Nama aku Bulat. Bukan nama samaran atau nama manja. Memang betul nama aku Bulat. Mak aku masa mengandungkan aku kenen bulan, kata orang. Bila aku lahir muka aku bulat betul-betul macam bulan mengambang penuh. Atas sebab itu mak dan ayah aku sepakat bagi aku nama Bulat.
“Senang ingat,” kata ayah.
Bermula dari situ aku, Bulat dengan bulan, ya, bulan, dah jadi macam kembar seiras. Orang bila tengok muka aku akan teringat bulan, dan bila tengok bulan akan teringat muka aku. Sehinggalah pada suatu hari aku dan bulan jadi satu. Macam kembar Siam yang belum dipisahkan. Aku terbang ke bulan pada satu hari, op, pada satu malam. Ya, aku, terbang. Ke bulan.
Sebelum terbang ke bulan, aku telah terlebih dulu terbang ke ISS. International Space Station. Stesyen Angkasa Antarabangsa. Betul, sebelum Dr Sheikh Muszaphar Shukur berlepas ke ISS dengan menggunakan pesawat Soyuz buatan Russia, aku telah lama tiba ke sana. Akulah sebenarnya angkasawan negara yang pertama. Cuma pemergianku ke sana tidak diwar-warkan dan tidak diiktiraf sesiapa melainkan diriku sendiri. Aku tidak memakai sut lengkap angkasawan dan tidak menghadiri ujian pemilihan angkasawan yang sangat ketat itu. Aku tidak suka malah sebenarnya aku tidak akan mampu lepas walaupun pada peringkat mula-mula lagi. Tetapi aku ada menghadirkan diri ke sana, ketika ujian pemilihan itu baru hendak bermula. Aku ada hadir. Di sana aku nampak Dr Sheikh Muszaphar dari jauh sedang membuat senaman regangan sebelum dia dan calon-calon lain dikehendaki berlari sejauh 3 kilometer dalam masa yang ditetapkan. Aku nampak dia. Maklumlah dia peserta paling menyerlah dalam ramai-ramai peserta itu. Pada waktu itu lagi aku sudah dapat meramal yang dia mampu pergi jauh. Dan ramalanku betul. Dia memang mampu pergi jauh. Sangat jauh, sehingga melepasi atmosfera Bumi.
Aku sering melukis gambar bulan semasa kecil dalam lukisan pemandangan sewaktu kelas Pendidikan Seni di sekolah. Disebabkan bulan, lukisanku pemandanganku sering sahaja berlatarkan suasana malam. Dan disebabkan malam, aku hanya banyak menggunakan warna hitam di atas kertas lukisan. Kecuali bulan. Aku warnakannya putih. Dan disebabkan aku hanya menggunakan warna hitam dan sedikit warna putih dalam lukisan pemandanganku, warna-warna biru, merah, kuning dan lain-lain dalam kotak warna airku langsung tidak disentuh dan semuanya masih penuh terisi sehingga sekarang. Dan disebabkan ini juga aku tidak pernah mendapat gred yang lebih baik daripada “C-“ dalam mata pelajaran Pendidikan Seni di sekolah. Malah pada satu ujian bulanan sewaktu secara kebetulan warna hitamku telah habis akibat terlalu banyak melukis malam, aku hanya melukis bulan penuh di atas kertas lukisan dengan menggunakan pensel sehingga guru Pendidikan Seniku hanya berkenan memberikan markah yang secara simboliknya menyerupai subjek kegemaranku itu iaitu bulan; “0”, sebagai hadiah di atas minat mendalamku itu.
Sehinggalah aku memasuki sekolah menengah, bulan masih menjadi subjek dan objek kegemaranku yang nombor satu. Aku mula menulis karangan tentang bulan, apabila diminta menulis karangan oleh guru Bahasa Melayu, Cikgu Ayu. Tetapi karanganku tidak dapat diterima Cikgu Ayu kerana baginya “Lawatan Keluarga Semasa Cuti Sekolah Ke Bulan” adalah tidak munasabah memandangkan cuti sekolah yang rata-ratanya relatif singkat dan tidak memungkinkan lawatan itu akan berjaya atau sekurang-kurangnya pun kami sekeluarga tidak akan sempat pulang ke bumi sebelum penggal persekolahan bermula. Namun begitu aku tetap berhasil memperoleh markah yang kuidentifikasikan sebagai “satu bulan” atau “10” untuk karangan tersebut.
Mungkin nasibku lebih baik apabila aku mula menulis sajak. Sajak-sajakku tentang bulan lebih diterima berbanding lukisan dan karanganku tentang subjek yang sama. Aku sering dipuji Cikgu Ayu di depan kawan-kawan sekelas dan sering diminta olehnya mendeklamasikan sajak-sajak bulanku untuk didengar semua.
“Bulat, tolong bacakan sajak awak! Biar semua kawan-kawan dengar!” begitulah yang sering Cikgu Ayu katakan kepadaku setiap kali meminta aku mendeklamasikan sajak bulan yang kukarang.
“Ya, cikgu!” dan aku memang bangga diminta-minta sebegitu oleh Cikgu Ayu yang ayu dan berwajah sayu itu – malah ia merupakan satu penghormatan yang besar kepadaku. Aku akan membawa kerusi ke depan kelas dan mendeklamasikan sajakku dengan berdiri di atas kerusi, sebagai satu lambang ketinggian bulan di atas langit yang ingin kutunjukkan kepada semua, kepada kawan-kawan dan kepada Cikgu Ayu. Terutamanya kepada Cikgu Ayu.
Di balik bayangmu, bulan!
Aku tahu ada satu lagi sisi yang sering kauingin sembunyi
dari cerapan pemuja-pemujamu yang setia
seperti aku
hanya kerna kau tidak pernah percaya
dan tidak akan sesekali menduga
betapa aku ini pencintamu akan tetap memuja
wajahmu yang mempesona
walau sisimu itu yang lagi satu
punya banyak jerawat batu menggerutu
Kawan-kawanku semua termasuk Cikgu Ayu akan bertepuk tangan sekuat-kuatnya seusai aku membuat persembahan. Jika dilihat murid-murid kelas lain, mungkin sekali mereka akan menyangka yang aku sedang diejek dan disorak kawan-kawan akibat didenda berdiri di atas kerusi di depan kelas. Ah, apa sekalipun anggapan mereka aku tidak pernah ambil peduli asalkan sahaja hatiku berasa puas selepas itu kerana telah berjaya mengukir sekuntum senyuman berbunga di bibir Cikgu Ayu.
Perhubunganku dengan Cikgu Ayu yang ayu dan berwajah sayu itu menjadi semakin rapat selepas persembahan sajakku di atas kerusi di depan kelas. Dia bagaikan tahu sajak yang kusampaikan tempoh hari sebenarnya memang kuciptakan khas untuk dirinya. Barangkali tidak pernah sebelum ini ada insan yang sanggup menghadiahkan seuntai sajak buat dirinya, hatta mendekatinya sekalipun. Maka kehadiranku dilihat dapat mengisi ruang kosong yang ada dalam hatinya. Atau mengisi lompong-lompong bekas jerawat yang ada pada mukanya.
“Bulat, Bulat..” kata Cikgu Ayu pada satu petang sewaktu kami berjalan beriringan ke Balai Cerap di Pusat Falak Al-Khawarizmi, untuk melihat anak bulan Ramadhan. Tidak, kami tidak berdating atau berdua-duaan seperti yang lazim pasangan remaja zaman sekarang lakukan. Bersama kami ialah adik Cikgu Ayu yang berusia 15 tahun untuk menemankan kami, dan sebagai mahram Cikgu Ayu.
“Ya, Ayu!” balasku, lembut. Suasana petang itu sangat tenang dengan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Matahari sudah begitu hampir menyorokkan dirinya di ufuk barat.
“Kalau Ayu jadi bulan?”
“Biarlah aku jadi Neil Armstrongnya!”
Namun kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, dan banjir paras lutut di tengah malam. Perhubunganku dengan Cikgu Ayu yang baru berputik dan belum sempat bertunas mencambahkan benih-benih cinta, dicantas oleh duri tajam sembilu kasih yang entah datang dari mana. Aku tidak pernah dan tidak akan dapat lupa peristiwa pada hari itu, peristiwa yang berlaku pada hari ulangtahun kelahiran Ayu yang ke-41 apabila aku telah berjanji akan menghadiahkan sesuatu yang paling istimewa kepadanya; bulan! Tetapi Ayu tidak dapat menerima gurauan sadisku apabila aku menunjukkan kepadanya bulan sabit di puncak kubah Pusat Falak Al-Khawarizmi, tempat kami selalu berbual-bual sambil melihat bulan. Ayu menjadi begitu berang, begitu marah, lebih marah berbanding sewaktu dia tidak dapat menerima karangan Bahasa Melayuku dulu. Marahnya begitu menjadi-jadi, wajahnya merah padam dan hampir-hampir sahaja jerawat-jerawat batunya yang banyak itu tersembul keluar dari mukanya. Selepas kejadian itu dia terus pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Lama selepas itu barulah aku tahu daripada adiknya yang pada hari itu sebenarnya dia datang bulan.
Perpisahanku dengan Ayu sangat pahit untuk ditelan. Hidupku terasa gelap bagaikan malam tanpa bulan. Seperti kehadiran bulan pada malam, begitulah Ayu kepada diriku. Aku berasa seperti tidak mahu hidup lagi di atas bumi ini, yang sudah tidak mempunyai bulan lagi. Biarlah aku hidup di bulan. Di sana aku akan tetap melihat Ayu yang aku tahu pada setiap pertengahan dan akhir bulan Melayu akan duduk di atas rumput melihat bulan mengambang seperti mana yang pernah kami lakukan dahulu. Itulah saatnya sewaktu aku meninggalkan bumi dan terbang ke bulan untuk merawat jiwaku yang luka. Nantilah. Satu hari nanti aku akan tetap pulang semula ke bumi dan menuntut gelaran Angkasawan Negara dari kerajaan Malaysia. Pada waktu itu aku percaya Ayu akan kembali kepadaku dengan berlari-lari.
2 comments:
Pak Busu! Alin suka sangat sangat sangat cerpen ni. Tak nak hantar dekat mana-mana ke?
Tima kasih, Lin, sebab suka. Ni cerpen main-main ni, siapalah nak terima.
Post a Comment