Wednesday, March 19, 2008

Berat Sama Dipikul

Perbezaan ahli parti yang berjuang untuk kemenangan dengan rakyat biasa yang menyokong kemenangan saya fikir dapat kita lihat selepas kemenangan itu diperoleh. Sewaktu rakyat menanti janji-janji untuk terlaksana, sambil ada pula yang berasa menyesal menyokong Barisan Rakyat kerana tidak sangka kesannya akan jadi sebesar itu, ahli-ahli parti yang dari dulu berjuang akan terus berjuang. Bezanya, dulu mereka berjuang mencari kemenangan, kini mereka berjuang mengisi kemenangan.

Ini satu kelebihan besar yang saya lihat ada dalam PAS; keupayaannya mengerakkan jentera di peringkat ahli akar umbi. Selepas ini saya percaya ADUN-ADUN PAS akan mendapat bantuan secukupnya dalam mereka menjalankan khidmat di kawasan masing-masing. Beban berat yang terkandar di bahu mereka Insya-Allah akan menjadi ringan dengan bantuan ahli-ahli yang sedia bertugas tanpa mengharap imbuhan materi. Pusat Khidmat boleh ditubuh dan difungsikan dengan mudah. Tugas mereka (para ADUN) hanya membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri dan tidak perlu terlalu disibukkan dengan kerja-kerja teknikal dan runcit-runcitan.

Sekurang-kurangnya itu yang dapat saya lihat dari jauh sewaktu Majlis Kesyukuran dan Ramah Mesra meraikan kemenangan Dr. Halimah Ali di Dun Selat Klang. Sepuluh ekor lembu dan dua ratus ekor ayam dikorbankan untuk majlis tersebut. Tanggungjawab mengisi kemenangan tidak digalas oleh yang menang pilihanraya sahaja. Ia digalas semua, ADUN dan pemimpin sebagai pemikir, perencana dan pembawa suara, dan ahli-ahli sebagai petugas dan pelaksana.

Kalau kita mahu, kita pun boleh tolong angkat sikit-sikit beban yang berat itu.

No comments: