Wednesday, January 30, 2019
Kebajikan veteran tentera perlu reformasi
Terdapat trend yang dimulakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom sekitar empat atau lima tahun lalu apabila perusahaan-perusahaan besar mengambil para pesara tentera untuk berkhidmat dengan mereka.
Bank pelaburan dan syarikat perkhidmatan kewangan beribu pejabat di London, Barclays Bank sebagai contoh, mengambil bekas-bekas perajurit untuk ditempatkan di syarikat tersebut malah ada yang dilantik sehingga ke jawatan pengurus, setelah melalui siri-siri latihan dan kursus.
Dengan insiatif yang dirintis bersama-sama antara kerajaan, badan kebajikan dan korporat, skim transisi pekerjaan dari pasukan beruniform kepada kerjaya kolar putih ini mempunyai matlamat serampang dua mata.
Pertama, ia memberi manfaat besar kepada para bekas tentera beroleh pekerjaan baru setelah perkhidmatan mereka dalam unit beruniform tamat. Kedua, perusahaan-perusahaan ini turut mendapat keuntungan dari pengalaman luas mereka yang pernah terjun ke medan perang sebenar, sementelah menurut sesetengah usahawan, "perniagaan adalah peperangan".
Tempoh perkhidmatan dalam ketenteraan yang relatif singkat hanya menjadikan inisiatif ini semakin penting untuk kedua-dua pihak. Bersara pada usia muda, tenaga dan fikiran mereka masih kuat untuk dimanfaatkan demi pembangunan negara.
Bakat, pengalaman, karisma, kredibiliti dan segala kualiti diri para veteran tentera ini mempunyai nilai tinggi, diberi penghargaan besar oleh masyarakat di negara maju - satu pelajaran berguna yang boleh kita contohi.
Namun, apa yang ada di sini, situasinya berbeza sama sekali. Para veteran tentera kita sejak sekian lama masih dibelenggu kisah-kisah derita dengan latar-latar seperti perang melawan penjajahan Jepun, dan menentang pengganas komunis.
Jual nasi lemak
Seperti yang diungkitkan Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) dalam sidang media mereka di hadapan Tugu Negara, Kuala Lumpur petang Jumaat lalu, nasib golongan veteran kini disifatkan sebagai sudah sinonim dengan pekerjaan 'pengawal keselamatan' setelah bersara.
Lebih jauh, terdapat wira-wira negara yang kini terlantar sakit selain hanya bergantung kepada pencen bulanan, setelah berpenat lelah dan berkorban nyawa demi negara di zaman perkhidmatan mereka.
Menjadikan situasi lebih dramatik, mereka juga mendakwa kepakaran dimiliki veteran ATM yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun dibiarkan begitu saja, sehingga ada yang kini hanya mampu meraih pendapatan dengan menjual nasi lemak dengan pulangan sekitar RM30 sehari.
Antara keluhan yang disuarakan, mengapa veteran berpengalaman ini tidak ditawarkan sebarang ruang untuk berkhidmat dalam syarikat milik kerajaan (GLC) mahupun syarikat tersenarai awam (PLC) seperti Affin Bank, yang merupakan anak syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Pengerusinya, Azizan Salleh berkata seharusnya veteran ATM yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang kepakaran masing-masing diberikan penempatan pekerjaan sewajarnya dalam sektor-sektor tertentu.
Cadang Azizan, kerajaan perlu melaksanakan pelarasan pencen veteran ATM merangkumi mereka yang tidak berpencen, dan Orang Kurang Upaya (OKU) perang. Pada ketika ini, dakwanya, OKU perang termasuk yang capik, yang terkena jerangkap samar hanya menerima RM100 ke RM150 sahaja dari kerajaan.
Sehubungan itu katanya, bagi menyokong usaha jelas kearah membela kebajikan golongan veteran, pihaknya menuntut kerajaan HARAPAN segera menetapkan pelan hala tuju berhubung perkara itu.
Beri LLP tempat
Menyuarakan isu sama, Timbalannya, Muhamad Mustafa berkata satu anjakan reformasi sistem perlu dilaksanakan dengan mewujudkan rangka tindakan, misalnya kebajikan dan pendidikan anak-anak veteran.
Pada masa sama, GRVATM turut mencadangkan komposisi keanggotaan Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) agar lebih seimbang dengan memasukkan sama anggota veteran ATM dari golongan Lain-Lain Pangkat (LLP) bagi mewakili suara majoriti veteran.
Seorang veteran tentera udara, Azhar Mat Din, 52, ketika ditemui berkata, pegawai dalam ATM membentuk kurang 10 peratus daripada keseluruhan anggota, maka LLP perlu diberi tempat.
Jelas Mustafa lagi, LLP lebih terdedah kepada kesukaran hidup, menerima pencen rendah, selain aktif menggerakkan reformasi ATM sejak awal 2008.
Untuk rekod, kerajaan HARAPAN menubuhkan MVK pada 18 Disember 2018 lalu sebagai usaha untuk memartabatkan golongan veteran. Ia telah bersidang buat julung kalinya pada 24 Disember 2018 lalu dipengerusikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, dan akan bersidang sekali lagi Februari nanti.
Sementara itu, menjawab kritikan GRVATM, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM menerusi kenyataan Ketua Pengarahnya, Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, pihaknya sentiasa prihatin dan menitikberatkan kebajikan Veteran ATM, dan akan terus komited untuk membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi veteran.
Mengakui isu ini bukan baru dan sudah dibangkitkan sejak pentadbiran lalu, katanya kerajaan masih meneruskan segala kemudahan serta bantuan sedia ada seperti Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam/Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam dan lain-lain.
Mohamad Sabu sebelum ini berkata, kerajaan sudah menilai dan menimbangkan peruntukan khas kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) berjumlah RM28.5 juta, namun peruntukan itu akan dinaikkan dari masa ke semasa mengikut kemampuan kewangan negara.
*Disiarkan di Suara Keadilan 410
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment