Mengetahui diri kita dihargai (juga disayangi) orang lain adalah antara kepuasan hidup paling besar, fikir saya. Ianya barangkali ialah satu enzim yang merembeskan hormon gembira lalu mengalir dalam setiap denyut nadi dan menyalurkannya ke setiap anggota tubuh. Malah ia mengalir dengan deras dan kuat; umpama air sungai yang jatuh dari air terjun yang tinggi.
Kadangkala, saya merasakan kegembiraan itu akan habis atau sekurang-kurangnya berkurangan dimakan masa tetapi sebenarnya pemikiran sebegitu adalah silap. Gembira bukan seperti manis gula-gula getah yang manisnya hanya dapat dikecap sekejap dan semakin pahit apabila semakin dikunyah. Gembira ialah anugerah dari Allah Yang Maha Kaya, Yang Maha Memberi. Sebanyak mana pun kegembiraan yang kita pinta dan peroleh dari Allah, khazanah kegembiraan itu tidak akan habis dari perbendaharaan-Nya.
Maka, jangan takut untuk berasa puas, gembira dan bahagia selagi kepuasan, kegembiraan dan kebahagiaan itu tidak menjauhkan diri kita dari Allah malah sebaliknya semakin membuatkan kita bersyukur dan dekat kepada-Nya. Dan jangan khianati anugerah tersebut dengan membuat dosa kerana bimbang kita terjatuh ke lembah kufur nikmat.
Firman Tuhan dalam Al-Quran yang mulia:
"Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan bagimu. Dan jika kamu kufur, sesungguhnya 'azab-Ku amatlah keras"
Pada satu-satu ketika, hampir-hampir saya menitiskan air mata mengenangkan anugerah kegembiraan yang Allah limpahkan kepada saya pada ketika ini, dalam keadaan diri saya begitu lalai dan lupa kepada-Nya. Saya memohon kepada Allah agar anugerah ini ialah panggilan hidayah untuk saya menuju keredhoan-Nya yang menjadi kemuncak di atas segenap kegembiraan. Sungguh-sungguh saya ingin menuju ke sana; ke arah keredhoan itu.
Dan saya ingin menuju ke sana bersama dengan orang-orang yang saya sayangi.
3 comments:
Wah, hebat sungguh penangan cinta.
Lebih hebat apabila ia menjadikan kita lebih dekat dengan Yang Maha Esa.
Syabas Zariman! Teruskan bahagia & jangan takut merasa perasaan itu dengan sepenuh hati!
Ummm teruskan usaha murni anda....
terima kasih semua!
Post a Comment