Syarikat kami tidak menerima penyata akaun dari bank selama tiga bulan. Untuk mendapatkan salinan penyata tersebut dari cawangan bank berkenaan yang paling hampir, kami perlu menulis surat kepada pengurus bank berkenaan beserta authorised signature sekali. Selepas itu, bank cawangan akan mencetak penyata akaun kami dari sistemnya yang boleh mengakses sistem dari bank pusat.
Untuk membuat perkara ini, maka kami telah berurusan dengan Encik K, pegawai bank tersebut. Surat tersebut telah dihantar pada hari Jumaat dan dia akan memberi penyata tersebut kepada kami pada hari Isnin. Walaubagaimanapun, kami hanya akan mengambilnya pada hari Selasa kerana ada sedikit kekangan. Pada hari Selasa, semasa saya ke bank untuk mengambil penyata tersebut, saya terus sahaja ke kaunter biasa dan meminta seorang petugas kaunter yang agak cantik memanggilkan Encik K untuk saya. Petugas tersebut bertanyakan tujuan saya dan saya menyatakan untuk mengambil penyata. Dia bertanya penyata bulan berapa dan saya menjawab pertanyaannya iaitu bulan satu, dua dan tiga. Kemudian dia menerangkan pula untuk tujuan tersebut kamu perlu membuat surat yang mengandungi authorised signature.
Saya menyatakan semua itu sudah siap diberi kepada Encik K. Saya hanya mahu berjumpa Encik K. Tolong panggilkan dia untuk saya. Kemudian dia menyatakan Encik K sedang engage dan saya perlu ke kaunter khidmat pelanggan untuk urusan yang maha penting ini. Sebenarnya Encik K hanya 1 meter di belakangnya. Saya memang nampak dia baru sahaja mengangkat satu panggilan telefon dan bukanlah tujuan saya ingin mengganggu perbualan telefon tersebut. Saya hanya mahu petugas itu memberitahu Encik K yang saya dari syarikat sekian sekian ingin mengambil penyata darinya. Tidak perlu untuk saya ke kaunter khidmat pelanggan.
Disebabkan saya sudah sedikit marah, saya hanya terus duduk di atas kerusi tempat menunggu. Menunggu Encik K tamat perbualan telefon dan saya sendiri akan memanggilnya dari kaunter si perempuan tadi. Dipendekkan cerita, tamatlah perbualan telefon Encik K dan si petugas terus menyampaikan mesej saya dan tanpa sebarang masalah Encik K terus mengambil penyata yang sudah pun ada di atas mejanya lalu memberikannya kepada si petugas. Mudah sahaja. Semudah ABC. Menyedarinya, saya bingkas bangun dan terus mengambil penyata dari petugas yang sudah tidak cantik lagi malah sudah bertukar menjadi amat hodoh.
Ada kecenderungan di kalangan sesetengah dari kita yang suka menjadikan suatu perkara mudah kepada perkara paling sukar di dunia. Saya memberi definisi golongan ini sebagai golongan yang "melihat sesuatu dari perspektif masalah". Mereka memakai cermin mata yang pada kantanya tertulis "MASALAH" lalu melihat dunia menerusi kanta tersebut. Amat berbahaya kerana semua perkara termasuk kita malah dirinya sendiri akan dicerap sebagai satu masalah, dan perlu diselesaikan.
Saya ada seorang kawan yang sangat suka memulakan perbualannya dengan frasa "Masalahnya sekarang..,". Dia lalu tersedar sendiri keburukan berfikir sebegitu lalu menukar kata "masalah" kepada "hal". Baguslah. Dan tanpa disangka-sangka masalah yang selalu melingkarinya seperti terlerai sedikit demi sedikit selepas itu.
Baguslah.
2 comments:
Semoga awak tidak termasuk dalam golongan bermasalah
Insya Allah ..(nama diberi)
Post a Comment