Wednesday, February 06, 2008

Gong Xi Fa Cai. Shin Ni Kwai Lek.

Esok Tahun Baru Cina. Tahun Tikus bagi orang Cina. Tanpa mahu mengaitkan dengan Tahun Tikus dalam kalendar Cina, dua malam yang lalu saya bermimpi digigit tikus malah berlawan dengan tikus di rumah saya. Tikus-tikus itu besar !

Seminggu saya mencari waktu di mana dapat ke bank dengan selesa tanpa perlu menunggu lama. Dua kali saya ke bank waktu rehat tengah hari, mengambil nombor hanya untuk membuangnya. Ini kerana saya tidak sanggup menunggu kira-kira seratus orang lagi berurusan di kaunter sebelum giliran saya tiba. Akhirnya, pagi tadi saya minta keizinan bos untuk masuk lewat ke pejabat kerana mahu ke bank pada awal waktu ia dibuka. Dan Alhamdulillah, saya dapat membayar ansuran kereta saya pagi ini tanpa perlu menunggu terlalu lama.

Menunggu lama di bank bukanlah satu pengalaman yang menarik. Ia boleh menaikkan darah. Tapi sekurang-kurangnya kalau kita dapat bersabar, sebenarnya ada perkara-perkara menarik yang boleh kita peroleh.

Seorang lelaki berbangsa Cina pertengahan usia yang kemas berkemeja, duduk bersila di satu sudut sambil membaca akhbar sementara menunggu giliran. Begitu bersahaja, tersendiri dan tidak peduli. Itu satu pemandangan yang menarik. Kalau ada jurukamera dalam bank, pasti lelaki Cina itu akan menjadi sasaran lensa kameranya untuk dirakamkan.

Jika membawa anak kecil ke bank, pastikan dia cukup sabar bersama anda untuk menunggu lama. Tapi biasanya anak kecil tiada kesabaran sebegitu. Dia akan berjalan mundar-mandir dulu di dalam bank sebelum berlari dan melompat. Dan apabila dia melompat, sasarannya ialah tanglung merah yang bergantung-gantung di syiling bank yang tidak berapa tinggi. Tanglung itu tidak kuat. Sekali sentap sahaja ia akan jatuh. Orang semua akan tengok dan pengawal keselamatan akan marah! Tetapi yang menariknya perempuan Cina itu membiarkan sahaja anaknya dimarahi malah sebenarnya memang menyuruh si pengawal keselamatan memarahi anaknya, yang baru sahaja menjatuhkan tanglung di dalam bank.

Penangan Tahun Baru Cina saya rasa bank akan kekurangan wang tunai kerana banyak dikeluarkan. Perjalanan operasi kontena di depoh tempat saya bekerja seminggu dua ini begitu sibuk. Ofis berbau limau sepanjang hari walaupun tanpa pewangi perisa lemon.

Gong Xi Fa Cai. Shin ni kwai lek. Saya mahu balik kampung petang ini. Harap-harap ada ruang (yang selesa) di lebuh raya untuk saya.

No comments: