kampus," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau menyeru menteri berkaitan (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammaddin Ketapi) harus lebih bertanggungjawab untuk mengetahui apa yang berlaku di kampus.
"Menteri kalau sekali-sekala tunjuk kebodohan tak apa. Jangan tunjuk siri kebodohan demi kebodohan," tegasnya.
Dihalau dari kafe
Nam Ron turut bersetuju dengan kenyataan bahawa ASWARA telah dipimpin oleh orang yang salah kerana telah membuat keputusan-keputusan yang salah.
"Dari maklumat yang saya dapat, beliau (Rizon) bukanlah orang kesenian, kebudayaan. Jika dia tidak arif tentang bidang itu, dia akan gagal.
"Tapi jika seseorang itu tidak arif sekalipun, jika dia pentadbir yang bagus, dia akan mendengar pandangan semua. ASWARA pernah dipimpin Datuk Omar dari Jabatan Kastam. Tapi dia bersedia mendengar pandangan dari dekan-dekan yang lebih arif," kata pelakon dan pengarah filem One Two Jaga itu.
![]() |
| Nam Ron |
Sesi wawancara dengan Nam Ron, atau nama sebenarnya, Shahili Abdan, dan Raja Ahmad akhirnya bertukar menjadi 'forum' di luar kampus berdepan pondok keselamatan apabila ia disertai kira-kira 40 orang mahasiswa yang 'dihalau' keluar dari Kafe Bunga Raya yang sepatutnya jadi tempat acara.
Walaupun hujan turun renyai-renyai, para mahasiswa tidak berganjak dari situ, malah sesetengahnya merakamnya secara langsung untuk paparan media sosial mereka.
Ekoran dari rakaman tersebut, para pelajar dalam kampus cuba untuk menyertai rakan-rakan mereka yang 'berforum' di luar, namun telah dihalang pihak berkuasa ASWARA dengan tidak membenarkan mereka melepasi pagar yang dibatasi palang keselamatan.
Terdahulu, beberapa kakitangan dan bekas pelajar ASWARA menyerahkan memorandum kepada pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Putrajaya, menggesa kerajaan tidak mengamalkan kronisme semasa melantik tokoh bagi mengisi jawatan rektor institut pengajian tinggi (IPT) itu.
Penyerahan memorandum yang turut disertai Sasterawan Negara Dr Muhammad Hj Salleh itu antaranya menuntut pelantikan Sahar Sa’di Hashim sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik ASWARA dibatalkan atas alasan ia dibuat secara tidak telus, memetik MalaysiaKini.
Rizon yang berdepan kes mahkamah atas dakwaan melakukan gangguan seksual, kini bercuti sejak 4 Mac lalu. Tugasnya dijalankan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar ASWARA, Raja Nor Sheela Raja Aziddin. Suara Keadilan isu 408 telah melaporkan gesaan kakitangan ASWARA agar Rizon diberhentikan, manakala isu 412 melaporkan pemberhentian pensyarahnya rentetan penggabungan fakulti.
*Disiarkan di Suara Keadilan isu 414


No comments:
Post a Comment