Tuesday, February 05, 2008

Harmoni

Saya menghadiri ceramah politik anjuran Parti Keadilan Rakyat malam semalam di Kampung Jawa. Ada ceramah-ceramah yang disampaikan oleh N. Gobalakrishnan, Ustaz Dr Badrul Amin, Dr Xavier Jayakumar dan kemuncaknya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sejak tinggal di Teluk Gadong sebenarnya sudah terlalu lama saya tidak mendengar ceramah politik seperti itu dan malam tadi seperti satu pengalaman baru buat saya.

Pemandangan biasa program ceramah yang saya hadiri sebelum ini ialah lelaki-lelaki berkopiah putih. Itu biasa. Tapi malam tadi berbeza kerana sudah ada pemandangan baru. Lelaki-lelaki berkulit gelap berseluar pendek, bersinglet, bertopi cap, perempuan-perempuan berseluar jeans dan berkemeja-T ketat. Oh, saya sudah ketinggalan! Senario politik kini sudah berubah; sekurang-kurangnya dalam konteks suasana ceramah yang saya hadiri.

Apa yang membanggakan saya bukanlah sangat variasi pakaian itu tetapi hakikat bahawa saya tidak lagi melihat wajah Melayu sahaja dalam ceramah. Saya sudah dapat melihat pemuda-pemuda dan pakcik-pakcik India, ramai, mungkin seramai orang Melayu (yang juga sudah bervariasi – tidak yang hanya berkopiah) selain seorang dua gadis manis berbangsa Tionghua.

Malam semalam hujan renyai-renyai dan kami sama-sama kebasahan. Saya tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dan terharu saya melihat bangsa-bangsa dalam tanahair ini sama-sama berdiri berpayung (dan berkongsi payung) sekitar dua atau tiga jam, mendengar ceramah dalam Bahasa Melayu, untuk satu tujuan yang sama. Ketepikan segala rasa pesimis dan skeptis. Buat masa ini saya ingin menikmati suasana ini terlebih dahulu.

Ceramah Anwar memang hebat, dengan idea-idea besar dan fakta-fakta menarik. Itu sudah biasa, maksud saya sudah dapat dijangkakan kehebatannya. Saya lebih disukakan dengan suasana “bersama-sama” ini, yang nampak ikhlas dan tidak plastik.

No comments: