Monday, February 18, 2008

Ulang Tahun Pertama





Rupa-rupanya sudah pun setahun usia perkahwinan saya. Sangka saya baru sahaja saya menjabat tangan imam Masjid Tangkak melafaz akad nikah. Tapak tangannya yang besar itu pun rasanya masih panas di tapak tangan saya. Sedar tak sedar, sudah pun setahun.

Selama setahun saya berulang-alik dari Klang ke Jasin dan Tangkak saban minggu sebelum isteri saya sanggup untuk sekali-sekala datang sendiri ke Klang dengan bas. Rupa-rupanya kami masih belum merasa hidup bersama-sama seperti pasangan lain. Tak apalah. Ada hikmah di sebaliknya, saya percaya.

16 Februari lalu isteri saya ada di Klang. Dia datang dari Tangkak dengan bas petang Jumaat walaupun demamnya masih belum kebah. Dan Sabtu itu kami tidak ke mana-mana kerana hari begitu panas, bimbang demamnya makin kuat. Cuma malam itu kami makan di luar.

Kepada isteri saya, saya hadiahkan seuntai sajak ini sempena ulangtahun pertama perkahwinan kami. Saya tampalkannya dalam kad ucapan.



Hari sudah pun gelap
dan dahaga paksa aku lelap
sewaktu kau datang membawa seberkas cahaya
cinta
di tangan kanan, dan sebejana air
kasih
di tangan kiri.

Lalu dengan terang dan kenyang yang aku
raih dari karung keikhlasanmu
kita bagaikan berpimpin menuju jalan lurus
dari satu tujuan dan harapan
Membasuh lumpur-lumpur duka yang berlumur di kaki
dan membebat luka-luka jiwa yang berdarah di hati.

Sayang,
Betapa kadangkala aku akan sering terlupa
menafsir sabar di lembar rasa
kerana sering ujian yang datang menimpa – bagai tiris hujan
tidak dapat aku tahan sendiri dengan tangan
lalu aku basah
dan perjalanan kita resah.

Namun dengan tenang wajah dan lunak suara
dari roman ramah dan raut mesra
dirimu yang setia, aku
bakal teringat semula
biar disuguh rawan dan ditindih hujan ujian, kita
harus tetap terus berjalan.

Dan terima kasih atas semua yang kauberi
Di hari ulangtahun ini, aku
seharusnya mahu lebih banyak memuji.


16 Februari 2008


2 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah.. dah setahun Alin dapat Mak Usu. :)

Tahniah kepada Pak Busu dan Mak Usu. Moga dapat cepat2 duduk sama, dan cepat2 dapat cahaya mata.

Haizir said...

Moga-moga. Tolong doakan, ye!