“Negara kehilangan sebutir bintang”, kata seorang pakcik yang baru pulang dari surau, barangkali selepas jamuan ringan bacaan Yasin malam Jumaat.
Di gerai makan itu, saya sedang menghabiskan makan malam saya seorang-seorang, sambil menonton drama bersiri seram terbaru TV3, Saka. Janggut palsu Rahim Razali dalam drama itu bagaikan ditampal.
Pakcik itu bersama isterinya kemudian mengambil tempat duduk di sebuah meja depan saya dan membuat pesanan. Isterinya masih lengkap bertelekung dan pakcik itu berjubah dan berketayap putih. Dia tidak berjanggut seperti Rahim Razali. Di meja saya, nasi paprik masih berbaki sesuap-dua untuk dihabiskan.
“TV tak tayang pengkebumian Ustaz Ishak Baharom. Orang ramai datang. Yang ditayang Ning Baizura kahwin,” kata pakcik. Air yang dipesannya sudah sampai tetapi ah, silap! Dia pesan limau ais, yang diberi teh “o” ais limau. Tapi, tak apa. Pakcik tak marah. Pakcik minum saja apa yang dibuat.
“Lim Goh Tong, tauke judi mati pun dapat liputan. Tapi ulama’ tak dapat walhal jasanya tak terkira,” pakcik menyambung kata-kata.
“Di sini, di masjid kita ni, Ustaz Ishak pernah dihalau hanya kerana mahu singgah solat Asar! Di masjid *** sana pun, Ustaz Ishak pernah dihalang beri tazkirah. “Apa tazkirah-tazkirah, balik sajalah!” begitu dibahasakan orang itu kepada Ustaz Ishak.”
“Tapi dia (Ustaz Ishak) orang yang lembut. Dia tak pernah marah kepada orang yang menentangnya. Dia terus sahaja jalankan dakwahnya di mana-mana yang dapat. Sama juga sewaktu dia dipecat dulu. Cuma orang itu sahajalah yang tidak dapat minta maaf kepada Ustaz Ishak sebab dia sudah tiada.”
Nasi telah habis tetapi saya tidak mahu cepat-cepat menghabiskan air. Saya mahu duduk-duduk dulu mendengar pakcik bercakap lagi. Dan sambil itu melihat Rahim Razali di peti TV.
2 comments:
Assalamualaikum. Kaifahaluka Ya Akhi?
Wa'alaikumussalam, syeikh! Baik, baik! Enta apa khabar? Terima kasihlah datang blog ni. Kalau ada masa kita borak ke jumpa ke, okay?
Post a Comment