
“Ada harapan yang ditawarkan dalam hidup ini,” kata Aris.
“Ya, harapan palsu!” Dian membalas, selepas diam beberapa jeda.
“Kau cepat pesimis. Mengapa?”
“Itu sahaja yang aku ada sejak dulu. Kepalsuan. Yang dibalut dengan kain sutera harapan agar lebih enak dipegang. Dan agar lebih cantik dipandang.”
“Kau barangkali salah membeza antara harapan palsu dengan harapan tipis, Dian!”
“Mungkin. Lalu aku memilih untuk tidak mengambil kedua-duanya. Baik palsu, baik tipis.”
“Kalau begitu kau hidup dalam dunia tidak berharapan.”
“Itu lebih baik daripada aku terus ditipu berkali-kali. Dengan kalimah muluk “harapan” yang kautawarkan!”
“Engkau sudah berhenti berharap, begitu?”
“Aku sudah berhenti percaya kepada harapan. Yang dimomok-momokkan. Seperti hantu!”
“Aku dapat mengetahui sebenarnya engkau hidup dalam ketakutan, Dian! Engkau telah salah mengambil ketakutan dengan harapan. Harapan bukan hantu yang perlu ditakuti. Ia adalah fajar terang yang muncul di ufuk timur selepas gelap pekat malam. Ia lawan ketakutan, Dian! Lawan ketakutan!”
“Aris, fajar yang engkau harapkan itu terlalu ideal dan retorik. Malah mungkin munafik.”
“Dian, ia memang ideal, mungkin retorik, tapi tidak munafik. Ia akan muncul, Dian! Ia akan muncul. Walau segelap lohong hitam sekalipun malam menjelma. Dan apabila ia muncul, ia akan menerangi semua. Menerangi aku yang menunggunya, dan menerangi engkau yang ragu-ragu dengannya.”
“Oh, ya? Baiklah! Kalau begitu aku tunggu kedatangan fajar di sini, bersilang kaki.”
“Sekurang-kurangnya engkau sudah sedikit bercita-cita mahu keluar dari kegelapan. Mahukah aku cadangkan sesuatu kepadamu ? ”
“Apa dia ? ”
“Marilah kita bersusah-payah sedikit memanjat sehingga ke atas bukit sana.”
“Memanjat bukit? Untuk apa?”
“Kita mahu melihat fajar, bukan? Dari atas sana, fajar yang indah itu dapat lebih cepat dan lebih indah kita lihat.”
No comments:
Post a Comment